Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMalaysia kini memberikan tumpuan kepada ekonomi kreatif sebagai satu daripada pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dengan media sosial berperanan sebagai platform utama yang mendorong perkembangan industri ini.
Ekonomi kreatif merangkumi pelbagai sektor seperti seni visual, muzik, filem, animasi, permainan digital serta kandungan media digital yang kesemuanya mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Selain menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi, sektor ini juga membuka peluang pekerjaan yang luas, khususnya dalam bidang teknologi dan digital.
Menteri Komunikasi, YB Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan bahawa media sosial memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekonomi kreatif pada era digitalisasi dan globalisasi. Media sosial bukan sahaja berfungsi sebagai platform hiburan tetapi juga sebagai alat pemasaran yang efektif bagi pencipta kandungan tempatan untuk menembusi pasaran global. Pendekatan “whole-of-nation approach” yang melibatkan kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta dan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan pembangunan sektor ekonomi kreatif yang mampan.
Platform seperti Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook membuka peluang luas bagi golongan muda di Malaysia untuk menonjolkan bakat serta berkongsi hasil karya mereka kepada audiens yang lebih besar. Pencipta kandungan dapat membina jaringan pengikut yang setia, memperkukuh jenama peribadi serta memperluas capaian produk dan perkhidmatan mereka. Interaksi langsung dengan pengikut membolehkan mereka mendapatkan maklum balas segera, sekali gus meningkatkan kualiti kandungan yang dihasilkan.
Selain itu, media sosial turut menyediakan pelbagai peluang pendapatan melalui kaedah seperti penajaan, pemasaran gabungan (affiliate marketing) dan langganan berbayar. Pencipta kandungan yang berjaya sering mendapat tawaran kerjasama daripada syarikat besar dan jenama antarabangsa yang ingin menaja mereka sebagai duta produk. Tanpa memerlukan kos pengiklanan yang tinggi, pencipta kandungan dapat mencapai jangkauan audiens yang lebih luas, sekali gus meningkatkan daya saing ekonomi kreatif Malaysia pada peringkat serantau dan global.
Pertumbuhan ekonomi gig turut membawa transformasi besar kepada pasaran kerja terutamanya bagi pencipta kandungan digital yang kini bekerja secara bebas tanpa terikat kepada pekerjaan tradisional atau waktu kerja tetap. Walaupun fleksibiliti ini memberikan kebebasan dalam memilih projek dan menyesuaikan jadual kerja, cabaran seperti ketidakstabilan pendapatan serta kekurangan perlindungan sosial masih menjadi isu utama.
Banyak pencipta kandungan tidak mendapat manfaat jaminan sosial seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO), menjadikan mereka lebih terdedah kepada risiko kewangan. Oleh itu, kerajaan disarankan untuk memperkenalkan rangka kerja yang lebih kukuh bagi menyokong ekonomi gig termasuklah memperluas caruman KWSP dan SOCSO kepada pekerja bebas. Langkah ini akan memastikan pencipta kandungan yang menjadikan industri kreatif sebagai sumber pendapatan utama mendapat perlindungan kewangan yang lebih baik.
Isu Hak Cipta dan Perlindungan Kandungan
Walaupun media sosial membawa banyak manfaat kepada ekonomi kreatif, beberapa cabaran perlu ditangani termasuklah isu hak cipta, penyalahgunaan kandungan dan ketidakstabilan pendapatan pencipta kandungan. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan telah memperkenalkan program Dana Kandungan Digital (DKD) bagi menyokong individu yang berminat untuk menceburi industri kreatif.
Namun begitu, usaha yang lebih menyeluruh diperlukan terutamanya dalam memperkukuh undang-undang hak cipta bagi melindungi hasil karya pencipta kandungan daripada eksploitasi tanpa kebenaran. Selain itu, kerajaan perlu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menghormati hak cipta serta menghargai hasil karya tempatan. Pendidikan dalam bidang media sosial dan penghasilan kandungan juga perlu diperkasa melalui kursus pemasaran digital, penyuntingan video, pengurusan hak cipta serta penerapan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya (VR). Langkah ini penting untuk memastikan pencipta kandungan Malaysia lebih bersedia menghadapi persaingan global.
Peranan Media Sosial dalam Menyokong Perniagaan Kecil dan Sederhana
Media sosial juga memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan sektor perniagaan lain, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Dengan menggunakan platform digital ini, PKS dapat memasarkan produk dan perkhidmatan mereka kepada audiens yang lebih luas tanpa perlu bergantung pada pengiklanan tradisional yang lebih mahal. Kandungan kreatif yang menarik bukan sahaja meningkatkan penglibatan pengguna, malah membantu menarik pelanggan baharu serta mengukuhkan jenama perniagaan.
Kerjasama antara pencipta kandungan dengan sektor perniagaan mampu membina ekosistem ekonomi kreatif yang lebih mampan dan inklusif. Selain itu, kandungan kreatif yang dihasilkan juga berperanan dalam mempromosikan budaya dan identiti tempatan, yang seterusnya dapat menarik minat pelancong serta pelabur antarabangsa ke Malaysia.
Secara keseluruhannya, media sosial memainkan peranan yang amat penting dalam memacu ekonomi kreatif di Malaysia. Dengan sokongan daripada kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai pemain utama dalam industri kreatif di Asia Tenggara. Kerjasama strategik antara semua pihak amat diperlukan bagi menangani cabaran yang ada dan merealisasikan potensi penuh ekonomi kreatif negara melalui platform digital.
Melalui pelan tindakan yang komprehensif, bukan sahaja sektor ekonomi kreatif dapat diperkembangkan dengan lebih meluas tetapi daya saing Malaysia pada peringkat global juga dapat diperkukuh. Dalam era digitalisasi yang semakin pesat, pengukuhan sektor ini akan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara yang lebih inklusif dan berdaya saing.