Diterbitkan pada 24 Julai 2026, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama-sama PNB Research Institute (PNBRI) membentangkan dapatan utama laporan Graduate Outcomes of Agricultural TVET in Malaysia sempena Majlis Penyerahan Laporan Kajian TVET Pertanian di Malaysia dan Sesi Libat Urus KPKM Bersama Pemegang Taruh Berhubung Aspek Keterjaminan Makanan di The Everly.

Laporan berkenaan diserahkan secara rasmi kepada Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak dalam majlis yang dihadiri kira-kira 200 pihak berkepentingan sektor agromakanan.

Kajian tersebut merupakan hasil memorandum persefahaman (MoU) antara KPKM dengan PNBRI yang dimeterai pada 9 September 2025 bagi memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian, meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penyertaan belia dalam sektor pertanian demi menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

Inisiatif itu turut mencerminkan komitmen KPKM dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran, kompeten dan berdaya saing untuk memenuhi keperluan sektor agromakanan.

Dapatan kajian menunjukkan perkembangan positif apabila kadar kebolehpasaran graduan TVET Pertanian KPKM meningkat daripada 61 peratus pada tahun 2018 kepada 76 peratus pada tahun 2024.

Graduan yang memilih kerjaya dalam sektor pertanian turut memperoleh pendapatan purata RM100 lebih tinggi sebulan berbanding dengan graduan yang bekerja di luar sektor tersebut. Selain itu, usahawan tani dalam kalangan graduan turut mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi berbanding dengan graduan yang menceburi bidang perniagaan bukan pertanian, sekali gus membuktikan bahawa sektor pertanian menawarkan prospek kerjaya yang kompetitif.

Walau bagaimanapun, laporan itu turut mengenal pasti beberapa cabaran yang perlu ditangani. Antaranya termasuklah tenaga kerja sektor pertanian yang semakin berusia dengan seorang daripada setiap dua pekerja ladang kini berumur 40 tahun ke atas, manakala penyertaan golongan belia terus menunjukkan trend penurunan. Di samping itu, kadar kebolehpasaran graduan TVET Pertanian sebanyak 76 peratus masih berada di bawah purata TVET nasional yang mencatatkan 95 peratus.

Kajian itu juga mendapati penyertaan graduan lebih tertumpu di Sabah, Kedah dan Sarawak sedangkan negeri yang mempunyai aktiviti pertanian utama seperti Johor, Pahang dan Perak masih belum dimanfaatkan secara optimum sebagai destinasi kerjaya. Keadaan tersebut menunjukkan perlunya penyelarasan yang lebih strategik antara penawaran program TVET dengan keperluan sebenar industri di setiap negeri.

Bagi merapatkan jurang berkenaan, laporan tersebut mengemukakan enam cadangan utama, iaitu menyelaraskan peluasan program mengikut keperluan negeri, mengukur kejayaan berdasarkan hasil yang relevan dengan sektor pertanian, mengurangkan risiko dalam bidang keusahawanan, memperkukuh kemahiran keusahawanan dan pemasaran dalam semua program, meningkatkan pendedahan kepada keseluruhan rantaian nilai pertanian, serta memperluas kerjasama yang lebih menyeluruh antara institusi pendidikan dengan industri.

Menurut KPKM dan PNBRI, usaha sama tersebut turut menyokong agenda pembangunan modal insan negara menerusi inisiatif kerajaan seperti BAKAT MADANI, selain memperkukuh daya tahan tenaga kerja sektor pertanian.

Kajian yang berteraskan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 dan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) itu dijangka menjadi rujukan penting dalam memperkasakan agenda TVET negara dan memastikan sektor pertanian terus mempunyai tenaga kerja yang berkualiti bagi memenuhi keperluan masa hadapan.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi