Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 25 April 2025, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tawau – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mempergiat usaha memperkukuh sistem percukaian negara melalui pelaksanaan Operasi Pematuhan (OP) Tombak peringkat Sabah, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI bagi memastikan sistem percukaian kekal cekap, adil dan inklusif.

Operasi yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 April hingga 25 April 2025 di sekitar daerah Tawau ini merupakan kesinambungan kepada siri kelima OP Tombak yang dilaksanakan tahun ini.

Menurut kenyataan HASiL, inisiatif ini adalah sebahagian daripada pendekatan strategik jangka panjang bagi memperluas asas percukaian serta meningkatkan tahap pematuhan secara menyeluruh dan berstruktur.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin merasmikan Majlis “OP” Tombak di Pejabat HASiL Tawau, pagi tadi.

 

Sebanyak 170 orang pegawai HASiL dari seluruh Sabah telah digerakkan bagi mengendalikan lebih 1,000 kes yang telah dikenal pasti. Fokus utama operasi merangkumi audit cukai dan Potongan Cukai Bulanan (PCB) oleh majikan, pematuhan strategik termasuklah siasatan, verifikasi pembayar cukai, pungutan hasil serta pemeriksaan berkaitan dengan duti setem dan guaman.

HASiL turut memaklumkan bahawa majoriti kes tertumpu pada sektor berisiko tinggi seperti industri kelapa sawit, sektor perkhidmatan, ekonomi bayangan, industri kontraktor serta sektor lain yang dikenal pasti berpotensi berlaku ketidakpatuhan cukai.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin dalam ucapannya semasa merasmikan OP Tombak di Pejabat HASiL Tawau berkata, penutupan operasi ini bukanlah penamat, sebaliknya menjadi titik tolak kepada semangat baharu dalam memperkukuh budaya pematuhan cukai di negara ini.

“Kejayaan operasi ini perlu diterjemahkan kepada tindakan susulan yang konsisten, berfokus dan berasaskan data. Hal ini juga menuntut pelibatan aktif semua pihak dalam memastikan sistem percukaian negara menjadi lebih cekap, menyeluruh dan memberikan manfaat kepada rakyat serta negara,” tegas beliau.

HASiL berharap pelaksanaan operasi ini akan memberikan impak positif kepada usaha memperluas asas cukai, meningkatkan pematuhan sukarela serta mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap sistem percukaian yang adil, telus dan berintegriti.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), YBhg. Datuk Hisham Rusli; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas), YBrs. Encik Ahmad Khairuddin Abdullah dan barisan pengurusan kanan HASiL.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi