Diterbitkan pada 25 April 2025, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) meluangkan masa bersama-sama dengan 40 orang usahawan dalam satu sesi bimbingan kewangan yang diadakan di Hotel Grand Darul Makmur, semalam.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman usahawan mengenai kepentingan pengurusan kewangan yang berkesan dalam perniagaan, sejajar dengan usaha memperkasakan daya tahan dan kemampanan kewangan usahawan tempatan.

40 orang usahawan yang menyertai program pengurusan kewangan yang diadakan di Hotel Grand Darul Makmur.

Yang Berusaha Puan Chong Soo Lan, Penasihat Kewangan AKPK cawangan Kuantan berkata, AKPK menyediakan pelbagai perkhidmatan dalam memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seperti pendidikan kewangan, khidmat nasihat dan pengurusan kredit ke arah mewujudkan sistem kewangan dan polisi awam yang kukuh, mantap dan inklusif.

Tambah beliau,

Usahawan yang mempunyai masalah seperti komitmen hutang yang tinggi boleh mendapatkan bantuan AKPK bagi mengurangkan ansuran bulanan melalui penstrukturan semula pelan pembayaran yang dirangka khusus dalam Program Pengurusan Kredit (PPK).

Beliau turut menjelaskan bahawa melalui pengurangan bayaran hutang bulanan ini, usahawan dapat menggunakan lebihan wang bagi tujuan kegunaan modal pusingan, pembelian bahan mentah dan juga stok perniagaan selain dijadikan wang kecemasan.

Amalan pengurusan kewangan yang baik juga sangat membantu sesebuah perniagaan itu untuk mendapat suntikan dana daripada institusi kewangan. Oleh itu, AKPK mahu memastikan setiap perniagaan menjaga rekod Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) mereka.

Sebagai agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sejak tahun 2006 lagi, AKPK menekankan bahawa perkhidmatan yang disediakan oleh mereka adalah percuma.

Kredit Foto: Nur Ayunie Zainuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi