Diterbitkan pada 17 April 2025, 17:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan empat inisiatif baharu bagi tahun 2025 bersempena dengan sambutan ulang tahun penubuhannya yang ke-23.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Yang Berhormat (YB) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, empat inisiatif yang diperkenalkan ini adalah bertujuan untuk memperkukuh ekosistem perniagaan negara, meningkatkan tahap pematuhan korporat serta mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh komuniti perniagaan terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Inisiatif pertama ialah pengenalan perkhidmatan e-Advertisement SSM berdasarkan Seksyen 76A Akta Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024 yang mana melaluinya, Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) yang ingin melaksanakan penggulungan secara sukarela kini boleh menyiarkan notis melalui platform e-Advertisement dengan bayaran hanya sebanyak RM500.

Notis tersebut boleh diterbitkan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris atau kedua-duanya dan akan dipaparkan selama tujuh hari dalam laman web rasmi SSM bagi memastikan capaian meluas kepada pihak berkepentingan.

Perkhidmatan e-Advertisement SSM yang diperkenalkan ini adalah bagi mengurangkan kos syarikat untuk memenuhi keperluan pengiklanan dengan alternatif yang lebih murah serta menangani isu keterbatasan edaran akhbar fizikal yang tidak meliputi seluruh negara.

Inisiatif kedua merupakan penawaran pengurangan kompaun sehingga 95 peratus daripada nilai asal pengurangan fi e-Advertisement SMM kepada RM100 bagi PLT yang layak, tertakluk pada permohonan yang dikemukakan sebelum atau pada 30 September 2025.

Inisiatif ini khusus bagi permohonan penggulungan sukarela di bawah Seksyen 50 Akta PLT 2012 melibatkan PLT yang tidak lagi beroperasi dan telah dikenakan kompaun atas ketidakpatuhan seperti kegagalan menyerah simpan Perakuan Tahunan.

Inisiatif ketiga pula melibatkan pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal bagi kesalahan lazim di bawah Akta Syarikat 1965 atau 2016 serta Akta PLT 2012 yang ditawarkan sehingga 30 September 2025.

Inisiatif keempat pula merupakan pengurangan penawaran kompaun sebanyak 95 peratus daripada nilai asal kepada syarikat yang layak untuk memohon pemotongan nama di bawah Seksyen 550 Akta Syarikat 2016.

Selain empat inisiatif ini, SSM juga akan meneruskan pelaksanaan inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini agar selari dengan usaha pemerkasaan komuniti perniagaan di Malaysia.

SSM menyeru para usahawan dan komuniti korporat untuk mengambil peluang daripada inisiatif ini dalam usaha memastikan pematuhan berterusan terhadap undang-undang, seterusnya menyumbang kepada persekitaran perniagaan domestik yang lebih berdaya saing dan mampan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi