Diterbitkan pada 6 Julai 2026, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh keberkesanan skim pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta koperasi menerusi pelbagai inisiatif pembiayaan yang membantu meningkatkan modal, mengembangkan kapasiti perniagaan dan memperkukuh daya saing usahawan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Mohamad Alamin berkata, sejak tahun 2024 hingga 31 Mei 2026, KUSKOP melalui agensinya telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM25.27 bilion kepada 847 653 usahawan dan koperasi di seluruh negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi Dewan Rakyat mengenai keberkesanan skim pembiayaan yang disediakan oleh agensi di bawah KUSKOP kepada PMKS.

Menurut beliau, pembiayaan yang disalurkan telah membantu usahawan meningkatkan modal pusingan, mengembangkan kapasiti perniagaan, serta menambah baik premis dan peralatan perniagaan. Keberkesanan skim pembiayaan itu dinilai berdasarkan prestasi pembayaran balik oleh penerima pembiayaan yang mencerminkan kemampuan usahawan menjana pendapatan secara konsisten, mengurus aliran tunai dengan berkesan dan mengekalkan kelangsungan operasi perniagaan.

Katanya, KUSKOP tidak menetapkan sasaran purata pembiayaan tidak berbayar (NPF) secara keseluruhan kerana setiap agensi pembiayaan mengukur prestasi masing-masing berdasarkan portfolio pembiayaan yang diuruskan. Hingga Mei 2026, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) merekodkan kadar NPF terendah, iaitu 0.01 peratus, diikuti Bank Rakyat sebanyak 1.93 peratus, TEKUN Nasional 9.69 peratus dan SME Bank 10.49 peratus. Prestasi pembayaran balik yang baik itu menunjukkan pembiayaan yang disalurkan bukan sahaja memenuhi keperluan modal perniagaan, malah menyumbang kepada daya tahan dan kelestarian perniagaan usahawan dalam jangka masa panjang.

Selain pembiayaan konvensional, KUSKOP turut memperluas akses kepada pembiayaan alternatif menerusi platform rakan setara (P2P) yang diselaraskan oleh SME Corp. Malaysia. Inisiatif itu menawarkan kemudahan pembiayaan yang lebih pantas, fleksibel dan tanpa cagaran atau cagaran minimum melalui platform digital, khususnya kepada PMKS yang sukar mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan konvensional.

Menurut YB Datuk Mohamad Alamin, pembiayaan alternatif tersebut dilaksanakan melalui perantara kewangan yang berlesen di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, sebanyak 39 PMKS telah menerima pembiayaan berjumlah RM18.5 juta dengan tempoh kelulusan tujuh hari atau kurang selepas dokumen lengkap diterima berbanding dengan 21 hari sebelum ini.

Beliau berkata, berdasarkan Tinjauan PMKS 2025 yang dijalankan oleh SME Corp. Malaysia, sebanyak 74.2 peratus usahawan menggunakan pembiayaan alternatif bagi membiayai modal kerja, diikuti pembelian aset sebanyak 39.1 peratus dan pengembangan atau pembukaan cawangan baharu sebanyak 28.9 peratus. Tinjauan itu turut mendapati PMKS lebih cenderung memilih pembiayaan alternatif kerana proses kelulusan yang lebih cepat, syarat pembayaran balik yang lebih fleksibel dan tidak memerlukan cagaran atau hanya cagaran minimum.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi