Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pendigitalan buku bukan sekadar memindahkan kandungan buku ke skrin tetapi merupakan langkah strategik dalam membina ekosistem ilmu pintar yang responsif berasaskan data dan berorientasikan masa hadapan.
Demikian menurut Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Haji Azman Haji Adnan semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Prapelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-42 dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Industri Perbukuan 2025 di Dewan Dato’ Abdul Rahim Abu Bakar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.
YBhg. Datuk Haji Azman berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik usaha Menteri Pendidikan, YB Fadlina Sidek dalam memperluas semangat membaca dalam kalangan masyarakat termasuklah melalui agenda pendigitalan industri buku di bawah Dasar Pendidikan Digital.
“Dengan pangkalan data industri buku yang komprehensif, kerajaan dan pemain industri dapat menggubal dasar secara lebih efektif, membuat keputusan yang tepat dan merancang pembangunan industri dengan berwawasan,” kata beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa pendigitalan buku bukanlah untuk menggantikan buku fizikal tetapi lebih kepada pelengkap yang saling menyokong. Buku cetak dan digital, menurutnya, boleh bergerak seiring dalam menyuburkan ilmu.
Pada masa yang sama, beliau mengumumkan bahawa terdapat peningkatan penyertaan pempamer pada PBAKL kali ini dengan 258 buah syarikat melibatkan 1,113 reruai termasuklah 28 pempamer antarabangsa. Hal ini mencerminkan keyakinan tinggi dunia terhadap ekosistem perbukuan Malaysia.
PBAKL 2025 dengan tema “Buku: Membaca dan Memimpin” menyasarkan kehadiran sekitar 1.9 juta pengunjung secara fizikal, satu angka yang membanggakan dan menunjukkan budaya membaca yang terus kukuh di negara ini.
Sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Haji Azman berharap agar buku terus menjadi nadi pendidikan dan membaca menjadi denyut utama dalam pembinaan tamadun.
“PBAKL bukan sekadar pesta, malah cerminan kasih kita kepada ilmu dan komitmen kita terhadap masa hadapan. Marilah kita rapatkan jurang antara ilmu dan rakyat serta menggerakkan agenda Malaysia MADANI melalui halaman buku, lembaran ilmu dan nur hikmah,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2025, YBrs. Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron menyatakan bahawa PBAKL kali ini akan dilaksanakan menerusi dua platform, iaitu secara dalam talian dan secara fizikal. Mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal boleh mengakses platform dalam talian melalui aplikasi Shopee dan TikTok yang akan menyediakan capaian lebih luas kepada pembaca serta dialog perbukuan negara.
Mohd Khair juga memaklumkan bahawa PBAKL kali ini turut menyediakan empat pavilion khas, iaitu Pavilion Al-Falah (Gabungan 14 agensi agama), Pavilion KPM, Pavilion Kementerian Pendidikan Tinggi dan Pavilion Kementerian Perpaduan Negara. Keistimewaan pada kali ini ialah terdapat Galeri Khas Teroka yang memberikan penghormatan kepada keagungan karya Malaysia serta sejarah pembukaan negara. Galeri ini akan mempamerkan karya klasik dan moden yang mencerminkan budaya, sejarah dan identiti Malaysia.

“Pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat industri pembukuan Malaysia berkembang seiring dengan perubahan zaman dan menyaksikan pencapaian besar penulis serta penerbit Malaysia dalam arena global,” kata beliau.
Turut memeriahkan Prapelancaran PBAKL 2025 ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), YBrs. Zainal Abas; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan, Sasterawan Negara (SN) Dato’ Seri (Dr.) A. Samad Said dan SN Dato’ Rahman Shaari.