Diterbitkan pada 8 Jun 2026, 08:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perubahan iklim, pencemaran, penebangan hutan dan pengurusan sisa yang tidak terkawal merupakan antara cabaran alam sekitar utama yang dihadapi dunia pada era globalisasi, khususnya di negara yang sedang pesat membangun. Isu ini mendapat perhatian meluas masyarakat antarabangsa, termasuk organisasi global dan kerajaan pelbagai negara.

Pelbagai laporan dan kajian mendapati bahawa peningkatan suhu global, banjir besar, kemarau berpanjangan, gelombang haba dan kebakaran hutan berpunca daripada aktiviti manusia seperti pelepasan gas rumah hijau, penggunaan bahan api fosil, serta pembangunan bandar yang tidak terkawal.

Keadaan ini menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara, kehilangan biodiversiti dan gangguan terhadap ekosistem semula jadi. Oleh itu, banyak negara maju dan membangun kini memberikan perhatian serius terhadap ancaman krisis iklim global yang semakin membimbangkan sekiranya tindakan menyeluruh dan mampan tidak dilaksanakan segera.

Bagi menangani cabaran tersebut, United Nations Environment Programme (UNEP) dan Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) melaksanakan pelbagai kajian saintifik, laporan penilaian, serta garis panduan dasar berkaitan dengan perubahan iklim. Inisiatif ini bertujuan membantu negara yang berdepan dengan masalah alam sekitar, selain mengenal pasti punca dan kesan krisis iklim secara lebih menyeluruh.

Pada peringkat nasional, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam memperkenalkan Dasar Alam Sekitar Negara (DASN) sebagai kerangka utama untuk menangani isu perubahan iklim dan pencemaran secara bersepadu. Dasar ini bertujuan memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara seimbang antara pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan sosial dan pemeliharaan alam sekitar.

Bagi merealisasikan DASN, kerajaan memberikan penekanan terhadap pendekatan pengurusan alam sekitar bersepadu yang merangkumi penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pemantauan aktiviti industri, kawalan pencemaran serta pelaksanaan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek pembangunan baharu. Pendekatan ini selaras dengan aspirasi UNEP yang menekankan kepentingan pembangunan lestari, pengurangan pencemaran dan pengamalan ekonomi hijau.

Dari sudut ekonomi, usaha tersebut bukan sahaja meningkatkan daya saing industri, malah memastikan sumber semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang. Integrasi dasar negara dengan garis panduan antarabangsa turut memperkukuh tadbir urus alam sekitar, menggalakkan pelaburan hijau dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih berdaya tahan.

Bagi memastikan agenda kelestarian dilaksanakan secara berkesan dalam kalangan pelaku industri, pelibatan sektor swasta, kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) amat penting. Melalui Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), pelbagai program latihan dan kesedaran dilaksanakan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengamalkan pengurusan sisa yang lebih sistematik, pengeluaran bersih, serta sistem pemantauan pencemaran yang lebih berkesan.

Seiring dengan peningkatan kesedaran terhadap kelestarian, konsep keusahawanan eko semakin mendapat perhatian dalam kalangan ahli akademik, pelaku industri dan pembuat dasar. Secara umumnya, keusahawanan eko merujuk gabungan elemen keusahawanan dan ekologi yang menekankan aktiviti perniagaan berasaskan inovasi, serta keuntungan tanpa mengabaikan pemeliharaan alam sekitar dan penggunaan sumber secara lestari. Pendekatan ini memberikan tumpuan kepada pengurangan pencemaran, penggunaan sumber yang cekap dan pembangunan inovasi hijau yang menyokong keseimbangan ekosistem.

