Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangWashington DC — Malaysia terus mengambil inisiatif dengan membuka pintu dialog bersama-sama Amerika Syarikat (AS) berhubung dengan isu tarif yang diusulkan oleh Presiden AS, Donald J. Trump pada 2 April lalu susulan lawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Yang Berhomat (YB) Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz ke Washington DC.
YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz bertemu dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Howard Lutnick dan Duta Besar Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Jamieson Greer untuk membincangkan tarif timbal balik baharu yang boleh memberikan kesan kepada eksport Malaysia.
Malaysia mengalu-alukan pengecualian sebanyak 90 hari yang diumumkan oleh AS dalam melaksanakan tarif dan melihat ini sebagai peluang keemasan untuk menyelesaikan isu tersebut melalui perbincangan secara meja rundingan. Malaysia juga sebelum ini telah menyatakan pendiriannya untuk tidak mengenakan sebarang tarif tindak balas kepada Amerika Syarikat, sebaliknya berikrar akan mencari jalan penyelesaian yang akan menguntungkan kedua-dua belah pihak.
Dalam mesyuarat itu, Malaysia menyatakan kesediaannya untuk berunding dalam empat bidang utama, iaitu mengurangkan defisit perdagangan Amerika Syarikat dengan Malaysia, menghapuskan halangan bukan tarif, meningkatkan kerjasama teknologi dan keselamatan dan meneroka potensi perjanjian perdagangan Malaysia–AS.
YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz menekankan perkongsian ekonomi yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara dengan menyatakan bahawa perniagaan Amerika telah memainkan peranan utama dalam ekonomi Malaysia selama beberapa dekad yang lepas. Beliau juga menegaskan bahawa hubungan perdagangan telah menjadi lebih seimbang sejak 10 tahun lalu dengan defisit perdagangan AS dengan Malaysia menunjukkan trend menurun yang jelas.
Jelas YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz
Perbincangan ini merupakan satu langkah ke arah matlamat yang betul. Kami akan terus membuat tindakan susulan dalam kadar yang segera dalam tempoh 90 hari ini untuk menyelesaikan isu utama.
Antara inti pati perbincangan itu juga termasuklah menyentuh mengenai kerjasama yang lebih luas antara Amerika Syarikat dengan ASEAN dengan Malaysia kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun 2025. Kedua-dua pihak bersetuju bahawa ini merupakan peluang yang tepat pada masanya untuk mengukuhkan hubungan serantau dan bekerjasama untuk kepentingan ekonomi bersama.
Malaysia tetap berharap bahawa perbincangan yang sedang berlangsung akan membantu mengelakkan gangguan yang tidak perlu kepada aktiviti perdagangan negara sambil melindungi hubungan perniagaan jangka panjang dengan AS yang merupakan rakan kongsi globalnya yang paling penting.