Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan YBrs. Profesor Dr. Amir Shaharuddin dan YBrs. Profesor Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman sebagai dua ahli baharu dalam Majlis Penasihat Syariah (MPS).
Pelantikan mereka berkuat kuasa pada 1 Mei 2025 sehingga 30 April 2024 berdasarkan Seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Dengan pelantikan baharu itu, MPS akan dianggotai oleh sembilan ahli yang meliputi pelbagai kepakaran dan pengalaman seperti dalam bidang syariah, kewangan Islam, perakaunan dan undang-undang.
Ahli Majlis Penasihat Syariah (MPS) terdiri daripada Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Profesor Dr. Ashraf Md Hashim (Pengerusi), Profesor, International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF); YBhg. Profesor Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali (Timbalan Pengerusi), Profesor Kehormat, Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA); dan YBhg. Datuk Profesor Dr. Mohamad Akram Laldin (Ahli), Profesor, INCEIF.
Ahli yang lain terdiri daripada Encik Burhanuddin Lukman (Ahli), Ahli Jawatankuasa Penasihat Haji, Lembaga Tabung Haji; YBhg. Sahibus Samahah Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Haji Anhar Haji Opir (Ahli), Mufti Negeri Selangor; YBrs. Dr. Marjan Muhammad (Ahli), Timbalan Presiden, Penyelidikan, INCEIF; YBrs. Dr. Ahmad Basri Ibrahim (Ahli), Ketua Pengurusan Syariah, Permodalan Nasional Berhad (PNB); YBrs. Profesor Dr. Amir Shaharuddin (Ahli baharu), Pengarah, Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam, INCEIF; dan YBrs. Profesor Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman (Ahli baharu), Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
MPS merupakan badan berkuasa tertinggi yang berperanan penting dalam undang-undang Islam berkaitan dengan perniagaan, aktiviti atau transaksi kewangan Islam di Malaysia.
Selain itu, peraturan MPS juga menjadi rujukan bagi institusi kewangan Islam dalam memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip syariah selain sebagai rujukan kepada mahkamah dan penimbang tara.
Oleh itu, peranan MPS adalah penting untuk membentuk kepercayaan masyarakat kepada amalan syariah dan mengekalkan keyakinan mereka terhadap industri kewangan Islam.