Diterbitkan pada 27 Jun 2025, 12:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam era digital masa kini, segala-galanya berada di hujung jari. Kewujudan Internet yang meluas menjadikan masyarakat, khususnya generasi muda sangat bergantung pada teknologi dalam hampir setiap aspek kehidupan. Jika berada di kawasan tanpa capaian Internet, banyak dalam kalangan golongan muda yang sejak kecil terdedah kepada dunia maya akan berasa gelisah dan tidak tentu arah.

Hakikatnya, kemajuan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi termasuk pelbagai aplikasi media sosial telah banyak memudahkan urusan seharian. Namun begitu, penggunaan secara berlebihan sehingga menimbulkan ketagihan boleh memberikan kesan negatif, terutamanya apabila digabungkan dengan budaya hidup “takut ketinggalan” dan “hidup hanya sekali” yang semakin menular.

Budaya Fear of Missing Out (FOMO) yang kian popular dalam kalangan generasi muda di seluruh dunia merujuk perasaan bimbang dan keresahan apabila seseorang berasa dirinya ketinggalan berbanding dengan rakan bagi menikmati pengalaman atau peluang tertentu. Istilah ini diperkenalkan oleh Patrick J. McGinnis pada tahun 2004 dan mula digunakan secara meluas sekitar tahun 2010.

Di Malaysia, budaya FOMO dan You Only Live Once (YOLO) menjadi tular baru-baru ini apabila pakar kewangan pengguna mengaitkannya sebagai antara punca utama generasi muda terjebak dengan hutang seawal usia 20-an. YOLO sering dijadikan alasan untuk hidup bebas dan memuaskan kehendak tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Kesan budaya ini sememangnya membimbangkan. Pengaruh media sosial yang amat kuat dalam membentuk pemikiran dan gaya hidup masyarakat telah menyebabkan banyak remaja terjebak dalam kitaran perbandingan sosial. Menurut laporan DataReportal pada awal tahun 2024, terdapat 33.59 juta pengguna Internet di Malaysia dengan kadar penembusan 97.4 peratus. Sebanyak 28.68 juta pengguna atau 83.1 peratus rakyat Malaysia aktif menggunakan media sosial. Maka, tidak menghairankan apabila budaya FOMO dan YOLO semakin menular, terutamanya dalam kalangan remaja yang masih kurang kemahiran literasi digital.

Pengguna media sosial sering terpesona dengan kehidupan sempurna yang dipaparkan tanpa menyedari bahawa kebanyakan kandungan tersebut bersifat terpilih dan tidak mencerminkan realiti. Akibatnya, banyak yang terpengaruh dengan gaya hidup tular termasuk dalam aspek fesyen, percutian, hobi dan pemilikan barangan mewah.

Sebagai contoh, peminat tegar iPhone sanggup beratur dari tengah malam untuk mendapatkan model baharu. Jika berkemampuan, hal ini bukanlah satu masalah. Namun begitu, lebih membimbangkan apabila terdapat orang yang sanggup berhutang atau memaksa ibu bapa membelinya walaupun keadaan kewangan tidak mengizinkan. Kisah remaja di India yang mogok lapar selama tiga hari supaya ibunya membeli telefon pintar mewah membuktikan kesan buruk budaya ini.

Selain barangan, banyak belia turut terbeban dengan hutang kerana membeli kenderaan atau berbelanja melebihi kemampuan semata-mata untuk kelihatan setaraf rakan sebaya. Mereka juga cenderung menghabiskan masa dan wang di kafe hanya untuk memuat naik gambar dalam media sosial. Akhirnya, mereka tidak mampu menyimpan dan terpaksa berhutang untuk meneruskan hidup. Fenomena “biar papa asal bergaya” ini menunjukkan betapa budaya FOMO dan YOLO telah mengaburi pertimbangan kewangan yang rasional.

Lebih membimbangkan, budaya ini turut menjejaskan kesihatan mental. Kajian oleh Dr. Nurwina Akmal Anuar dari Universiti Kebangsaan Malaysia terhadap 600 orang pelajar universiti pada tahun 2023 mendapati bahawa kecenderungan menyendiri berkait rapat dengan perasaan sunyi dan tekanan yang akhirnya menjejaskan kesihatan mental. Budaya FOMO menimbulkan tekanan sosial untuk sentiasa mengikuti trend dan meraih perhatian di media sosial. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan individu berasa rendah diri, kecewa dan mengalami kemurungan.

Dalam kajian oleh Rafiza Kasbun dan rakan-rakannya, fenomena ini dinamakan FOMOphobia, iaitu kebimbangan berlebihan untuk tidak ketinggalan daripada perkembangan semasa. Kesan buruk termasuk gangguan tidur, pengabaian tanggungjawab harian dan penurunan produktiviti sama ada sebagai pelajar mahupun pekerja. Selain itu, terdapat orang yang sanggup mengorbankan waktu rehat semata-mata untuk kekal aktif dalam dunia maya sehingga menjejaskan kesihatan fizikal.

Namun begitu, budaya FOMO tidak semestinya membawa kesan buruk semata-mata. Menurut Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil, pengawalan budaya FOMO secara bijak boleh mendorong seseorang menjadi lebih peka terhadap isu semasa dan bertindak pantas bagi memperoleh maklumat penting seperti makluman bencana alam. Dalam konteks ini, FOMO boleh dimanfaatkan sebagai motivasi untuk menjadi lebih proaktif dan berpengetahuan. Yang penting adalah dengan memastikan keseimbangan dalam penggunaan teknologi sejajar dengan prinsip kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam.

Kesimpulannya, budaya FOMO dan YOLO dalam kalangan generasi muda wajar diberi perhatian serius. Meskipun mempunyai manfaat tersendiri, budaya ini lebih banyak membawa implikasi negatif dari segi kewangan, kesihatan mental dan produktiviti. Generasi muda perlu dididik dengan nilai qanaah, iaitu sentiasa berasa cukup dengan apa-apa yang dimiliki agar tidak mudah terpengaruh dengan trend semasa. Pendidikan literasi kewangan dan digital yang kukuh mampu menjadi benteng untuk menghadapi tekanan dunia maya dan membina generasi yang lebih bijak, bersyukur serta seimbang dari segi rohani dan material.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi