Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah mengemas kini bahagian Rangka Kerja Tadbir Urus Percukaian Korporat (TCGF), Garis Panduan TCGF dan Soalan Kerap Ditanya (FAQ) di laman web rasmi HASiL sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Program Tadbir Urus Percukaian Korporat (TCG) yang dilancarkan pada 1 Mac 2022.
Menurut kenyataan rasmi HASiL, dokumen terbaharu ini boleh diakses melalui portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my dan bertujuan untuk membantu pembayar cukai memahami serta melaksanakan amalan tadbir urus percukaian yang lebih cekap dan berkesan.
Antara penambahbaikan utama dalam dokumen tersebut termasuklah penambahan perenggan mengenai Rangka Kerja Kawalan Percukaian (Tax Control Framework) serta Pelaporan Tadbir Urus Percukaian, Kawalan dan Pengurusan Risiko.
Penyelarasan Garis Panduan TCGF turut dilakukan bagi memberikan penekanan lebih jelas terhadap pelaksanaan Program TCG termasuklah pemantauan dan tanggungjawab peserta yang telah disahkan. FAQ juga dikemas kini untuk menjawab persoalan lazim berkaitan dengan Program TCG.
Pembayar cukai boleh memuat turun dokumen dengan melayari www.hasil.gov.my dan mengklik menu Perundangan > Rangka Kerja > Rangka Kerja Tadbir Urus Percukaian Korporat sebelum memilih dokumen yang diperlukan.
Pengemaskinian ini dilaksanakan berdasarkan kajian amalan terbaik dan maklum balas daripada agensi kerajaan, organisasi, pemegang taruh serta pengamal percukaian melalui sesi libat urus yang diadakan sebelum ini.
Menurut HASiL, Program TCG bertujuan untuk membantu organisasi meningkatkan kecekapan tadbir urus percukaian serta memastikan pematuhan cukai yang lebih telus dan berkesan di Malaysia.
Pembaharuan ini diharapkan dapat memudahkan pembayar cukai memahami tanggungjawab mereka dan seterusnya menyumbang kepada sistem percukaian yang lebih mantap.