Diterbitkan pada 16 Mei 2026, 08:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Siapa pun kita pada hari ini, perjalanan awal kehidupan pasti bermula daripada seorang guru yang mengajar kita mengenal huruf dan angka. Oleh itu, sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun amat dekat di hati masyarakat sama ada yang masih bergelar pelajar mahupun yang telah lama meninggalkan alam pengajian.

Hari Guru juga wajar dijadikan ruang untuk menilai semula makna peranan guru, serta hubungan antara pendidikan sekolah dengan masa hadapan generasi pelapis negara. Dalam wacana pendidikan dan cabaran masa hadapan, peranan guru tidak seharusnya disempitkan sekadar sebagai penyampai ilmu atau pelaksana kurikulum. Sebaliknya, guru memikul tanggungjawab strategik sebagai pembina modal insan, pencetus daya fikir, pembentuk nilai dan pengasuh awal kepada generasi pemimpin masa hadapan.

Dalam dunia yang semakin kompleks dan dipenuhi ketidaktentuan, harapan masa hadapan negara banyak disandarkan pada bahu para guru. Tanggungjawab besar ini menuntut peranan guru melangkaui tugas melahirkan generasi yang hanya mampu membaca, mengira dan menjawab peperiksaan.

Negara memerlukan rakyat yang mampu berfikir secara kritis, membuat pertimbangan yang adil, memimpin dengan nilai, mengurus perubahan, menguasai teknologi, menyantuni budaya, serta memiliki daya tahan menghadapi cabaran masa hadapan.

Nilai tersebut tidak muncul secara tiba-tiba apabila seseorang memasuki universiti, melangkah ke alam pekerjaan atau memegang jawatan kepimpinan. Sebaliknya, benih kepimpinan disemai sejak awal di rumah, diperkukuh di sekolah dan diasuh dengan penuh kesabaran oleh guru.

Keadaan ini memperlihatkan bahawa sekolah merupakan tapak awal pembentukan kepimpinan. Di sekolah, seorang kanak-kanak mula memahami bahawa kehidupan mempunyai peraturan, tanggungjawab, disiplin, kerjasama dan akibat daripada setiap tindakan. Dalam bilik darjah pula, mereka belajar mendengar sebelum bercakap, bertanya sebelum membuat kesimpulan, menghormati pandangan orang lain dan menyiapkan tugasan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Nilai yang kelihatan kecil ini sebenarnya menjadi asas penting dalam membentuk kepimpinan yang cemerlang. Seorang pemimpin bukan sahaja perlu bijak berhujah, tetapi juga tahu mendengar. Pemimpin juga bukan sekadar berani membuat keputusan, sebaliknya sanggup memikul tanggungjawab terhadap keputusan tersebut. Semua sikap kepimpinan ini terbentuk melalui didikan dan asuhan berterusan di sekolah.

Guru turut memainkan peranan penting dalam membentuk cara manusia berfikir. Dalam dunia yang dibanjiri maklumat, kekuatan sebenar individu bukan lagi terletak pada banyaknya maklumat yang dihafal, tetapi pada keupayaan menilai maklumat dengan matang dan bijaksana. Murid hari ini hidup dalam persekitaran digital yang membolehkan mereka memperoleh maklumat melalui enjin carian, media sosial, video pendek, aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai platform maya.

Namun begitu, kepantasan memperoleh maklumat tidak semestinya menjadikan seseorang lebih bijaksana. Di sinilah letaknya peranan guru yang tidak mampu digantikan oleh teknologi. Guru mengasah pemikiran murid untuk membezakan antara fakta dengan pendapat, antara ilmu dengan sangkaan, serta antara kebebasan bersuara dengan kecelaruan berfikir.

Peranan guru menjadi semakin penting apabila generasi muda hari ini sering menjadi sasaran kritikan masyarakat. Generasi pelapis sering dianggap kurang sabar, terlalu bergantung pada teknologi, sukar menerima tekanan, cepat bosan, kurang menghormati hierarki dan lebih mementingkan keselesaan diri. Kritikan tersebut tidak boleh ditolak sepenuhnya kerana sebahagiannya lahir daripada pengalaman sebenar majikan, pendidik dan masyarakat.

Namun demikian, kritikan tersebut juga tidak wajar dijadikan hukuman mutlak terhadap keseluruhan generasi muda kerana setiap generasi dibesarkan dalam persekitaran sosial, ekonomi dan teknologi yang berbeza. Sebagai contoh, generasi Z membesar dalam dunia yang jauh lebih terbuka, pantas dan tidak menentu berbanding dengan generasi terdahulu.

Oleh itu, persoalan yang lebih penting bukanlah sama ada generasi pewaris itu lemah atau kuat, tetapi kaedah mereka dibimbing supaya kekuatan dimanfaatkan dan kelemahan diperbaik. Generasi muda memiliki pelbagai potensi seperti celik teknologi, cepat menyesuaikan diri dengan aplikasi baharu, lebih terbuka kepada idea kreatif, berani menyuarakan pandangan dan lebih peka terhadap isu sosial.

Sekiranya potensi tersebut diasuh dengan disiplin, nilai dan hala tuju yang betul, mereka mampu menjadi generasi pemimpin yang berbeza sifatnya, tetapi tetap berupaya memberikan sumbangan besar kepada masyarakat.

Dalam merealisasikan hasrat ini, guru memainkan peranan penting melalui pendekatan pendidikan yang tegas tetapi tidak menghukum, terbuka tetapi masih berlandaskan batas nilai, serta moden tanpa memutuskan akar budaya.

Dalam konteks pembangunan negara, guru sebenarnya merupakan pelabur awal dalam pembinaan modal insan masa hadapan. Hasil didikan seorang guru mungkin tidak segera kelihatan dalam bentuk angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), keuntungan syarikat atau produktiviti ekonomi.

Namun demikian, dalam jangka masa panjang, kesan pendidikan amat besar dalam menentukan kualiti tenaga kerja, daya saing usahawan, integriti penjawat awam, kebijaksanaan pemimpin korporat dan kematangan pembuat dasar.

Negara yang memiliki sistem pendidikan yang baik akan melahirkan masyarakat yang lebih berilmu, produktif dan berdaya saing. Pemimpin masa hadapan bukan sahaja memerlukan kecerdasan kognitif, tetapi juga kecerdasan moral, sosial dan budaya. Mereka perlu membuat keputusan yang bukan sahaja cekap dari sudut ekonomi, tetapi adil dari sudut sosial dan bertanggungjawab dari sudut kemanusiaan.

Dalam era AI, automasi dan analitik data, manusia boleh bergantung pada teknologi untuk mempercepat urusan kerja. Namun, teknologi tidak memiliki nurani dan pertimbangan nilai. Teknologi hanya mampu memberikan cadangan, tetapi manusia yang menentukan sama ada sesuatu keputusan itu wajar, adil dan beretika.

Oleh itu, guru berperanan memastikan murid bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi manusia yang mempunyai pertimbangan nilai dalam memanfaatkan teknologi.

Di dalam kelas, guru mengajar ilmu. Di luar kelas, guru mengajar kehidupan. Kadangkala nasihat guru di koridor sekolah, teguran di padang, bimbingan semasa aktiviti kokurikulum atau kepercayaan yang diberikan kepada murid untuk memimpin kumpulan kecil meninggalkan kesan yang lebih mendalam daripada isi kandungan buku teks.

Murid yang diberi peluang menjadi ketua kelas belajar tentang amanah. Murid yang menyertai pertandingan pidato belajar tentang keberanian. Murid yang terlibat dalam kerja berkumpulan belajar tentang toleransi. Murid yang ditegur kerana kesilapan pula belajar tentang tanggungjawab. Semua pengalaman ini sebenarnya merupakan latihan kepimpinan yang membentuk asas kepimpinan secara berkesan.

Guru juga berperanan sebagai penjaga kesinambungan nilai masyarakat. Dalam keghairahan mengejar kemajuan, masyarakat kadangkala terlupa bahawa pembangunan tidak boleh hanya diukur melalui bangunan tinggi, teknologi canggih dan angka pertumbuhan ekonomi semata-mata. Sebaliknya, keseimbangan antara kemajuan dengan nilai kemanusiaan menjadi semakin penting pada masa hadapan.

Pemimpin masa hadapan perlu fasih dalam bahasa teknologi, tetapi tidak boleh buta terhadap bahasa kemanusiaan. Mereka perlu memahami data, tetapi tidak boleh mengabaikan pertimbangan nilai di sebalik angka. Mereka perlu mengejar kecekapan, tetapi tidak boleh menjadikan kecekapan sebagai alasan untuk menghakis nilai kemanusiaan. Mereka juga perlu bersedia bersaing pada peringkat global, namun tetap mempunyai jati diri yang berakar pada adat dan budaya.

Semua keseimbangan ini memerlukan proses pendidikan yang panjang, sabar dan berterusan daripada seorang guru. Sempena Hari Guru, sudah tiba masanya masyarakat memberikan penghargaan kepada guru dari sudut yang lebih strategik. Guru bukan sekadar penjawat dalam sistem pendidikan, tetapi arkitek sosial yang membentuk rupa masa hadapan negara.

Walaupun guru tidak duduk di meja lembaga pengarah, tidak mengetuai syarikat besar dan tidak menggubal dasar ekonomi negara, namun di tangan merekalah terbentuk manusia yang suatu hari nanti akan menjadi pengurus, usahawan, penjawat awam, ahli akademik, pemimpin masyarakat dan pembuat keputusan negara.

Akhirnya, usaha melahirkan pemimpin masa hadapan tidak boleh diserahkan kepada nasib semata-mata. Pemimpin lahir melalui proses asuhan, teguran, dorongan, peluang dan nilai yang disemai sejak kecil oleh guru. Dalam setiap murid yang kelihatan biasa, mungkin tersembunyi seorang pemimpin masa hadapan. Dalam setiap bilik darjah yang sederhana, mungkin sedang dibentuk seorang pentadbir yang adil, usahawan yang berani, pengurus yang berintegriti atau pemimpin negara yang bijaksana.

Penghargaan terhadap guru bukan sekadar mengenang jasa mereka di dalam kelas. Lebih besar daripada itu, guru memainkan peranan penting dalam membina generasi pemimpin masa depan yang berilmu, beradab, berani, berintegriti dan berjiwa kemanusiaan.

Di tengah-tengah cabaran teknologi AI dan perubahan dunia yang pantas, guru akan terus menjadi pelita ilmu yang membentuk hati manusia dan menyemai nilai kepimpinan unggul dalam diri anak bangsa. Di tangan guru, masa hadapan bukan sekadar diajar, tetapi dibentuk.

Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob, Dekan di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi