Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 24 April 2025, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Georgetown – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perdana anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) Pulau Pinang hari ini berlangsung meriah dengan agenda utama menyantuni golongan yang memerlukan menerusi penyampaian sumbangan kepada institusi maahad tahfiz.

Majlis yang diadakan di Menara HASiL Pulau Pinang itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak yang berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada dua institusi terpilih, iaitu Ma’ahad Tahfiz Al Ahmad Darul Quran dan Ma’ahad Tahfiz Al-Quran Fathur Rahman.

Penyampaian sumbangan ini merupakan simbol komitmen HASiL dalam memperkukuh tanggungjawab sosial dan mengangkat nilai murni sejajar dengan tema sambutan tahun ini, Aidilfitri Dirai, Nikmat Disyukuri.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin dalam ucapannya menegaskan bahawa HASiL sentiasa mendukung usaha kerajaan untuk memastikan hasil negara dimanfaatkan rakyat melalui pelbagai inisiatif bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin.

“Sehingga 18 Mac 2025, sebanyak 437,896 rakyat negeri ini telah berdaftar sebagai penerima STR, manakala 32,734 orang pula menerima manfaat SARA,” ujar beliau.

Majlis turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi HASiL termasuklah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), YBrs. Encik Khairul Halimin Abdul Halim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), YBrs. Encik Shaharrudy Othman dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas), YBrs. Encik Ahmad Khairuddin Abdullah.

Majlis yang turut dihadiri wakil agensi kerajaan dan swasta ini bukan sekadar sambutan perayaan, malah menjadi medan mengeratkan ukhuwah serta memperkukuh jaringan kerjasama demi pembangunan negara yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Kredit Foto: Lembaga Hasil Dalam Negeri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi