Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLabuan – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Jabatan Perdana Menteri (JPM), menganjurkan program promosi Road to MAHA Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung dari 23 Julai hingga 26 Julai 2026 di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.
Program selama empat hari itu dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu sebagai sebahagian daripada siri promosi menuju Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Program Road to MAHA merupakan kesinambungan kepada penganjuran MAHA 2026 yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.
Pemilihan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai lokasi penganjuran mengambil kira kedudukan strategiknya dalam rantaian bekalan makanan memandangkan kira-kira 90 peratus bekalan makanan Labuan diperoleh dari Sabah, manakala hanya 10 peratus dihasilkan pada peringkat tempatan.
Penganjuran program itu bertujuan meningkatkan kesedaran bahawa usaha memperkukuh keterjaminan makanan merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen kerajaan, industri dan masyarakat.
Pelbagai pengisian disediakan menerusi beberapa zon pameran, antaranya termasuklah Zon Keterjaminan Makanan dan Inovasi, Zon Penternakan Moden, Zon Akuakultur dan Industri Tuna, Zon Agropelancongan dan Budaya, Zon Usahawan PKS dan Belia, serta Empayar Makanan Labuan.
Sempena majlis perasmian, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu turut melancarkan Pelan Strategik Keterjaminan Makanan Wilayah Persekutuan Labuan 2026–2030 sebagai dokumen hala tuju yang menggariskan strategi, inisiatif dan pelan tindakan bagi memperkukuh sistem makanan Labuan dalam tempoh lima tahun akan datang. Pada majlis sama, geran dan insentif pertanian berjumlah RM2,236,445 turut disampaikan kepada kumpulan sasar.
Selain itu, turut berlangsung sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik bagi Pembangunan Industri Tuna dan Ekosistem Pemprosesan Makanan Laut di Wilayah Persekutuan Labuan. Majlis turut menyaksikan penyerahan watikah pelantikan penyelaras Pavilion Negeri MAHA 2026 bagi Negeri Sarawak dan Jabatan Wilayah Persekutuan.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Sarawak, YB Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom; Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, YB Datuk Jamawi Jaafar; Ahli Parlimen Labuan, YB Dato’ Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman; Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak; Ketua Pengarah JWP, YBhg. Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain, serta pegawai kanan KPKM, JWP dan agensi berkaitan dengannya.