Konsep keusahawanan eko dilihat sebagai model perniagaan baharu yang mampu menjadi pemangkin kepada pengukuhan amalan kelestarian dalam kalangan PMKS. Pendekatan ini mendorong pengusaha menghasilkan produk hijau, menggunakan teknologi mesra alam dan mengamalkan model perniagaan yang lebih lestari. Pada masa yang sama, konsep ini membantu membentuk budaya perniagaan yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Perkembangan ekonomi hijau turut didorong oleh pelaksanaan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang semakin menjadi keutamaan dalam dunia perniagaan. ESG berfungsi sebagai rangka kerja penting untuk menilai prestasi dan tanggungjawab sesebuah organisasi dari aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus. Dalam konteks keusahawanan eko, prinsip ESG membantu pihak berkepentingan memahami bahawa kejayaan sesebuah perniagaan tidak hanya diukur melalui keuntungan semata-mata, tetapi juga melalui sumbangannya terhadap kelestarian alam, kesejahteraan masyarakat dan amalan tadbir urus yang baik.

Sehubungan dengan itu, semakin banyak syarikat dan PMKS beralih kepada amalan hijau bagi memenuhi keperluan pasaran global yang menjadikan pematuhan ESG sebagai syarat penting dalam rantaian bekalan dan keputusan pelaburan. Bersandarkan tuntutan tersebut, pembangunan personaliti usahawan eko perlu diberikan perhatian bagi melahirkan usahawan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, inovatif dan mematuhi piawaian kelestarian yang ditetapkan.

Menurut pelbagai kajian, usahawan eko lazimnya mempunyai ciri proaktif, kreatif dan berorientasikan penyelesaian terhadap isu alam sekitar. Dalam konteks ekonomi semasa, mereka juga perlu mempunyai pemikiran strategik untuk menyesuaikan diri dengan peralihan kepada ekonomi rendah karbon, peningkatan permintaan terhadap produk hijau dan keperluan rantaian bekalan yang semakin ketat. Keupayaan mengimbangi keuntungan perniagaan dengan tanggungjawab alam sekitar menjadikan usahawan eko bukan sahaja sebagai pemain ekonomi, malah ejen perubahan yang menyumbang kepada penyelesaian cabaran global.

Kesedaran terhadap kepentingan ESG semakin meningkat apabila Malaysia memperkenalkan Pelan Strategik ESG bagi pelaku industri, khususnya PMKS pada tahun 2025. Melalui pelan ini, organisasi digalakkan melaporkan prestasi kelestarian mereka, termasuk aspek perubahan iklim, pengurusan sumber dan impak terhadap alam sekitar.

Perkembangan tersebut memberikan kesan langsung kepada ekosistem perniagaan kerana usahawan eko perlu menyesuaikan operasi mereka dengan piawaian hijau yang semakin menjadi keperluan pasaran. Selain meningkatkan penggunaan teknologi hijau dan amalan pengurusan lestari, mereka juga perlu memperkukuh sistem pelaporan ESG bagi memastikan daya saing terus terpelihara pada peringkat domestik dan antarabangsa.

Walau bagaimanapun, usaha memperluas amalan keusahawanan eko masih berdepan dengan beberapa cabaran. Antaranya termasuklah kos teknologi hijau yang tinggi, tahap kesedaran pengguna yang masih belum menyeluruh, serta keterbatasan akses kepada pembiayaan hijau, teknologi moden dan kepakaran khusus. Kekangan ini menyebabkan sesetengah pengusaha masih cenderung mengekalkan model pengeluaran konvensional berbanding beralih kepada pengeluaran yang lebih lestari.

Secara keseluruhannya, keusahawanan eko mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu pembangunan ekonomi mampan di Malaysia. Konsep ini bukan sekadar model perniagaan yang menjana keuntungan, tetapi juga satu pendekatan yang mengintegrasikan pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Dengan sokongan dasar kerajaan, pelaksanaan ESG dan kerjasama erat antara kerajaan, industri, masyarakat serta institusi pengajian tinggi, keusahawanan eko berupaya membentuk ekosistem ekonomi yang lebih lestari, berdaya tahan dan berorientasikan masa hadapan demi kesejahteraan generasi akan datang.

Profesor Madya Dr. Muhammad Abi Sofian Abdul Halim, Pensyarah di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi