Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada era moden ini, konsep halal telah mendapat perhatian global yang meluas. Permintaan terhadap produk halal semakin meningkat didorong oleh pertumbuhan populasi umat Islam yang kini mencecah kira-kira 1.8 bilion orang di seluruh dunia.
Melalui Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), industri halal telah dikenal pasti sebagai sektor strategik yang berimpak tinggi dalam meningkatkan daya saing produk, memacu pembangunan industri serta memperkukuh penyertaan bumiputera seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab halal global.
Malaysia memiliki kedudukan geografi yang strategik, menjadikannya destinasi ideal bagi pelaburan halal. Hab Halal Malaysia telah memperoleh status Halal Malaysia (HALMAS) daripada Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) yang membuka peluang kepada pelabur dan pemain industri untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan pasaran baharu di rantau Asia.
Sebagai pemangkin industri halal global, Halal Malaysia diiktiraf oleh negara lain. Negara maju seperti Jepun turut berminat untuk mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi meningkatkan pasaran produk mereka. Dari perspektif ekonomi, pasaran barangan dan perkhidmatan halal telah mencapai nilai pasaran sebanyak USD2.3 trilion, menawarkan prospek perniagaan besar terutamanya kepada usahawan Muslim dan usahawan global.
Konsep halal kini merangkumi bukan sahaja makanan tetapi juga sektor kosmetik, farmaseutikal dan lain-lain. Malaysia terus menerajui Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) untuk tahun ketujuh berturut-turut berikutan ekosistem ekonomi halal yang kukuh dengan negara ini menjadi peneraju utama dalam sektor kewangan Islam dan makanan halal.
Pada tahun 2020, Malaysia mengesahkan kedudukannya sebagai hab halal global terkemuka dengan nilai eksport tahunan RM31 bilion untuk produk halal dan menarik pelaburan bernilai RM0.6 bilion di Taman Perindustrian Halal Malaysia. Sehingga kini, sebanyak 28,000 pekerjaan telah diwujudkan melalui usaha ini.
Malaysia juga memiliki 6,727 syarikat dengan pensijilan halal termasuklah 1,507 pengeksport dan lebih 1,300 perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Daripada 1.3 juta perniagaan di Malaysia, 90 peratus daripadanya ialah PKS dengan 200,000 terlibat dalam perniagaan berkaitan dengan halal.
Pasaran Asia Timur Laut seperti Jepun, China dan Korea Selatan telah membuka pasaran mereka untuk modal Muslim dan pelancongan mesra Muslim. Industri makanan halal sahaja bernilai USD1.6 trilion, manakala industri kosmetik dan farmaseutikal halal masing-masing bernilai USD39 bilion dan USD97 bilion. Menjelang tahun 2030, sektor makanan dan minuman halal global dianggarkan bernilai USD2.1 trilion, menunjukkan potensi besar untuk industri halal di Malaysia berkembang pesat dan meluas.
Hab halal yang sedang dibangunkan merupakan hasil usaha kerajaan Malaysia bersama-sama dengan agensi kerajaan dan swasta. Penyediaan platform yang luas telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia dengan pelibatan lebih daripada 10 agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), JAKIM serta pihak universiti. Langkah ini bertujuan untuk mewujudkan Malaysia sebagai pusat perdagangan industri halal global dan hab halal utama.
HDC telah ditubuhkan untuk memperkasakan pengeluaran produk halal tempatan secara menyeluruh. Ditubuhkan pada 18 September 2006 di bawah MITI, HDC berperanan menyelaras pensijilan halal, meningkatkan perkhidmatan dan produk halal serta mendorong pertumbuhan syarikat Malaysia dalam pasaran halal global. HDC turut menyelaras pembangunan piawaian audit halal dan bekerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pasaran produk halal global semakin mencatat peningkatan memberangsangkan saban tahun. Sehubungan dengan itu, kerajaan Malaysia terus mengorak langkah untuk menjadikan negara ini sebagai hab halal dunia. Persijilan halal merupakan usaha penting dalam memperkembangkan produk halal serta membantu pengguna mendapatkan produk yang halal, selamat, dan berkualiti. Persijilan halal adalah dokumen yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti atau badan Islam yang mengesahkan sesuatu produk mengikut garis panduan halal haram dalam Islam.
Berbeza daripada negara lain, badan persijilan halal di Malaysia terutamanya JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), tidak menjadikan pemberian sijil halal sebagai persaingan perniagaan, tetapi bertindak sebagai badan yang mengesahkan status halal sesuatu produk. Persijilan halal oleh JAKIM diterima pakai dan diiktiraf di seluruh dunia terutamanya di Timur Tengah dan Asia Tenggara berikutan proses pengauditan yang ketat. Oleh itu, banyak syarikat makanan dari luar negara memohon sijil halal JAKIM agar produk mereka lebih mudah dipasarkan di pasaran halal antarabangsa.
Beberapa piawaian halal dan prosedur telah diperkenalkan untuk membantu industri mematuhi garis panduan halal secara menyeluruh. JAKIM telah mengeluarkan Manual Prosedur Persijilan Halal Malaysia yang merangkumi permohonan persijilan, pemantauan dan penguatkuasaan pensijilan halal.
Perkembangan industri halal di Malaysia memberikan impak positif kepada peningkatan ekonomi negara dan taraf hidup rakyat. Usaha ini secara langsung berjaya mengurangkan kadar pengangguran.
Dengan wujudnya hab halal ini, krisis bekalan makanan halal dapat diatasi dan Malaysia mampu menjadi pembekal makanan dan produk halal kepada negara bukan Islam seperti Jepun, China dan Korea. Ternyata, potensi industri halal dan peluang keusahawanan yang berkaitan dengannya amat luas.