Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang“Beli Dulu, Bayar Kemudian” merupakan skim pembayaran yang semakin popular, terutamanya dalam kalangan golongan muda di Malaysia. Menurut Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), pada suku pertama tahun 2024, terdapat 29 juta transaksi BNPL bernilai RM2.3 bilion, dengan golongan muda berusia antara 21 hingga 45 tahun menjadi majoriti pengguna.
Beli Dulu, Bayar Kemudian (BNPL) ialah kaedah pembayaran yang membolehkan pengguna membeli barangan atau perkhidmatan terlebih dahulu, kemudian membayar secara ansuran dalam tempoh yang ditetapkan. Biasanya, skim ini ditawarkan tanpa faedah sekiranya pembayaran dilakukan tepat pada masanya.
Selain itu, pengguna boleh memilih tempoh masa dan kadar ansuran bulanan yang sesuai. Namun begitu, untuk tempoh masa yang lebih lama dengan kadar ansuran bulanan yang lebih rendah, biasanya akan dikenakan kadar faedah. Antara platform BNPL yang popular di Malaysia termasuklah Shopee PayLater, Grab PayLater dan Atome. Antara kelebihan skim BNPL termasuklah:
Untuk menarik perhatian pengguna, platform yang menawarkan skim BNPL biasanya menyediakan tawaran ansuran tanpa faedah jika pengguna mematuhi tempoh pembayaran yang ditetapkan. Dengan memanfaatkan tawaran ini, pengguna dapat membayar secara ansuran dengan komitmen kewangan bulanan yang lebih rendah tanpa sebarang faedah tambahan. Situasi ini boleh dimanfaatkan oleh pengguna untuk membeli barangan keperluan seperti peti sejuk, yang penting dalam kehidupan seharian, tanpa perlu mengeluarkan sejumlah wang yang besar atau menggunakan wang simpanan kecemasan.
2. Tidak memerlukan laporan kredit pengguna
Skim BNPL juga tidak memerlukan pemeriksaan kredit yang ketat, menjadikannya pilihan ideal bagi individu tanpa sejarah kredit atau dengan skor kredit rendah. Sebagai contoh, seorang peniaga kecil-kecilan boleh memanfaatkan skim BNPL untuk membeli aset perniagaan yang diperlukan tanpa perlu mengeluarkan modal yang besar untuk mengembangkan perniagaan. Selain itu, skim ini turut memberikan manfaat kepada pengguna yang mempunyai pendapatan rendah dan tidak layak memohon pinjaman tradisional.
Permohonan untuk skim BNPL biasanya lebih cepat dan mudah diluluskan, malah ada syarikat yang menawarkan kelulusan serta-merta. Berbeza daripada permohonan pinjaman atau kad kredit yang memerlukan pengguna melengkapkan banyak dokumen dan berkunjung ke bank, skim BNPL biasanya hanya melibatkan permohonan secara dalam talian. Oleh itu, sistem permohonan yang mudah dan cepat mendapat kelulusan menjadikannya pilihan utama bagi pengguna. Pengguna yang terdesak untuk mendapatkan barang keperluan dengan segera tidak perlu lagi berhadapan dengan prosedur pinjaman yang rumit.
4. Mudah digunakan bagi pembelian dalam talian dan fizikal
Dengan trend pembelian dalam talian yang semakin meluas, skim BNPL kini ditawarkan secara meluas melalui platform e-dagang dan semakin diterima di kedai fizikal. Sektor yang menawarkan pembayaran melalui skim BNPL juga semakin berkembang, termasuklah barangan elektrik dan keperluan rumah. Sebagai contoh, Senheng, Harvey Norman dan kedai elektronik lain telah bekerjasama dengan penyedia BNPL. Selain itu, sektor pendidikan dan latihan terutamanya platform kursus dalam talian seperti Udemy, Coursera, serta institusi pendidikan lain turut menjalin kerjasama dengan penyedia BNPL.
Kemudahan atau Perangkap untuk Pengguna?
Dengan pilihan yang semakin diterima dalam kalangan pengguna Malaysia, adakah skim ini benar-benar memberikan kemudahan atau sebaliknya menjadi perangkap yang tersembunyi bagi pengguna? Berikut merupakan beberapa impak buruk yang boleh berlaku kepada pengguna sekiranya tidak diuruskan dengan betul:
BNPL boleh mendorong perbelanjaan berlebihan di luar kemampuan, menyebabkan pengguna mengambil lebih banyak hutang daripada yang mampu mereka bayar. Jumlah ansuran bulanan yang rendah bagi setiap barangan boleh mendorong pengguna untuk membeli lebih banyak barang dan tanpa disedari, hutang mereka akan terus terkumpul.
2. Perlu membayar jumlah faedah yang besar sekiranya terlewat
Walaupun kebanyakan platform menawarkan pembayaran ansuran tanpa faedah, kelewatan pembayaran boleh menyebabkan pengguna terpaksa membayar faedah yang tinggi. Menurut Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), pada suku pertama tahun 2024, sebanyak 3.8% daripada 3.7 juta pengguna aktif BNPL di Malaysia gagal membuat pembayaran ansuran tepat pada masanya. Namun begitu, peratusan sebanyak 3% yang gagal membuat pembayaran tepat pada masa ini masih berada pada tahap yang rendah dan terkawal.
3. Pembelian yang tidak terkawal
Penggunaan BNPL boleh mendorong pengguna untuk membuat pembelian yang tidak terkawal. Barangan dengan harga yang tinggi boleh dimiliki dengan ansuran yang murah boleh menyebabkan perbelanjaan di luar kemampuan.
Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, kajian yang dilakukan oleh Consumer Financial Protection Bureau mendapati bahawa penggunaan skim BNPL lebih tinggi dalam kalangan pengguna yang menghadapi cabaran kewangan, termasuklah mereka dengan skor kredit rendah dan tahap hutang yang tinggi.
Sebagai pengguna, mereka perlu mengetahui tahap kemampuan kewangan sendiri. Perbelanjaan bergantung pada keputusan individu itu sendiri, sekiranya bijak menggunakan diskaun atau kemudahan tanpa faedah, boleh menjadi kelebihan yang besar tanpa mengganggu komitmen atau bajet bulanan secara drastik. Namun begitu, sekiranya tidak diuruskan dengan betul, skim BNPL ini boleh menjadi perangkap dalam diam dan pengguna berpotensi untuk terjerat dengan lebih banyak hutang. Oleh itu, kesedaran dan literasi kewangan yang kukuh amat penting bagi pengguna untuk menilai dengan bijak alat kewangan yang mempunyai kelebihan atau sebaliknya.