Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 21 April 2025, 17:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sibu – Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) melancarkan Operasi Pematuhan (OP) Rejang di Sarawak bermula hari ini hingga 25 April melibatkan empat lokasi utama, iaitu Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri. Operasi ini merupakan kesinambungan kepada OP Borneo 1.0 dan disertai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, OP Rejang dilaksanakan selaras dengan gesaan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mahu sistem percukaian negara lebih adil dan tegas terhadap ketidakpatuhan.

Sebanyak 1,168 kes dikendalikan oleh 276 orang pegawai HASiL dalam operasi kali ini yang menumpukan kepada audit cukai, siasatan strategik, verifikasi pembayar cukai, pungutan serta tindakan guaman.

Sektor berisiko tinggi seperti ekonomi bayangan, penyeludupan diesel, perkhidmatan pembinaan dan kontraktor turut menjadi fokus siasatan pegawai audit dan inspektor cukai.

“Kerjasama strategik antara HASiL dan SSM penting bagi memastikan tindakan lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya ketika merasmikan operasi di Pejabat HASiL Sibu, Wisma Vasty.

Operasi ini juga memberikan penekanan kepada verifikasi syarikat “dormant” dan pemadanan data bersama SSM termasuklah mengenal pasti syarikat yang masih belum memiliki Nombor Pengenalan Cukai (TIN).

Datuk Dr. Abu Tariq turut menegaskan bahawa pegawai HASiL bukan sahaja menjalankan penguatkuasaan, malah berperanan sebagai ejen pendidikan untuk menyampaikan maklumat mengenai e-Invois kepada pembayar cukai.

HASiL yakin bahawa pelaksanaan operasi yang berfokus serta kolaborasi berterusan dengan agensi penguatkuasaan lain mampu meningkatkan tahap pematuhan cukai dan memperkukuh ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin merasmikan pelancaran OP Rejang.

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi