Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan memutuskan untuk menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi bagi telur ayam bermula 1 Ogos ini selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa di bawah kerajaan MADANI.
Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), kawalan harga telur ayam juga akan ditamatkan, manakala kadar subsidi akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji berkuat kuasa esok sebelum subsidi dihentikan sepenuhnya.
Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin berikutan kos pengeluaran yang telah stabil. Keadaan ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri lalu apabila bekalan telur berada pada tahap mencukupi dengan harga yang kompetitif.
KPKM menjelaskan keputusan kerajaan untuk membuat penyasaran semula subsidi telur ayam setelah mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.
Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik COVID-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dengan Rusia ke atas harga soya import dan bijian jagung.
Langkah penyasaran semula subsidi ini adalah lebih adil memandangkan ketika ini subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi dengan hasil penjimatan boleh digunakan untuk membiayai projek tertentu bagi menjamin kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai MADANI.
Menurut KPKM, beberapa langkah intervensi akan dilaksanakan pihaknya bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi meminimumkan impak terhadap kos sara hidup rakyat susulan keputusan berkenaan.
Antara langkah tersebut termasuklah dengan kerajaan memberikan jaminan bahawa pihak industri bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga yang munasabah.
Rakyat juga boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif menerusi inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuklah di semua cawangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
KPDN turut akan mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Sebarang maklumat atau aduan berhubung isu bekalan telur boleh disalurkan melalui e-mel rasmi KPKM, [email protected] atau melalui talian khidmat pelanggan Ibu Pejabat KPKM Putrajaya, 03-8000 8000.