Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDi sebalik imej bertopeng Bandi dan alunan muzik rock yang garang, lirik lagu kumpulan Amuk sebenarnya sarat dengan nilai murni yang ditujukan kepada masyarakat. Bukan sekadar kritikan terhadap isu ekonomi, bait liriknya juga menyampaikan teguran sosial yang wajar direnungi bersama.
Kemunculan Amuk dalam industri hiburan tanah air pada penghujung tahun 1990-an dan dekad pertama alaf baharu menyaksikan pelbagai isu kemasyarakatan diangkat melalui karya mereka. Lirik yang disampaikan seolah-olah mencabar dominasi wacana arus perdana yang sering dibalut oleh kekuasaan, sekali gus menjadi medium alternatif untuk menyorot realiti kehidupan rakyat dan sisi lain masyarakat pada ketika itu.
Bermula dengan album Tanpa Prajudis, kumpulan ini terus menyampaikan mesej sosial secara konsisten menerusi album yang seterusnya seperti “Tak Releven”, “Akar dan Bumi”, “Dikir Timur”, “Hakikat” dan “The Best of Amuk”. Kesemua album ini menjadi wadah renungan terhadap naratif kemanusiaan yang lebih mendalam dan kritis.
Sebagai sebuah kumpulan yang menongkah arus, Amuk memulakan langkah dalam industri muzik tanpa bergantung pada strategi lagu “tangkap lentok” untuk menarik perhatian pendengar. Lebih menggembirakan, stesen radio swasta seperti ERA dan Best 104 (kini Best FM) memberikan ruang kepada lagu berirama keras nyanyian mereka untuk untuk disiarkan. Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut tidak ketinggalan apabila siaran Muzik FM (kini Nasional FM) juga memainkan lagu Amuk yang membawa mesej positif antaranya termasuklah menyentuh isu semasa, nilai persahabatan, konflik ekonomi dan pelbagai dimensi kemanusiaan.
Daripada senarai lagu yang diketengahkan, Tak Merdeka daripada album sulung Amuk muncul sebagai satu ledakan awal yang mengajak pendengar merenung makna sebenar “merdeka”. Walaupun secara zahir rakyat telah bebas, dari segi pemikiran masih banyak kekangan yang perlu diatasi. Kemerdekaan sebenar tidak hanya bersifat fizikal, tetapi bermula daripada pemerdekaan akal dan perubahan cara berfikir yang kemudiannya diterjemahkan dalam tindakan sama ada di gelanggang politik, ruang ekonomi mahupun dalam struktur sosial.
Tuntutan untuk menilai semula makna kemerdekaan yang diketengahkan oleh Amuk bukanlah sesuatu yang asing. Pemikiran ini turut bergema dalam karya pemikir tempatan seperti Jejak-jejak di Pantai Zaman (Ungku A. Aziz); Siapa yang Salah: Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu (Syed Hussein Alatas); dan Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam (Syed Muhammad Naquib Al-Attas). Hal ini membuktikan bahawa Amuk tidak bersendirian dalam menyeru kepada anjakan paradigma.
Bertitik tolak daripada kesedaran tersebut, Amuk turut mengangkat persoalan kelangsungan hidup dan tekanan hidup urban melalui lagu Tanpa Prejudis yang menggambarkan nasib warga marhaen di lorong dan jalanan kota. Kilauan lampu kota raya disingkap sebagai ilusi yang menutupi penderitaan gelandangan dan pengemis, suatu realiti yang kerap tersisih daripada wacana pembangunan negara, terutamanya ketika negara sedang giat mempromosikan gagasan seperti Wawasan 2020 dan dasar pembangunan sosial. Dalam keadaan sarat dengan janji politik dan retorik nasional, lirik Amuk tampil sebagai suara minoriti yang tertindas, yakni suara mereka yang masih “sesak” dalam perjuangan untuk bertahan hidup.
Kritikan terhadap sikap materialistik turut menjadi tema penting dalam lagu Tak Relevan melalui lirik nukilan Azam Dungun:
Engkau kini tak serupa dulu
Berkawan pun nak pilih bulu
Poket lebat engkau pun rapat
Memang kau hebat hatimu berkarat.
Sindiran tajam ini menzahirkan realiti sosial apabila hubungan antara manusia sering diukur melalui kekayaan material. Sikap ini bukan sahaja berakar di kota, malah turut menjalar ke desa sehingga terbentuk jurang sosial seperti yang digambarkan dalam pepatah Melayu, “Yang pipit sama pipit, yang enggang sama enggang.”
Lebih lantang lagi, Amuk menyentuh isu maruah dan integriti melalui lagu Kipas dan Remeh dalam album “Hakikat” (2002). Lirik Kipas hasil tulisan Siso Kopratasa menyerlahkan sindiran terhadap budaya ampu-mengampu dan budaya sogokan demi kenaikan pangkat. Sementara itu, lagu Remeh memaparkan sikap segelintir individu yang sanggup menggadaikan maruah semata-mata untuk keuntungan kecil.
Oh puji lah aku
Ampu lah aku
Senang hidupmu
Ada tangan tadah
Ada maruah campak.
Mesej yang disampaikan bersifat keras dan pedih, namun mencerminkan realiti sosial yang semakin membarah. Amuk bukan sekadar menegur, tetapi turut menyorot akar permasalahan yang telah dikupas oleh tokoh seperti Syed Hussein Alatas dalam karya Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi. Lirik lagu Amuk muncul sebagai suara alternatif yang sejajar dengan kritikan intelektual terhadap rasuah sistemik dan kemerosotan nilai.
Kemuncak kepada kritikan terhadap budaya “matlamat menghalalkan cara” dapat dilihat dalam lagu Ngap Sayot hasil tulisan Loloq yang menggambarkan realiti kehidupan:
Bila perut dah terlampau lapar
Tak peduli apa depan ku sambar.
Kritikan ini turut bersambung dalam skala global apabila Amuk menyentuh isu kemanusiaan sejagat melalui lagu Sharon (2002). Lirik lagu ini mengecam kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin. Dalam konteks ini, Amuk memperlihatkan sensitiviti antarabangsa yang jarang disentuh secara lantang oleh pemuzik arus perdana. Hal ini memperlihatkan kesediaan Amuk untuk melangkaui sempadan geografi dalam memperjuangkan hak asasi manusia, selari dengan pandangan Profesor Manfred B. Steger dalam Globalization: A Very Short Introduction (2003) bahawa globalisasi tidak terpisah daripada unsur politik dan kemanusiaan.
Selain itu, isu ketamakan manusia turut diketengahkan dalam lagu Dikir Timur dan Lebai Malang. Kedua-dua lagu ini mengangkat tabiat tamak yang tidak pernah reda dalam masyarakat. Amuk menyusuli dengan lagu seperti Akar dan Bumi serta Ingat-Ingat sebagai bentuk peringatan agar masyarakat tidak terjebak dengan sikap lupa diri dalam meniti perjalanan hidup.
Lagu Amuk turut menjadi cerminan terhadap permasalahan sosial yang melanda masyarakat Malaysia pada era tahun 1990-an dan awal tahun 2000-an. Isu seperti penagihan dadah dan pembuangan bayi dirakam secara puitis dan kritikal. Lagu Aku Mahu Pulang hasil tulisan Bob Lokman menceritakan keinsafan seorang penagih yang mahu memulakan hidup baharu selepas menjalani pemulihan. Sementara itu, dalam lagu Dalam Semak, kecaman keras dilontarkan terhadap perbuatan membuang bayi:
Kaulah syaitan bertopengkan insan
Tahu makan tak tahu simpan
Sedangkan yang bernama haiwan
Tidak membuang anak yang dilahirkan.
Secara tersirat, Amuk menyeru masyarakat agar tidak bersikap pasif terhadap barah sosial yang kian membarah. Kemajuan sesebuah negara tidak hanya terletak pada infrastruktur dan angka ekonomi, tetapi juga pada kesejahteraan nilai dan ketertiban sosial dalam kalangan rakyatnya. Maka, semua lapisan masyarakat baik muda mahupun tua bertanggungjawab dalam mencari ikhtiar penyelesaian.
Imej keras dan muzik lantang yang dibawa oleh Amuk sebenarnya menyimpan khazanah makna yang mendalam. Dalam era yang menyaksikan sebahagian industri muzik cenderung kepada hedonisme dan hiburan kosong, Amuk tampil sebagai suara berbeza yang membawa teguran sosial, nilai moral dan kesedaran kemasyarakatan. Mereka bukan sekadar “berkhutbah” atau memberikan motivasi retorik, tetapi menyampaikan mesej secara halus dan berseni melalui lagu yang menyentuh akal dan emosi.
Ternyata hasil seni Amuk bukanlah untuk melemahkan jiwa, tetapi untuk menguatkan kesedaran, mengajak pendengar agar tidak terus lena dibuai arus populariti yang dangkal seperti lirik dalam lagu Rajawali:
Lagu ini berkiasan
Ilham dari pengamatan
Tentang apa tersurat
Yang tersirat
Untuk kita melihat.