Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap kali tibanya bulan Mei, sambutan Hari Ibu diraikan sebagai tanda penghargaan terhadap kasih sayang, pengorbanan dan ketabahan seorang ibu. Ibu dihargai sebagai insan yang melahirkan, membesarkan, merawat, mendoakan dan membimbing anak-anak tanpa mengenal lelah.
Namun begitu, di sebalik kelembutan dan pengorbanan itu, terdapat satu peranan besar yang kurang diberikan perhatian dalam wacana ekonomi dan pembangunan manusia, iaitu peranan ibu sebagai pendidik kewangan pertama dalam kehidupan anak-anak.
Sebelum anak mengenal institusi perbankan, kad kredit, pinjaman pendidikan, pelaburan atau aplikasi beli dahulu bayar kemudian, mereka terlebih dahulu mengenal wang melalui ibu. Anak-anak memerhati cara ibu membandingkan harga barang, menyimpan resit, mengawal perbelanjaan, menangguhkan pembelian yang tidak perlu, serta menasihati mereka agar tidak membazir. Dalam banyak keluarga, ibu bukan sekadar penjaga rumah tangga, tetapi juga pengurus kewangan harian yang mengimbangi pendapatan, perbelanjaan, hutang, simpanan dan keperluan keluarga.
Pengalaman harian ini membentuk cara anak memandang wang dan menentukan sikap mereka terhadap perbelanjaan, simpanan, serta tanggungjawab kewangan. Pendidikan kewangan tidak formal yang diterima daripada ibu sejak kecil berpotensi menentukan sama ada seseorang anak membesar sebagai individu yang berhemat atau mudah terperangkap dalam budaya hutang dan pembaziran.
Peranan ini menjadi semakin penting apabila melihat realiti kewangan generasi muda di Malaysia. Laporan media menunjukkan bahawa ribuan rakyat Malaysia berumur 34 tahun ke bawah telah diisytiharkan muflis dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Situasi tersebut bukan sekadar angka statistik, tetapi petunjuk bahawa sebahagian anak muda memasuki alam dewasa tanpa tahap celik kewangan yang mencukupi.
Pada masa yang sama, landskap kewangan moden menjadi semakin kompleks. Jika dahulu urusan kewangan banyak bergantung pada wang tunai dan proses pinjaman yang lebih formal, kini transaksi berlaku dengan pantas melalui dompet digital, pembayaran tanpa tunai, aplikasi pinjaman mikro dan skim beli dahulu bayar kemudian.
Kemudahan ini menjadikan perbelanjaan semakin mudah dilakukan tanpa pertimbangan yang mendalam. Dalam keadaan sedemikian, pendidikan kewangan sejak kecil menjadi semakin penting.
Oleh itu, pendidikan kewangan tidak boleh hanya bermula apabila anak menerima gaji pertama atau memiliki kad bank sendiri. Pendidikan tersebut perlu bermula lebih awal, iaitu ketika anak mula memahami bahawa tidak semua perkara boleh dibeli, kewajaran perlunya berjimat cermat dan situasi sesetengah kehendak perlu ditangguhkan.
Dalam konteks ini, ibu menjadi sekolah kewangan pertama anak-anak. Pendidikan tersebut berlaku dalam kehidupan harian melalui pengalaman di dapur, pasar raya, meja makan dan perbualan keluarga. Ibu yang mengajar anak agar tidak membazir makanan sebenarnya sedang mengajar pengurusan sumber. Ibu yang meminta anak menyimpan sebahagian wang saku sedang memperkenalkan konsep tabungan. Manakala ibu yang menerangkan keutamaan keluarga sedang mengajar anak tentang disiplin membuat pilihan.
Pendidikan kewangan keluarga tidak semestinya menggunakan istilah teknikal. Anak-anak tidak perlu diajar konsep kewangan yang rumit pada usia kecil. Sebaliknya, mereka perlu dibiasakan dengan nilai asas seperti berjimat cermat, menabung, berbelanja mengikut kemampuan dan memahami bahawa setiap pembelian mempunyai akibat. Mereka juga perlu dididik bahawa hutang bukan sumber wang percuma, tetapi komitmen masa hadapan yang perlu ditanggung dengan penuh tanggungjawab.
Masalah kewangan dalam kalangan anak muda lazimnya berpunca daripada gabungan beberapa faktor seperti kos sara hidup yang meningkat, tekanan gaya hidup, budaya perbandingan sosial, serta tahap literasi kewangan yang rendah.
Oleh itu, usaha memupuk budaya kewangan sihat perlu bermula dari rumah. Walaupun pelbagai dasar, modul pendidikan dan kempen kesedaran diperkenalkan, peranan keluarga tetap menjadi asas utama dalam membentuk tingkah laku kewangan generasi muda.
Dalam banyak keadaan, ibu mempunyai kelebihan tersendiri kerana paling hampir dengan rutin harian anak. Ibu lazimnya lebih awal mengenal pasti tabiat anak sama ada suka menyimpan, mudah terpengaruh dengan iklan atau cenderung berbelanja secara berlebihan. Pemerhatian ini memberi ruang kepada ibu untuk membimbing dan membetulkan tingkah laku sebelum menjadi tabiat yang sukar diubah apabila dewasa.
Sebagai contoh, apabila anak meminta mainan baharu setiap kali ke pasar raya, ibu boleh menggunakan situasi tersebut sebagai ruang pendidikan. Anak boleh diajak berbincang sama ada barang tersebut benar-benar diperlukan, berapa lama akan digunakan dan sama ada lebih baik wang tersebut disimpan untuk tujuan yang lebih penting. Perbualan seperti ini sebenarnya melatih anak menangguhkan kepuasan, iaitu satu kemahiran penting dalam pengurusan kewangan.
Begitu juga apabila anak mula menerima wang saku. Ibu boleh mengajar anak membahagikan wang kepada beberapa bahagian seperti belanja, simpanan dan sumbangan. Walaupun kelihatan sederhana, amalan ini membantu anak memahami bahawa wang bukan hanya untuk dibelanjakan, tetapi juga untuk masa depan dan tanggungjawab sosial.
Cabaran pendidikan kewangan hari ini turut melibatkan dunia digital. Anak-anak membesar dalam persekitaran yang menjadikan pembelian sangat mudah melalui satu sentuhan jari. Pembayaran tanpa tunai, diskaun aplikasi, mata ganjaran dan skim ansuran kecil boleh mendorong perbelanjaan berlebihan jika tidak difahami dengan baik.
Oleh itu, ibu bukan sahaja perlu mengajar anak menyimpan wang, tetapi juga mendidik mereka memahami risiko kewangan digital. Anak perlu diberitahu bahawa pembayaran tanpa tunai tetap melibatkan wang sebenar, diskaun tidak semestinya penjimatan dan skim bayar kemudian tetap bermaksud berhutang.
Tanggungjawab ini sememangnya besar dan menuntut ibu untuk terus menambah ilmu kewangan. Sebahagian ibu mungkin tidak menerima pendidikan kewangan formal, namun pengalaman mengurus belanja keluarga, membayar bil, menyimpan untuk kecemasan dan mengelakkan hutang telah membentuk kebijaksanaan kewangan yang sangat bernilai. Dalam dunia moden, pengalaman ini perlu diperkukuh dengan kefahaman terhadap produk dan teknologi kewangan semasa.
Dalam meraikan Hari Ibu, masyarakat wajar melihat peranan ibu bukan sekadar dari sudut sentimental, tetapi juga sebagai sebahagian daripada pembangunan modal insan negara. Individu yang celik kewangan lebih berupaya membuat keputusan ekonomi yang bijak, mengurus risiko dan menghadapi cabaran kos sara hidup. Isi rumah yang mempunyai disiplin kewangan pula lebih mampu bertahan ketika berdepan kejutan ekonomi.
Hakikatnya, ibu merupakan ejen pembangunan ekonomi yang sering tidak kelihatan dalam statistik rasmi. Sumbangan mereka dalam membentuk tabiat kewangan anak mungkin tidak dicatat sebagai transaksi ekonomi, namun kesannya amat besar terhadap kesejahteraan masyarakat dan negara.
Walau bagaimanapun, tanggungjawab pendidikan kewangan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu ibu. Peranan tersebut perlu dikongsi bersama oleh bapa, sekolah, institusi kewangan, kerajaan dan masyarakat. Namun begitu, sempena Hari Ibu, amat wajar untuk kita mengiktiraf bahawa banyak nilai kewangan asas sebenarnya bermula daripada didikan seorang ibu melalui teladan, disiplin dan kebiasaan harian.
Terdapat beberapa amalan yang boleh dijadikan asas pendidikan kewangan di rumah. Antaranya termasuklah menjadikan wang sebagai topik perbualan yang sihat dalam keluarga, mengajar anak membezakan antara keperluan dengan kehendak, membiasakan budaya menunggu sebelum membeli sesuatu, menggalakkan tabungan untuk matlamat tertentu, serta menunjukkan teladan kewangan yang baik.
Selain itu, anak-anak juga perlu diperkenalkan kepada risiko kewangan digital seperti hutang mudah, penipuan dalam talian dan budaya perbelanjaan impulsif. Dalam ekonomi digital, kecerdasan kewangan perlu bergerak seiring dengan kecerdasan teknologi.
Akhirnya, pendidikan kewangan juga ialah sebahagian daripada kasih sayang. Kasih sayang ibu bukan sekadar memenuhi semua kehendak anak, tetapi membimbing mereka agar mampu menghadapi kehidupan dengan bijaksana. Ibu yang mengajar anak berjimat sebenarnya sedang membantu mereka membina masa hadapan yang lebih stabil dan sejahtera.
Hari Ibu sewajarnya menjadi ruang untuk kita menghargai bukan sahaja pengorbanan ibu dalam membesarkan anak-anak, tetapi juga peranan besar mereka dalam membentuk generasi yang celik kewangan, berdisiplin dan bertanggungjawab.
Di sebalik keluarga yang terurus dan masyarakat yang sejahtera, sering berdiri seorang ibu yang sabar mendidik anak-anak bahawa wang bukan sekadar untuk dibelanjakan, tetapi perlu diurus dengan ilmu, amanah dan kebijaksanaan.
Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob, Dekan di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.