Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Perdana Menteri, Yang Amat Berhomat (YAB) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa China kekal sebagai rakan dagang strategik dan penting kepada Malaysia meskipun dunia sedang berdepan ketidaktentuan dalam sistem perdagangan global.
Menurut beliau, hubungan erat antara kedua-dua negara yang telah terjalin sejak puluhan tahun menjadi asas kukuh dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa termasuklah gangguan rantaian bekalan, peningkatan proteksionisme dan ketegangan geopolitik yang memberikan kesan langsung kepada perdagangan antarabangsa.
Jelas beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada hari ini,
Dalam suasana global yang tidak menentu, Malaysia memerlukan rakan yang komited kepada prinsip keterbukaan, kerjasama dan saling menguntungkan. China adalah antara negara yang sentiasa menunjukkan komitmen tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa pelaburan dan kerjasama ekonomi dengan China bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, malah memperkukuh kedudukan negara sebagai hab perdagangan dan pelaburan di rantau ASEAN.
Tambah beliau
Pelaburan langsung asing (FDI) dari China menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan terutamanya dalam sektor teknologi hijau, tenaga boleh baharu dan pembuatan berteknologi tinggi. Perkara ini sejajar dengan matlamat negara untuk mempercepat peralihan ekonomi ke arah industri bernilai tinggi dan mampan.
YAB Datuk Seri Anwar juga menekankan bahawa Malaysia akan terus memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi dengan semua negara termasuklah kuasa besar dunia, namun prinsip kedaulatan dan kepentingan negara akan sentiasa menjadi keutamaan.
Jelas beliau,
Kita tidak mahu terperangkap dalam percaturan kuasa besar dunia. Malaysia akan kekal berkecuali, berprinsip dan mengekalkan dasar luar yang bebas serta pragmatik. Perkara yang paling utama ialah kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa Malaysia dan China akan mempertingkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, pelancongan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) selari dengan aspirasi membina hubungan yang lebih komprehensif menjelang ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun 2026.
China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut dengan nilai perdagangan mencecah lebih daripada RM487 bilion pada tahun 2024.