Diterbitkan pada 6 Mei 2025, 12:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Setiap tahun pada 1 Mei, Hari Pekerja disambut sebagai tanda penghargaan kepada golongan pekerja yang menjadi tulang belakang kejayaan sesebuah organisasi dan kemajuan ekonomi negara. Sambutan ini bukan sekadar acara tahunan tetapi simbol pengiktirafan terhadap peranan kritikal pekerja dalam pembangunan negara. Oleh itu, menjadi tanggungjawab bersama kerajaan, majikan dan masyarakat untuk terus melindungi, menghormati dan memartabatkan golongan pekerja.

Antara aspek penting dalam usaha ini termasuklah memastikan persekitaran kerja yang kondusif dan harmoni. Kegagalan majikan mewujudkan suasana kerja yang positif boleh membuka ruang kepada kemunculan persekitaran kerja toksik yang merangkumi pelbagai bentuk gangguan seperti buli, pilih kasih, gosip, diskriminasi, penghinaan, “tikam belakang” dan gangguan seksual. Elemen ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pekerja tetapi juga boleh mengakibatkan konflik dalaman dan perpecahan dalam kalangan warga kerja.

Lebih membimbangkan, budaya toksik ini boleh mempengaruhi pekerja lain dan mewujudkan kelompok berpuak-puak, sekali gus menghalang kerjasama berpasukan. Akhirnya, situasi ini akan menjejaskan dinamika organisasi, menurunkan produktiviti dan memburukkan lagi hubungan sesama pekerja.

Menurut Laporan Workmonitor Malaysia 2025 oleh Randstad, 59 peratus pekerja Malaysia menyatakan bahawa mereka sanggup berhenti kerja jika terpaksa berada dalam persekitaran kerja yang toksik, angka tertinggi di rantau Asia Pasifik. Tambahan pula, 48 peratus responden akan menolak tawaran kerja daripada organisasi yang diketahui tidak mengamalkan budaya kerja positif.

Langkah Proaktif Majikan

Majikan perlu mengambil langkah proaktif dan inklusif dalam memperbaik persekitaran kerja. Antara usaha yang boleh diambil termasuklah:

  1. Mengamalkan komunikasi dua hala – Galakkan budaya komunikasi terbuka antara pekerja dengan pihak pengurusan melalui pertemuan berkala yang melibatkan semua, bukan hanya pekerja “kegemaran”. Hal ini membuka ruang untuk maklum balas dan melahirkan rasa dihargai.
  2. Elakkan layanan pilih kasih – Semua pekerja perlu dilayan secara adil tanpa mengira keupayaan “mengipas”. Sikap berat sebelah hanya akan meretakkan keharmonian dan menimbulkan rasa tidak puas hati.
  3. Tangani konflik dengan berkesan – Konflik yang diabaikan boleh berlarutan dan mencetuskan ketegangan. Majikan perlu menangani isu ini secara adil dan bijaksana agar tidak memberikan kesan negatif jangka panjang terhadap semangat kerja.
  4. Amalkan budaya penghargaan dan pengiktirafan – Kajian menunjukkan bahawa 46 peratus pekerja meninggalkan pekerjaan kerana berasa tidak dihargai. Pengiktirafan boleh diberi dalam pelbagai bentuk termasuklah pujian lisan, nota penghargaan atau ganjaran formal seperti trofi dan sijil.
  5. Penilaian prestasi yang telus dan berasaskan merit – Penilaian perlu dibuat berdasarkan prestasi sebenar, bukan faktor peribadi. Gunakan indikator seperti kualiti kerja, produktiviti dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai asas penilaian yang adil dan objektif.

Walaupun budaya kerja toksik sukar untuk dihapuskan sepenuhnya, perkara ini boleh dibendung melalui pendekatan sistematik dan kerjasama erat antara majikan dengan pekerja. Menanganinya dari awal mampu mencegah kesan yang lebih buruk kepada organisasi dalam jangka panjang.

Kita harus mengubah budaya konflik kepada budaya kolaboratif, yakni semua pihak berasa didengar, dihargai dan disokong. Hanya dengan ini, kita mampu membina persekitaran kerja yang benar-benar kondusif, harmoni dan lestari  selari dengan semangat Hari Pekerja.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi