Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPauh Putra – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memanfaatkan penganjuran 10th World Cup Woodball Championship 2026 dan 26th Malaysia Open 2026 dengan mempromosikan buah-buahan tempatan kepada atlet serta delegasi antarabangsa menerusi Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi penyediaan sebanyak 1.5 tan metrik buah-buahan segar sepanjang kejohanan berlangsung bagi menyokong amalan pemakanan sihat dalam kalangan peserta, sekali gus memperkenalkan kepelbagaian hasil pertanian negara pada peringkat antarabangsa.
Majlis simbolik kempen tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama dengan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra.
Yang turut berangkat bersama-sama baginda ialah anakanda, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj dan YAM Hajah Sharifah Farah Adriana.
Pengarah FAMA Negeri Perlis, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Mohd Anzara Azizan berkata, penganjuran kejohanan bertaraf dunia ini menjadi medan terbaik untuk memperluas promosi hasil pertanian negara, selian meningkatkan permintaan bagi produk keluaran petani tempatan dan memperkukuh daya saing agromakanan Malaysia pada pasaran global.
“Pengambilan buah-buahan tempatan ini diharap dapat memupuk amalan gaya hidup sihat. Pada masa yang sama, platform ini memperkenalkan keunikan serta kualiti hasil pertanian Malaysia kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.
Apabila mengulas dengan lebih lanjut tentang bekalan yang disediakan, beliau menjelaskan bahawa 1.5 tan metrik buah-buahan tersebut merangkumi 300 kilogram (kg) durian, 200 kg rambutan, 200 kg manggis, 100 kg dokong dan 700 kg pisang.
Jelasnya lagi, pemilihan varisi buah tersebut bukan sahaja membekalkan sumber pemakanan segar dan berkhasiat kepada para atlet, malah membuka peluang serta ruang pasaran yang lebih luas pada peringkat antarabangsa.
“Kejohanan ini juga menjadi medium untuk mengeratkan hubungan persahabatan antara negara serta menjaga imej negeri Perlis sebagai destinasi sukan, agropelancongan dan pelancongan utama,” tambah beliau.
FAMA Negeri Perlis turut diberikan penghormatan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Penaung Diraja Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNP) untuk bertindak sebagai Pegawai Perhubungan (Liaison Officer/L.O.) rasmi kepada kontinjen Woodball Thailand sepanjang kejohanan.
Peranan ini merangkumi penyelarasan kebajikan, logistik dan urusan rasmi kontinjen berkenaan, sekali gus mencerminkan komitmen FAMA dalam mempamerkan nilai hospitaliti yang tinggi,serta semangat kerjasama antarabangsa Malaysia.
Kedua-dua kejohanan itu berlangsung pada 25 Julai 2026 hingga 29 Julai 2026 dengan tema “One World, One Woodball”.

Kejohanan itu berjaya menghimpunkan sebanyak 460 orang atlet dari 13 buah negara, selain kehadiran pemimpin sukan woodball peringkat antarabangsa, kebangsaan dan negeri.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah, Presiden International Woodball
Federation (IWbF), Encik Sean Weng Chi-Hsiang; Presiden Persatuan Woodball Malaysia, Puan Elaine Tan; Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, YBhg. Datuk Profesor Emeritus Dr. Kamaruddin Husin; wakil-wakil agensi negeri serta barisan atlet, pegawai dan delegasi antarabangsa.