Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRome – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyertai Sidang Ke-30 Jawatankuasa Pertanian Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) (COAG 30) yang berlangsung di Ibu Pejabat FAO, Itali dari 20 Julai hingga 24 Julai 2026.
COAG merupakan satu daripada empat jawatankuasa teknikal yang membantu Majlis FAO dan berperanan sebagai badan penasihat teknikal utama dalam bidang pertanian.
Jawatankuasa itu menyediakan panduan dasar dan kawal selia berkaitan dengan pertanian, penternakan, keselamatan makanan, pemakanan, pembangunan luar bandar dan pengurusan sumber asli, serta bersidang secara dwitahunan.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Setiausaha Bahagian Sekuriti Makanan, YBrs. Encik Jazman Azi Jamalludin, yang baru dilantik sebagai wakil rasmi kebangsaan bagi COAG. Delegasi turut disertai pasukan Bahagian Sekuriti Makanan (BSM) yang mengikuti persidangan secara dalam talian, manakala wakil Pejabat Penasihat Pertanian di Rome, Menteri Kedutaan (Pertanian), Puan Emelia Tay; dan Setiausaha Pertama (Pertanian), Encik Anwar Faiz Othman menghadiri sesi tersebut secara fizikal.
Sepanjang persidangan, Malaysia memainkan peranan aktif dengan menyampaikan tujuh kenyataan bagi agenda substantif, termasuk satu kenyataan mengenai bioekonomi untuk makanan dan pertanian mampan bagi pihak Kumpulan Serantau Asia.
Kenyataan negara yang dikemukakan merangkumi program kerja FAO dalam sektor agromakanan, inovasi bagi memperkukuh sekuriti makanan, pendekatan Satu Kesihatan (One Health), daya tahan terhadap perubahan iklim, pemeliharaan biodiversiti, pengurusan tanah dan air secara mampan, serta pemerkasaan wanita, belia, peladang keluarga dan pekebun kecil.
Dalam sesi tersebut, Malaysia turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh sistem agromakanan yang inklusif, mampan dan berdaya tahan melalui pemilikan negara yang lebih kukuh, peningkatan kerjasama teknikal, pembangunan kapasiti, serta penggubalan dasar berasaskan sains, inovasi dan teknologi digital.
Malaysia juga menekankan keperluan agar setiap inisiatif FAO kekal responsif terhadap keutamaan negara anggota dan memberikan manfaat yang nyata kepada petani, pengeluar makanan dan masyarakat luar bandar.