Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan bahawa tiada sebarang aduan diterima sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, YBhg. Datuk Azman Adam berkata, SHMMP dilaksanakan selama 15 hari bermula 24 Mac hingga 7 April 2025 bagi menstabilkan harga barangan keperluan yang berpotensi meningkat akibat permintaan tinggi musim perayaan.
Tempoh pelaksanaan skim ini merangkumi tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan,” jelas beliau.
Sebanyak 26 jenis barangan telah dikawal di bawah skim ini. Sepanjang tempoh penguatkuasaan, KPDN telah menjalankan 7,258 pemeriksaan ke atas premis perniagaan di seluruh negara yang meliputi 158 premis borong dan pengeluar serta 7,097 premis runcit.
Sebanyak 386 tindakan telah diambil terhadap peniaga yang didapati melanggar peraturan dengan nilai sitaan barangan mencecah RM12,813.84 dan jumlah kompaun dikeluarkan sebanyak RM43,400.
Kesalahan yang direkodkan termasuklah menjual barangan melebihi harga maksimum, gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu serta tidak mempamerkan tanda harga.
Datuk Azman turut memaklumkan bahawa pelaksanaan SHMMP kali ini berjalan dengan baik hasil kerjasama erat antara agensi kerajaan dengan industri dan orang ramai.
“Majoriti peniaga yang diperiksa menunjukkan komitmen dan mematuhi peraturan harga yang ditetapkan,” katanya.
KPDN turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi di bawahnya serta semua pihak industri atas kerjasama menjayakan SHMMP sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.