Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan hanya produk elektrik yang selamat, berkualiti dan mematuhi piawaian dibenarkan berada dalam pasaran.
Langkah tersebut dilaksanakan bagi melindungi keselamatan pengguna, di samping menjamin persaingan perniagaan yang adil dalam industri barangan elektrik.
Selaras dengan arahan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Menteri Kewangan, YB Liew Chin Tong mengadakan sesi libat urus bersama-sama Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Elektrik Malaysia (FOMEDA) semalam bagi membincangkan usaha membanteras kemasukan produk elektrik yang tidak mematuhi piawaian keselamatan, operasi perniagaan tanpa lesen dan amalan perdagangan yang melanggar undang-undang.
Bagi memperkukuh usaha tersebut, Kementerian Kewangan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Suruhanjaya Tenaga (ST), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), serta SIRIM akan melaksanakan Operasi Pematuhan Khas.
Operasi itu memberikan tumpuan pada pengukuhan pemeriksaan di pintu masuk utama negara, pembanterasan pengisytiharan import palsu dan cubaan mengelakkan pemeriksaan, peningkatan pemeriksaan dan pensampelan produk dalam pasaran, memastikan platform e-dagang hanya menawarkan produk yang mematuhi piawaian keselamatan Malaysia, serta menjamin persaingan perniagaan yang adil kepada peniaga yang mematuhi undang-undang.
Dalam pada itu, masyarakat diseru supaya sentiasa memilih produk elektrik yang mempunyai Label Keselamatan ST-SIRIM sebagai langkah melindungi diri dan keluarga daripada risiko penggunaan produk yang tidak memenuhi piawaian keselamatan.
Kerajaan kekal komited untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan melindungi kepentingan pengguna demi mewujudkan pasaran yang lebih selamat, berintegriti dan berdaya saing.