Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPrestasi Simpanan Shariah tahun 2024 mencatatkan sejarah tersendiri apabila kadar dividen yang diumumkan, iaitu 6.3 peratus setara dengan kadar dividen bagi Simpanan Konvensional.
Pencapaian ini menandakan satu lembaran baharu dalam keupayaan Malaysia mengurus dana kewangan Islam secara profesional dan mampan. Ibarat pepatah Melayu, “Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah”, pencapaian ini mengangkat martabat Simpanan Shariah sebagai pilihan yang setanding dengan skim konvensional.
Sejak dilancarkan pada Jun 2016, penerimaan awal terhadap Simpanan Shariah agak perlahan. Daripada kira-kira 14 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hanya 705,485 orang individu memilih untuk menukar kepada skim ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP ketika itu, pencarum terbahagi kepada dua kategori, iaitu mereka yang mementingkan pematuhan syariah berbanding dengan pulangan dan mereka yang menunggu prestasi awal sebelum membuat keputusan.
Namun demikian, perubahan mula dirasai selepas pengumuman dividen pertama sebanyak 6.4 peratus pada tahun 2017. Beberapa kaunter KWSP mula menerima peningkatan jumlah pencarum yang berminat menukar kepada Simpanan Shariah. Keadaan ini menggambarkan pendekatan “tunggu dan lihat” yang diamalkan oleh pencarum sebelum membuat keputusan kewangan yang penting.
Tahun 2017 juga mencatatkan sejarah apabila KWSP mula mengurus dua skim persaraan secara rasmi, iaitu Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah. Berdasarkan laporan Fakta Sekilas Pandang 2017, kadar dividen 6.4 peratus menunjukkan kekuatan portfolio pelaburan patuh syariah KWSP.
Walaupun perbezaan kadar dividen antara kedua-dua skim dijangka berlaku dalam jangka masa pendek, KWSP menjangkakan bahawa dalam jangka masa panjang pulangan dividen bagi kedua-duanya akan setanding memandangkan objektif dan strategi pelaburan yang dikongsi bersama.
Jangkaan tersebut terbukti tepat. Selepas tujuh tahun, tahun 2024 menyaksikan kadar dividen Simpanan Shariah menyamai Simpanan Konvensional. Hal ini jelas membuka mata banyak pihak terhadap potensi Simpanan Shariah, khususnya kepada pencarum Muslim kerana simpanan ini bebas daripada unsur haram seperti riba, gharar dan maysir. Kesemua pelaburan Simpanan Shariah diluluskan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah (JKPS) KWSP bagi memastikan kepatuhan terhadap prinsip Islam.
Antara kelebihan utama Simpanan Shariah termasuklah:
Walaupun kelebihan Simpanan Shariah jelas, skim ini bukanlah satu kewajipan dari sudut undang-undang. Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah menegaskan bahawa kerajaan hanya menggalakkan dan bukannya mewajibkan ahli KWSP yang beragama Islam untuk memilih skim Simpanan Shariah. Hal ini selari dengan prinsip asal KWSP yang menjadikan Simpanan Shariah sebagai pilihan dan bukan kewajipan.
Oleh itu, setiap pencarum hendaklah membuat pilihan secara bijak dan berinformasi. KWSP telah menyediakan kemudahan untuk menukar kepada Simpanan Shariah dan pencarum digalakkan mengambil peluang ini demi memastikan simpanan mereka bukan sahaja kompetitif dari segi dividen bahkan patuh syariah.
Kesimpulannya, Simpanan Shariah merupakan alternatif yang kukuh kepada Simpanan Konvensional. Skim ini bukan sahaja menawarkan pulangan yang kompetitif, tetapi juga menjamin pematuhan terhadap prinsip syariah dan nilai etika dalam pelaburan. Pencarum sama ada Muslim mahupun bukan Muslim wajar mempertimbangkan skim ini sebagai satu pilihan masa hadapan demi keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.