Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIstilah hijrah cendekiawan (brain drain) mula digunakan lebih daripada enam dekad lalu bagi menggambarkan penghijrahan golongan profesional dan cendekiawan dari Britain ke Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan peluang kerjaya dan pendapatan yang lebih baik. Kini, istilah tersebut merujuk penghijrahan tenaga mahir dan berkemahiran tinggi ke luar negara, sama ada dalam kalangan graduan institusi pendidikan tinggi tempatan mahupun graduan Malaysia yang menamatkan pengajian di luar negara dan memilih untuk membina kerjaya di negara lain.
Bagi negara membangun seperti Malaysia, penghijrahan modal insan merupakan cabaran besar kerana kerajaan dan masyarakat telah melabur sumber yang besar untuk membangunkan bakat melalui sistem pendidikan, subsidi dan biasiswa. Apabila tenaga mahir berhijrah secara berterusan, negara berdepan dengan kehilangan pulangan daripada pelaburan tersebut, sekali gus menjejaskan pembangunan ekonomi dalam jangka masa panjang.
Malaysia merekodkan penghijrahan tenaga mahir yang ketara, khususnya ke Singapura, serta negara berbahasa Inggeris seperti Australia, AS, Kanada, United Kingdom dan New Zealand. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara seperti Jerman dan beberapa negara di Timur Tengah turut menjadi destinasi pilihan.
Menurut TalentCorp, lebih daripada 1.86 juta rakyat Malaysia telah berhijrah sepanjang lima dekad lalu. Walaupun sebahagian daripada diaspora menyumbang melalui pelaburan, jaringan profesional dan kiriman wang, manfaat tersebut masih belum mampu mengimbangi kehilangan tenaga mahir yang diperlukan dalam ekonomi domestik.
Pada peringkat awal, faktor utama penghijrahan ialah peluang memperoleh pendapatan yang lebih tinggi dan taraf hidup yang lebih baik. Namun begitu, perkembangan semasa menunjukkan bahawa kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi, ketidakpadanan antara kelayakan dan pekerjaan, serta prospek kerjaya yang terhad turut menjadi faktor penolak yang penting.
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat bidang kepakaran yang masih belum berkembang di Malaysia seperti teknologi aeroangkasa atau industri nuklear. Dalam keadaan sedemikian, pengalaman profesional yang diperoleh di luar negara boleh menjadi aset berharga sekiranya kepakaran tersebut dapat dimanfaatkan apabila mereka kembali berkhidmat di tanah air.
Namun begitu, cabaran utama ialah peluang pekerjaan bernilai tinggi yang masih terhad. Laporan Malaysia Economic Monitor terbitan Bank Dunia pada April 2026 menegaskan bahawa penghijrahan tenaga mahir berkait rapat dengan produktiviti yang perlahan, kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi dan keupayaan syarikat tempatan yang masih terhad untuk berkembang ke peringkat global. Dalam konteks Malaysia yang sedang menuju status masyarakat menua, isu ini semakin mendesak kerana tenaga kerja mahir menjadi pemacu utama produktiviti dan inovasi.
Kesan penghijrahan modal insan melangkaui kehilangan tenaga kerja. Pengurangan bilangan pakar dalam bidang kritikal seperti kesihatan, pendidikan, sains, teknologi dan kejuruteraan boleh menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam, memperlahankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan, serta mengurangkan keupayaan negara menghasilkan inovasi. Dalam jangka masa panjang, keadaan ini boleh menjejaskan daya saing ekonomi negara.
Oleh itu, usaha mengekang penghijrahan pakar perlu dilaksanakan secara menyeluruh. Aspek gaji yang kompetitif sememangnya penting, namun bukan satu-satunya faktor. Kajian Khazanah Research Institute (KRI) menunjukkan sebahagian besar graduan universiti menerima gaji permulaan yang rendah, manakala banyak bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka. Situasi ini menjejaskan motivasi, serta prospek pembangunan kerjaya.
Selain menambah baik struktur gaji, usaha meningkatkan produktiviti syarikat, memperluas industri berteknologi tinggi dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi perlu diberikan keutamaan. Dalam sektor awam pula, skim perkhidmatan, kebajikan dan laluan kerjaya, khususnya bagi sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan dan keselamatan, wajar dinilai secara berkala agar kekal kompetitif.
Pada masa yang sama, kualiti hidup turut mempengaruhi keputusan seseorang untuk terus menetap di Malaysia. Kemudahan kesihatan, pendidikan, pengangkutan awam, perumahan, serta keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan menjadi antara faktor yang semakin diberikan perhatian oleh tenaga kerja berkemahiran tinggi. Persekitaran kerja yang sihat dan fleksibel bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan pekerja, malah menyumbang kepada produktiviti organisasi.
Pada hakikatnya, mobiliti tenaga kerja merupakan fenomena yang tidak dapat dielakkan dalam ekonomi global. Oleh itu, matlamat dasar bukanlah menghalang penghijrahan sepenuhnya, sebaliknya mewujudkan persekitaran ekonomi yang mampu menarik bakat untuk terus kekal atau kembali berkhidmat di Malaysia.
Dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan, modal insan merupakan aset strategik negara. Mengekalkan tenaga mahir memerlukan dasar yang menyokong pertumbuhan industri bernilai tinggi, menawarkan ganjaran yang setimpal, serta menyediakan kualiti hidup yang baik. Dengan pendekatan yang menyeluruh, Malaysia bukan sahaja mampu mengurangkan penghijrahan pakar, malah berpotensi menjadi destinasi pilihan bagi bakat tempatan dan antarabangsa.
Dr. Nur Azam Anuarul Perai, Felo Penyelidik.