25 November 2024, 10:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kemiskinan haid (period poverty) merujuk kepada kekurangan akses atau sumber daya untuk menguruskan haid dengan selesa dan sihat disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuklah kekangan kewangan, kekurangan pengetahuan, dan kurangnya kemudahan asas. Menurut Malaysian Reconstruction Foundation (MyREF), terdapat empat elemen utama dalam kemiskinan haid, iaitu kewangan, keadaan persekitaran, ilmu pengetahuan dan kemudahan prasarana seperti akses kepada air bersih.

Kemiskinan haid di Malaysia, walaupun dianggap tidak begitu membimbangkan kerana terdapat inisiatif pemberian tuala wanita oleh kerajaan kepada golongan sasar seperti Orang Asli, B40 dan mereka yang kurang berkemampuan, tetap menjadi isu yang perlu diberikan perhatian serius.

Selain itu, kemiskinan haid juga boleh berlaku ketika keadaan krisis seperti banjir, kebakaran atau migrasi. Semasa bencana, mangsa mungkin kehilangan semua harta benda mereka termasuklah produk pengurusan haid. Di pusat pemindahan banjir, kekurangan privasi untuk menguruskan haid juga menjadi masalah besar. Walaupun kemiskinan haid dalam situasi bencana mungkin hanya bersifat sementara, perhatian perlu diberikan kerana Malaysia sering dilanda bencana banjir dengan melibatkan jumlah mangsa yang besar.

Isu kemiskinan haid di bandar juga semakin ketara, dengan harga tuala wanita yang tinggi menjadi halangan utama. Laporan Kajian Status Pengurusan Haid oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara pada tahun 2023 menunjukkan bahawa hampir 10% daripada 130,000 orang pelajar perempuan menghadapi masalah untuk mendapatkan produk pengurusan haid.

Golongan B40 di kawasan bandar sering kali terpaksa memilih antara makanan atau produk haid. Bagi keluarga yang mempunyai anak perempuan lebih daripada seorang, beban ini semakin meningkat. Tidak mampu menyediakan tuala wanita boleh menyebabkan pelajar tidak hadir ke sekolah, seterusnya menjejaskan pelajaran mereka dan menyebabkan keciciran pelajar sekolah.

Kemiskinan haid tidak hanya berlaku di kawasan bandar, tetapi juga di luar bandar, terutamanya dalam kalangan gelandangan dan Orang Asli. Selain kekurangan produk haid, mereka juga berhadapan dengan kekurangan akses kepada air bersih.

Pada peringkat global, terdapat beberapa gerakan untuk menangani kemiskinan haid, seperti Freedom4Girls di United Kingdom dan Initial India di India. Di Malaysia, NGO seperti “Peduli Merah” berusaha untuk meningkatkan kesedaran tentang kemiskinan haid dengan matlamat untuk memastikan bahawa setiap wanita mendapat akses kepada keperluan asas seperti tuala wanita secara percuma dan peluang pendidikan yang setara. Beberapa negara seperti Korea Selatan, Scotland, New Zealand, dan Perancis juga telah melaksanakan program pemberian tuala wanita percuma.

Isu kemiskinan haid mula dibincangkan di Malaysia pada tahun 2019, tetapi tidak mendapat perhatian serius pada masa itu kerana dianggap sebagai isu tabu. Isu ini kembali dibincangkan semasa pandemik COVID-19, dengan lebih banyak rakyat yang merasai kesulitan yang dihadapi oleh golongan miskin tegar. Akhirnya, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan inisiatif pemberian tuala wanita percuma, yang dilihat sebagai langkah proaktif dalam menangani kemiskinan haid.

Selain kerajaan persekutuan, negeri Selangor turut mempelopori inisiatif pemberian tuala wanita percuma kepada golongan kurang berkemampuan dalam belanjawan tahun 2023. Pada tahun ini, kerjasama antara syarikat pengendali mesin layan diri, ATLAS Vending, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Libresse Malaysia, menyediakan mesin layan diri untuk tuala wanita di beberapa buah sekolah dan hospital. Walaupun usaha ini penting, kemiskinan haid tidak boleh ditangani hanya melalui pemberian tuala wanita, tetapi juga dengan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan reproduktif dan akses kepada kemudahan asas.

Secara keseluruhannya, masyarakat Malaysia perlu mengubah persepsi bahawa kemiskinan haid adalah isu tabu. Semua pihak termasuklah kerajaan, NGO, dan masyarakat perlu bekerjasama untuk menangani isu ini secara menyeluruh. Langkah tambahan seperti memperbaik akses kepada air bersih di kawasan luar bandar harus dipertimbangkan.

Kajian oleh Kotex mendapati bahawa hanya 26% responden pernah mendengar istilah “kemiskinan haid,” dan hanya 76 daripada 746 responden yang benar-benar memahaminya. Hal ini menunjukkan bahawa masih terdapat sebahagian masyarakat yang tidak menyedari atau tidak menyokong usaha pemberian tuala wanita percuma. Oleh itu, pendidikan mengenai pengurusan haid, terutamanya melalui media sosial, harus dipertingkatkan agar masyarakat lebih memahami dan dapat membantu mereka yang terkesan oleh kemiskinan haid.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.