Diterbitkan pada 9 April 2025, 11:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), YBhg. Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Gabenor Bank Negara Kemboja (NBC), Tuan Yang Terutama Dr. Chea Serey melancarkan Fasa Kedua rangkaian pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Kemboja.

Pengembangan ini membolehkan rakyat Malaysia membuat pembayaran kepada peniaga di Kemboja dengan mengimbas KHQR menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih institusi kewangan yang mengambil bahagian. Sementara itu, rakyat Kemboja boleh terus membuat pembayaran di Malaysia menggunakan aplikasi Bakong melalui imbasan DuitNow QR seperti yang diperkenalkan dalam Fasa Pertama.

Lebih tujuh juta peniaga di kedua-dua negara dijangka mendapat manfaat daripada akses kepada pelanggan yang lebih luas, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan pelancongan dua hala. Pelancong kini boleh menikmati kemudahan pembayaran segera dan selamat melalui aplikasi QR.

Menurut Dato’ Seri Abdul Rasheed, inisiatif ini selaras dengan matlamat ASEAN untuk meningkatkan keterhubungan pembayaran serantau, khususnya dalam memperkukuh perniagaan kecil serta memperluas integrasi kewangan di rantau ini.

Dr. Chea Serey pula menyatakan bahawa kemajuan ini bukan sahaja memudahkan transaksi rentas sempadan tetapi juga menggalakkan pelancongan, memperkukuh rangkuman kewangan, dan mempercepat integrasi digital serantau.

Inisiatif ini merupakan kerjasama antara BNM dan NBC bersama-sama rakan tempatan termasuklah Maybank, Payments Network Malaysia (PayNet) dan pelbagai institusi kewangan dari kedua-dua negara. Inisiatif ini juga menyokong Pelan Hala Tuju G20 serta tema Kepengerusian ASEAN Malaysia, iaitu “Keterangkuman dan Kelestarian”.

Pelancaran berlangsung semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan ASEAN dan Gabenor Bank Pusat di Kuala Lumpur.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi