Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap tahun pada 1 Mei, Hari Pekerja disambut sebagai tanda penghargaan kepada golongan pekerja yang menjadi tulang belakang kejayaan sesebuah organisasi dan kemajuan ekonomi negara. Sambutan ini bukan sekadar acara tahunan tetapi simbol pengiktirafan terhadap peranan kritikal pekerja dalam pembangunan negara. Oleh itu, menjadi tanggungjawab bersama kerajaan, majikan dan masyarakat untuk terus melindungi, menghormati dan memartabatkan golongan pekerja.
Antara aspek penting dalam usaha ini termasuklah memastikan persekitaran kerja yang kondusif dan harmoni. Kegagalan majikan mewujudkan suasana kerja yang positif boleh membuka ruang kepada kemunculan persekitaran kerja toksik yang merangkumi pelbagai bentuk gangguan seperti buli, pilih kasih, gosip, diskriminasi, penghinaan, “tikam belakang” dan gangguan seksual. Elemen ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pekerja tetapi juga boleh mengakibatkan konflik dalaman dan perpecahan dalam kalangan warga kerja.
Lebih membimbangkan, budaya toksik ini boleh mempengaruhi pekerja lain dan mewujudkan kelompok berpuak-puak, sekali gus menghalang kerjasama berpasukan. Akhirnya, situasi ini akan menjejaskan dinamika organisasi, menurunkan produktiviti dan memburukkan lagi hubungan sesama pekerja.
Menurut Laporan Workmonitor Malaysia 2025 oleh Randstad, 59 peratus pekerja Malaysia menyatakan bahawa mereka sanggup berhenti kerja jika terpaksa berada dalam persekitaran kerja yang toksik, angka tertinggi di rantau Asia Pasifik. Tambahan pula, 48 peratus responden akan menolak tawaran kerja daripada organisasi yang diketahui tidak mengamalkan budaya kerja positif.
Langkah Proaktif Majikan
Majikan perlu mengambil langkah proaktif dan inklusif dalam memperbaik persekitaran kerja. Antara usaha yang boleh diambil termasuklah:
Walaupun budaya kerja toksik sukar untuk dihapuskan sepenuhnya, perkara ini boleh dibendung melalui pendekatan sistematik dan kerjasama erat antara majikan dengan pekerja. Menanganinya dari awal mampu mencegah kesan yang lebih buruk kepada organisasi dalam jangka panjang.
Kita harus mengubah budaya konflik kepada budaya kolaboratif, yakni semua pihak berasa didengar, dihargai dan disokong. Hanya dengan ini, kita mampu membina persekitaran kerja yang benar-benar kondusif, harmoni dan lestari selari dengan semangat Hari Pekerja.