Diterbitkan pada 26 Mei 2026, 10:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Suatu ketika dahulu, makan di luar sering dikaitkan dengan sambutan istimewa, hujung minggu atau pilihan sekali-sekala apabila tidak sempat memasak. Namun begitu, keadaan kini jauh berbeza. Bagi kebanyakan masyarakat, khususnya yang tinggal di kawasan bandar, membeli makanan bungkus, makan di luar atau menempah makanan melalui aplikasi penghantaran sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian. Sarapan dibeli dalam perjalanan ke tempat kerja, makan tengah hari dinikmati di kafeteria pejabat, manakala makan malam pula lebih mudah dipesan dari rumah menerusi aplikasi pilihan.

Pada pandangan umum, trend ini sering dianggap sebagai perubahan gaya hidup moden. Sesetengah pihak mentafsirkan keadaan tersebut sebagai petanda masyarakat semakin selesa berbelanja, semakin kurang memasak di rumah, atau semakin bergantung pada kemudahan segera. Namun begitu, jika diperhatikan dengan lebih dekat, corak makan di luar bukan lagi sekadar soal selera atau gaya hidup. Perubahan tersebut mencerminkan cara isi rumah menyesuaikan corak perbelanjaan dengan realiti semasa yang semakin mencabar dari segi masa, tenaga dan pengurusan kehidupan harian.

Apabila membicarakan tentang kos sara hidup, perhatian lazimnya tertumpu pada kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Hakikatnya, harga merupakan unsur paling ketara yang dirasai pengguna. Apabila harga makanan, sewa rumah, pengangkutan dan utiliti meningkat, tekanan terhadap isi rumah turut bertambah. Walau bagaimanapun, kos sara hidup sebenarnya tidak terbatas pada faktor harga semata-mata. Kos sara hidup juga melibatkan cara seseorang mengurus kehidupan harian dalam keadaan pendapatan yang terhad, jadual yang padat dan pelbagai keperluan yang perlu dipenuhi.

Atas sebab tersebut, keputusan untuk makan di luar tidak semestinya boleh dinilai hanya dengan membandingkan harga makanan di kedai dengan kos memasak di rumah. Dalam hal ini, konsep kos lepas menjadi semakin relevan. Secara teorinya, memasak sendiri lebih menjimatkan. Namun begitu, terdapat pelbagai kos lain yang sering tidak diambil kira. Antaranya termasuklah masa untuk membeli barang dapur, menyediakan bahan masakan, memasak dan mengemas selepas makan. Semua proses ini memerlukan tenaga dan ruang dalam rutin harian yang semakin sibuk. Bagi isi rumah yang kedua-dua pasangan bekerja, individu bujang yang tinggal sendiri atau keluarga yang perlu mengurus anak-anak, serta perjalanan ulang-alik yang jauh, masa kini mempunyai nilai ekonomi yang semakin tinggi.

Dalam konteks ini, apabila seseorang memilih untuk membeli makanan siap atau makan di luar, keputusan berkenaan bukan sekadar untuk mendapatkan makanan. Sebaliknya, pengguna turut membeli kemudahan, menjimatkan masa dan mengurangkan keletihan. Dari sudut ekonomi pengguna, keputusan sedemikian tidak semestinya bersifat boros atau tidak rasional. Sebaliknya, pilihan tersebut mungkin merupakan langkah paling praktikal berdasarkan kekangan yang dihadapi. Dalam erti kata lain, corak perbelanjaan isi rumah berubah bukan hanya disebabkan kehendak, tetapi juga kerana keperluan menyesuaikan diri dengan tuntutan kehidupan semasa. Perubahan ini turut menunjukkan bahawa struktur perbelanjaan isi rumah sentiasa berkembang mengikut keadaan semasa.

Menurut Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah (HES) 2024, peruntukan perbelanjaan isi rumah untuk restoran dan perkhidmatan makanan meningkat kepada 17 peratus berbanding dengan 10.9 peratus dalam HES 1998/1999. Laporan yang sama turut menunjukkan trend penurunan bagi makanan di rumah. HES 2024 merekodkan peruntukan isi rumah untuk makanan di rumah sebanyak 15.7 peratus, lebih rendah berbanding dengan 22.2 peratus dalam HES 1998/1999. Perubahan ini memberikan gambaran jelas bahawa makan di luar bukan lagi sekadar pilihan sampingan atau kemewahan bermusim, sebaliknya sudah berkembang menjadi sebahagian daripada corak perbelanjaan asas harian masyarakat.

Hal ini bukan bermaksud pengguna tidak peka terhadap harga. Sebaliknya, pengguna masih membuat pertimbangan, namun pertimbangan tersebut kini menjadi lebih kompleks. Mereka bukan lagi sekadar bertanya, “Yang manakah lebih murah?”, tetapi turut memikirkan persoalan seperti “Yang manakah lebih praktikal?”, “Yang manakah lebih cepat?” dan “Yang manakah lebih sesuai dengan rutin harian?”

Fenomena ini lebih mudah difahami apabila dilihat dalam konteks kehidupan bandar. Banyak pekerja berdepan dengan tempoh perjalanan yang panjang, waktu kerja yang padat dan komitmen peribadi yang sukar diseimbangkan. Dalam keadaan sedemikian, memasak setiap hari mungkin bukan sesuatu yang mudah dilakukan, walaupun mereka menyedari langkah tersebut lebih menjimatkan. Makan di luar atau membeli makanan siap menjadi jalan tengah antara keperluan untuk berjimat dengan keperluan mengekalkan kelancaran urusan harian. Kadangkala, pilihan itu bukan yang terbaik dari sudut harga, namun itulah pilihan yang paling relevan dalam realiti kehidupan semasa.

Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak bermaksud trend makan di luar tidak memberikan kesan terhadap kedudukan kewangan isi rumah. Jika diamalkan terlalu kerap tanpa perancangan, perbelanjaan makanan boleh meningkat dan menjejaskan bajet bulanan. Tambahan pula, harga makanan di luar turut cenderung dipengaruhi oleh perubahan kos sewa, upah, bahan mentah dan logistik. Oleh itu, pengguna tetap perlu membuat pertimbangan yang seimbang dan munasabah. Dalam sesetengah keadaan, makan di luar merupakan pilihan yang praktikal, namun terdapat juga situasi apabila memasak di rumah lebih membantu dari sudut pengurusan kewangan jangka masa panjang.

Sehubungan dengan itu, trend makan di luar wajar dilihat secara lebih seimbang. Trend tersebut tidak semestinya melambangkan pembaziran, namun pada masa yang sama tidak boleh dianggap neutral tanpa sebarang implikasi. Sebaliknya, perubahan ini boleh ditafsirkan sebagai petunjuk bahawa isi rumah sedang menyesuaikan corak penggunaan dengan perubahan ekonomi dan sosial semasa. Apabila tekanan kehidupan harian semakin meningkat, keputusan pengguna juga turut berubah. Perkara yang kelihatan seperti pilihan gaya hidup moden kadangkala sebenarnya lahir daripada desakan masa, kekangan tenaga dan keperluan untuk mengurus kehidupan secara lebih praktikal.

Kesimpulannya, trend makan di luar mencerminkan makna yang lebih besar daripada sekadar tabiat pemakanan. Perkembangan ini memberikan gambaran tentang cara isi rumah membuat keputusan dalam dunia yang semakin pantas, mahal dan mencabar. Dalam keadaan sedemikian, pilihan pengguna tidak lagi boleh dilihat hanya melalui lensa harga semata-mata. Faktor masa, tenaga dan kemudahan kini semakin memainkan peranan penting dalam menentukan corak perbelanjaan. Oleh itu, apabila semakin banyak memilih untuk makan di luar, persoalannya mungkin bukan sekadar sama ada masyarakat berubah dari segi gaya hidup, tetapi juga sejauh mana realiti kehidupan hari ini membentuk pilihan ekonomi mereka.

Mohamad Fadhlullah Omar, Pegawai Ekonomi, Bahagian Fiskal dan Ekonomi di Kementerian Kewangan Malaysia; dan Profesor Dr. Amirul Afif Muhamat, Pensyarah dan Ketua Penyelidik RIG Climate Risk and Sustainable Finance di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi