Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPelaburan merujuk tindakan menggunakan sebahagian daripada wang yang dimiliki untuk membeli aset atau instrumen kewangan dengan harapan memperoleh keuntungan pada masa hadapan. Hasil daripada pelaburan boleh diperoleh melalui dua cara utama, iaitu dividen dan peningkatan harga saham.
Namun begitu, pelaburan memerlukan pengetahuan yang mendalam dan hadir bersama-sama dengan risiko yang perlu dihadapi. Oleh itu, adalah penting untuk tidak melabur secara terburu-buru tanpa kajian yang teliti. Bagi pelabur baharu, terdapat instrumen pelaburan yang lebih sesuai seperti pasaran wang.
Pasaran wang merujuk pelaburan jangka masa pendek, biasanya kurang dari satu tahun. Pasaran wang sering digunakan untuk menjanakan dana sementara dan memperoleh pulangan daripada pelaburan dengan menyalurkan wang daripada unit surplus (pelabur) ke unit defisit (peminjam).
Kedua-duanya mempunyai objektif dan keperluan yang serupa serta bersetuju dengan kadar risiko yang ditetapkan. Sebagai contoh, selepas menerima gaji bulanan, kebanyakan daripada kita akan menyimpan wang ke dalam akaun simpanan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan selebihnya ke dalam akaun bank untuk kegunaan harian. Namun begitu, komisen yang diberikan oleh bank untuk simpanan tersebut ialah sekitar 0.25 peratus setahun, satu jumlah yang sangat rendah berbanding dengan pulangan yang ditawarkan oleh pasaran wang yang boleh mencecah empat peratus setahun. Hal ini menjadikan pasaran wang sebagai pilihan yang menarik terutamanya untuk pelabur muda.
Antara kelebihan utama pasaran wang ialah kecairan yang tinggi yang membolehkan pelabur menjual semula sekuriti hutang tanpa mengalami kerugian yang ketara di pasaran sekunder seperti Bursa Malaysia. Selain itu, pasaran wang mempunyai risiko yang rendah kerana kebanyakan instrumen digunakan oleh kerajaan atau syarikat besar yang lebih stabil. Dalam dunia pelaburan, risiko rendah biasanya membawa pulangan yang lebih kecil, namun pulangan tersebut adalah stabil dan terjamin, sesuai untuk pelabur yang lebih konservatif.
Pasaran wang juga menawarkan pelbagai pilihan instrumen kewangan, antaranya Commercial Papers, Certificates of Deposit dan Treasury Bills (T-Bills). Pilihan ini memberikan peluang kepada pelabur untuk melabur dalam pelbagai instrumen kewangan atau lebih dikenali sebagai portfolio pelaburan. Portfolio ialah koleksi aset yang dimiliki oleh pelabur yang membantu untuk mengurangkan risiko kerugian besar dalam satu instrumen.
Terdapat beberapa jenis instrumen yang popular di pasaran wang seperti yang berikut:
Cara Melabur dalam Pasaran Wang
Berikut ialah langkah untuk melabur dalam instrumen pasaran wang:
Secara keseluruhannya, pasaran wang telah menjadi pilihan utama bagi banyak pelabur terutamanya bagi mereka yang baharu bermula. Hal ini demikian kerana pasaran wang menawarkan kecairan yang tinggi, risiko yang rendah dan pulangan yang stabil. Pasaran wang ialah medium pelaburan yang selamat dan mudah terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai masa atau tenaga untuk mengikuti turun naik harga saham harian seperti yang dilakukan oleh pedagang.
Sekiranya anda ingin memulakan pelaburan, pasaran wang boleh menjadi pilihan yang baik untuk membina asas kewangan yang kukuh. Dengan membuat pelaburan kecil-kecilan, anda dapat merancang untuk kelangsungan hidup yang lebih harmoni dan selesa pada masa hadapan.