Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Perdagangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaksanakan beberapa inisiatif strategik untuk memperkukuh kawal selia sektor sarung tangan getah berdasarkan situasi semasa perdagangan dunia.
Menurut KPK, Malaysia merupakan antara pengeluar dan pengeksport utama getah dan produk berasaskan getah dengan nilai eksport mencecah RM33.7 bilion pada tahun 2024. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM15.41 bilion atau 45.8 peratus disumbangkan oleh sektor sarung tangan getah sahaja.
Antara inisiatif tersebut termasuklah memperketat syarat pelesenan bagi aktiviti eksport sarung tangan getah melalui Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014.
Semua syarikat pengeksport sarung tangan getah yang berlesen dengan LGM hanya dibenarkan mengeksport sarung tangan getah yang diperoleh daripada sumber kilang pembuatan tempatan sahaja berkuat kuasa serta-merta.
Langkah ini diambil bagi menjamin kualiti produk dan kemampanan industri sarung tangan getah negara selain sebagai langkah pencegahan terhadap risiko Malaysia menjadi destinasi pengalihan perdagangan dari negara lain.
Hal ini juga susulan perkembangan global yang memperlihatkan ketidaktentuan dalam landskap perdagangan antarabangsa termasuklah perubahan dasar pasaran utama dunia yang memberikan kesan langsung kepada rantaian bekalan dan pasaran eksport produk getah. Keadaan ini berpotensi menyebabkan peningkatan import sarung tangan getah yang boleh menjejaskan daya saing industri getah domestik.
LGM juga giat menjalankan operasi bersepadu bersama-sama dengan agensi penguatkuasaan yang lain bagi memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan dalam sektor sarung tangan getah demi menjaga imej dan daya saing industri getah negara.
KPK dan LGM akan terus memantau secara dekat perkembangan semasa perdagangan dunia dan sentiasa bersiap siaga untuk melaksanakan langkah proaktif dalam melindungi kepentingan keseluruhan industri getah negara termasuklah semua produk getah.
Dalam jangka masa terdekat, KPK juga akan meneliti pendekatan jangka panjang yang bersesuaian dengan perubahan landskap geopolitik dan ekonomi global demi memastikan daya tahan dan kebolehpasaran industri getah Malaysia terus dipertahankan.