Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTanpa duit, manusia mungkin sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup di dalam dunia yang serba-serbi memerlukan wang. Mayarakat rata-ratanya terpaksa membuat pinjaman kewangan atau berhutang untuk menikmati taraf hidup yang lebih selesa seperti memiliki rumah dan kenderaan sendiri. Namun begitu, yang lebih menyedihkan apabila masyarakat berlumba-lumba mengamalkan gaya hidup berhutang semata-mata untuk mengejar kemewahan dan kesenangan hidup. Fenomena yang kurang sihat ini dilihat seperti sudah menjadi kebiasaan seterusnya memerangkap msyarakat sehinggakan mereka terbeban dengan hutang piutang masing-masing. Kebanyakan yang terlibat dalam budaya berhutang ini ialah orang Melayu sedangkan Islam sendiri tidak menggalakkan umatnya berhutang atau membuat pinjaman kewangan bagi tujuan yang melebihi keperluan asas kehidupan.
Hutang merupakan istilah dalam bahasa Melayu yang digunapakai dalam situasi pinjam meminjam. Menurut Kamus Dewan, hutang bermaksud wang yang diberikan kepada seseorang dan lain-lain untuk sementara dan perlu dikembalikan semula kemudiannya. Dalam bahasa Arab, istilah hutang disebut dalam Surah al-Baqarah ayat 282 yang bermaksud, “Apabila kamu berhutang dengan suatu hutang hingga suatu masa yang ditetapkan hendaklah kamu menulisnya.” Al-Qard juga merupakan istilah hutang dalam bahasa Arab yang membawa maksud pinjaman kerana sesuatu berbentuk pinjaman akan menyebabkan adanya hutang yang perlu dikembalikan.
Dari segi bahasa, al-Qard bermaksud al-qat’u, iaitu pinjaman. Hal ini merujuk kepada keprihatinan insan utuk membuat kebajikan dengan membantu saudaranya yang berada dalam kesempitan terutamanya dalam aspek kewangan seperti mana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 245. Secara umumnya, berhutang merupakan sesuatu yang diberikan kepada seseorang bukannya secara mutlak tetapi hanyalah memberikan hak milik secara sementara dan dikehendaki untuk memulangkannya semula apabila dikehendaki dan telah sampai waktu serta tempoh yang telah dipersetujui antara individu yang berhutang dan si pemiutangnya.
Kita disarankan supaya menghindari diri daripada amalan berhutang. Bahkan, ayat yang paling panjang dalam al-Quran adalah berkenaan dengan hutang, iaitu dalam Surah al-Baqarah ayat 282 yang menggambarkan hutang adalah perkara yang amat penting dan tidak boleh dipandang remeh oleh seseorang manusia. Di Malaysia, golongan belia merupakan antara golongan yang paling banyak berhutang. Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebanyak 53,000 individu berumur bawah 30 tahun didapati dibebani hutang terkumpul berjumlah RM1.9 bilion. Budaya berhutang ini sangat membimbangkan kerana boleh menjerumuskan diri kepada kebankrapan. Sebagai buktinya, Jabatan Insolvensi Malaysia menyatakan bahawa julat umur lingkungan antara 25 hingga 44 tahun merupakan kumpulan yang menopoli jumlah kebankrapan bagi tahun 2020 hingga Mac 2024.
Hutang pada hakikatnya memberikan banyak manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Hal ini demikian kerana berhutang boleh membantu seseorang yang sedang mengalami masalah dan kesulitan selain mengeratkan tali persaudaraan antara kedua-dua pihak yang terlibat. Namun demikian, situasi yang terjadi adalah sebaliknya disebabkan tiadanya sifat amanah orang yang berhutang selain kurangnya kebijaksanaan penghutang dalam menguruskan perbelanjaan mereka. Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 283 yang bermaksud, “Kalau yang memberikan hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah (Tuhannya).” Oleh itu, setiap individu beragama Islam wajib melaksanakan amanah, bersifat jujur dan bijak dalam menguruskan perbelanjaan agar mampu berzakat dan melunaskan segala hutang mengikut masa yang telah ditetapkan.
Dalam berhutang, kita hendaklah menjaga hak si pemiutang dengan mengembalikan sesuatu yang telah kita berhutang kepada mereka. Rasulullah SAW menegaskan bahawa urusan hutang piutang ini tidak boleh dipandang ringan kerana perkara ini akan berpanjangan hingga ke akhirat sekiranya tidak diselesaikan pembayarannya di dunia. Rasululullah SAW bersabda yang bermaksud, “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika dia mempunyai hutang kepada manusia.” (Hadis riwayat Muslim). Hal ini menggambarkan betapa beratnya beban bagi seseorang yang berhutang. Masalah hutang isi rumah menjadi suatu topik yang hangat diperkatakan dalam kebanyakan media massa di Malaysia. Bahkan, banyak dalam kalangan masyarakat Malaysia yang terpaksa melakukan perkerjaan kedua sebagai pendapatan sampingan bagi melangsaikan segala hutang piutang mereka.
Dalam Islam, sesiapa sahaja yang ingin berhutang seharusnya mengetahui kemampuannya untuk melunaskan kembali hutang tersebut kerana hal ini merupakan sebahagian daripada syarat bagi penghutang. Walaupun semasa seseorang itu berhutang disebabkan kesusahan dan kesempitan yang dialaminya, namun selepas itu dia harus berusaha untuk melunaskan hutangnya dengan sebaiknya.
Menurut Abdul Basit dan rakan-rakannya dalam kajian mereka yang bertajuk “Hutang dan Golongan Muda di Malaysia: Satu Kajian Awal”, Imam al-Khatib al-Shirbini dalam kitab al-Mughniy al-Mukhtaj telah menyatakan perkara yang sama, bahawa sekiranya seseorang peminjam didapati tidak mampu melunaskan hutangnya, pemiutang hendaklah menyembunyikan kekayaan dan kemampuan untuk memberi hutang. Tetapi tidak harus menyembunyikan kekayaan atau kemampuan dalam bab memberi sedekah.
Hukum memberi hutang ialah sunat dan meminta hutang adalah harus. Walau bagaimanapun, tujuan berhutang boleh menjadikan hukum tersebut berubah dalam beberapa situasi atau keadaan. Berdasarkan mazhab Syafii, hukum berhutang adalah haram sekiranya pemiutang mengetahui hutang yang diberikan akan digunakan untuk tujuan maksiat yang diharamkan oleh syarak seperti berjudi, perniagaan arak dan sebagainya.
Amalan berhutang daripada perspektif Islam merupakan perkara yang tidak digalakkan dan perlu dijauhi kecuali dalam keadaan yang betul-betul terdesak. Namun begitu, kecenderungan industri perbankan termasuk sektor perbankan Islam yang menggalakkan budaya pinjaman dalam kalangan masyarakat menjadikan masyarakat lebih suka berhutang. Lambakan skim ‘beli dahulu, bayar kemudian’ dalam pasaran turut mendorong budaya berhutang dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan belia.
Gaya hidup mereka yang memilih menggunakan barang berjenama dan kehidupan mewah juga menyumbang kepada amalan berhutang di Malaysia. Firman Allah SWT dalam Surah al-Israa’ ayat 26 dan 27 yang bermaksud, “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya, orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan ialah makhluk yang kufur kepada Tuhan-Nya.” Ayat tersebut menjelaskan kepada kita bahawa jangan sesekali membelanjakan harta secara membazir atau boros kepada sesuatu yang tidak membawa faedah apatah lagi hal yang melibatkan hutang-piutang. Oleh itu, hiduplah dengan gaya bersederhana dan berbelanja secara berhemah seperti sabda Rasulullah SAW, “Apa-apa yang sedikit tetapi mencukupi, lebih daripada yang banyak tetapi melalaikan.” (Hadis riwayat Abu Daud).
Kesimpulannya, berhutang tiada salahnya jika kita benar-benar berada dalam kesempitan dan situasi yang mendesak. Para penghutang pula seharusnya mengetahui kewajipannya untuk membayar segala hutangnya dan seboleh-bolehnya tidak menangguhkan bayaran kecuali dengan persetujuan pemiutang. Perbuatan sengaja mengelakkan bayaran hutang menyebabkan mereka tergolong dalam perbuatan orang yang zalim dan berhak mendapat pembalasan terhadap perbuatannya di akhirat.
Para penghutang perlu sedar akan hak pemiutang apabila ingin berhutang seperti mana yang disarankan dalam Islam. Oleh itu, orang yang berhutang digalakkan untuk menjelaskan hutang dengan segera, tanpa perlu menunggu pemiutangnya memberikan peringatan mengenai hutang tersebut seperti mana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud, “Orang-orang yang menepati janjinya apabila dia berjanji dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, mereka itulah orang yang benar (imannya), dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.”
.