Diterbitkan pada 8 April 2025, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pelaburan merujuk tindakan menggunakan sebahagian daripada wang yang dimiliki untuk membeli aset atau instrumen kewangan dengan harapan memperoleh keuntungan pada masa hadapan. Hasil daripada pelaburan boleh diperoleh melalui dua cara utama, iaitu dividen dan peningkatan harga saham.

Namun begitu, pelaburan memerlukan pengetahuan yang mendalam dan hadir bersama-sama dengan risiko yang perlu dihadapi. Oleh itu, adalah penting untuk tidak melabur secara terburu-buru tanpa kajian yang teliti. Bagi pelabur baharu, terdapat instrumen pelaburan yang lebih sesuai seperti pasaran wang.

Pasaran wang merujuk pelaburan jangka masa pendek, biasanya kurang dari satu tahun. Pasaran wang sering digunakan untuk menjanakan dana sementara dan memperoleh pulangan daripada pelaburan dengan menyalurkan wang daripada unit surplus (pelabur) ke unit defisit (peminjam).

Kedua-duanya mempunyai objektif dan keperluan yang serupa serta bersetuju dengan kadar risiko yang ditetapkan. Sebagai contoh, selepas menerima gaji bulanan, kebanyakan daripada kita akan menyimpan wang ke dalam akaun simpanan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan selebihnya ke dalam akaun bank untuk kegunaan harian. Namun begitu, komisen yang diberikan oleh bank untuk simpanan tersebut ialah sekitar 0.25 peratus setahun, satu jumlah yang sangat rendah berbanding dengan pulangan yang ditawarkan oleh pasaran wang yang boleh mencecah empat peratus setahun. Hal ini menjadikan pasaran wang sebagai pilihan yang menarik terutamanya untuk pelabur muda.

Antara kelebihan utama pasaran wang ialah kecairan yang tinggi yang membolehkan pelabur menjual semula sekuriti hutang tanpa mengalami kerugian yang ketara di pasaran sekunder seperti Bursa Malaysia. Selain itu, pasaran wang mempunyai risiko yang rendah kerana kebanyakan instrumen  digunakan oleh kerajaan atau syarikat besar yang lebih stabil. Dalam dunia pelaburan, risiko rendah biasanya membawa pulangan yang lebih kecil, namun pulangan tersebut adalah stabil dan terjamin, sesuai untuk pelabur yang lebih konservatif.

Pasaran wang juga menawarkan pelbagai pilihan instrumen kewangan, antaranya Commercial Papers, Certificates of Deposit dan Treasury Bills (T-Bills). Pilihan ini memberikan peluang kepada pelabur untuk melabur dalam pelbagai instrumen kewangan atau lebih dikenali sebagai portfolio pelaburan. Portfolio ialah koleksi aset yang dimiliki oleh pelabur yang membantu untuk mengurangkan risiko kerugian besar dalam satu instrumen.

Terdapat beberapa jenis instrumen yang popular di pasaran wang seperti yang berikut:

  1. Commercial Papers: Instrumen hutang jangka pendek yang diterbitkan oleh syarikat besar seperti Cagamas Berhad. Instrumen ini biasanya mempunyai tempoh antara tujuh hari hingga satu tahun dan digunakan untuk memenuhi keperluan modal kerja atau dana sementara.
  2. Treasury Bills (T-Bills): Instrumen jangka pendek yang diterbitkan oleh kerajaan dengan tempoh antara tiga bulan hingga satu tahun dan digunakan untuk membiayai perbelanjaan awam. T-Bills dianggap sebagai instrumen yang sangat rendah risikonya kerana dijamin oleh kerajaan.
  3. Sijil Deposit (Certificates of Deposit): Instrumen yang diterbitkan oleh bank dengan tempoh matang antara tiga bulan hingga satu tahun yang menawarkan pulangan tetap kepada pelabur. Bank seperti Maybank, CIMB dan Public Bank menawarkan instrumen ini kepada pelabur. Namun begitu, terdapat juga bank seperti Bank Negara Malaysia (BNM) yang hanya menawarkan sijil deposit kepada pelabur institusi.

Cara Melabur dalam Pasaran Wang

Berikut ialah langkah untuk melabur dalam instrumen pasaran wang:

  1. Pilih Broker atau Bank Pelaburan: Anda perlu memilih syarikat broker atau bank pelaburan yang sesuai dengan keperluan anda.
  2. Buka Akaun Sijil Deposit: Langkah kedua ialah membuka akaun sijil deposit di bank atau broker pilihan. Proses ini biasanya melibatkan pengisian borang dan menyediakan dokumen yang diperlukan.
  3. Mendapatkan Penyataan: Selepas membuka akaun, anda akan menerima penyataan mengenai pembelian saham atau instrumen kewangan. Biasanya, penyataan ini akan dihantar melalui e-mel kepada alamat yang didaftarkan pada akaun sijil deposit.
  4. Tunggu Tempoh Matang: Dana yang dilaburkan akan dikunci sepanjang tempoh matang. Selepas tempoh matang, pihak bank akan mengembalikan wang prinsipal bersama faedah yang telah diperoleh.

Secara keseluruhannya, pasaran wang telah menjadi pilihan utama bagi banyak pelabur terutamanya bagi mereka yang baharu bermula. Hal ini demikian kerana pasaran wang menawarkan kecairan yang tinggi, risiko yang rendah dan pulangan yang stabil. Pasaran wang ialah medium pelaburan yang selamat dan mudah terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai masa atau tenaga untuk mengikuti turun naik harga saham harian seperti yang dilakukan oleh pedagang.

Sekiranya anda ingin memulakan pelaburan, pasaran wang boleh menjadi pilihan yang baik untuk membina asas kewangan yang kukuh. Dengan membuat pelaburan kecil-kecilan, anda dapat merancang untuk kelangsungan hidup yang lebih harmoni dan selesa pada masa hadapan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi