Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSambutan Hari Koperasi Negara bukan sekadar mengiktiraf sumbangan gerakan koperasi kepada pembangunan negara, malah menzahirkan peranan sektor ini sebagai wadah ekonomi berasaskan nilai kebersamaan, keadilan dan perkongsian kemakmuran.
Menjelang Hari Koperasi Negara 2026, gerakan koperasi di Malaysia telah berkembang lebih daripada satu abad dan terus menjadi antara pemacu penting ekonomi rakyat. Dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi global, koperasi perlu memperkukuh daya saing melalui transformasi digital, tadbir urus yang baik, serta model perniagaan yang lebih inovatif agar terus relevan.
Secara asasnya, koperasi berteraskan prinsip saling membantu, keanggotaan secara sukarela, tadbir urus demokratik dan pengagihan manfaat secara adil. Prinsip tersebut berakar daripada Gerakan Rochdale di England pada tahun 1844 yang memperkenalkan model perusahaan berasaskan kepentingan bersama sebagai alternatif kepada sistem ekonomi yang terlalu berorientasikan keuntungan.
Di Malaysia, gerakan koperasi bermula pada tahun 1922 melalui penubuhan Syarikat Kerjasama Jimat Cermat dan Pinjaman Wang Pekerja-Pekerja Kerajaan Seberang Perai Berhad. Penubuhannya bertujuan membantu penjawat awam dan golongan petani memperoleh akses kepada pembiayaan yang lebih adil, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada ceti dan lintah darat. Sejak itu, koperasi berkembang sebagai institusi ekonomi rakyat yang mengutamakan kebajikan anggota dan pembangunan komuniti.
Selepas kemerdekaan, gerakan koperasi berkembang pesat khususnya dalam sektor pembangunan tanah, pertanian, kewangan dan kepenggunaan. Koperasi seperti Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad, Koperasi Tentera dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad membuktikan bahawa model koperasi mampu berkembang menjadi organisasi perniagaan yang berdaya saing sekiranya diurus berasaskan tadbir urus yang baik dan pengurusan profesional.
Perkembangan tersebut turut disokong oleh pengukuhan ekosistem institusi menerusi penubuhan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), manakala Institut Koperasi Malaysia (IKMa) berperanan memperkasakan latihan, penyelidikan dan pembangunan modal insan. Selaras dengan Dasar Koperasi Malaysia 2030 dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030, sektor koperasi kini diiktiraf sebagai pemacu penting pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Walaupun menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, gerakan koperasi masih berdepan dengan beberapa cabaran dalaman yang menuntut penambahbaikan. Antaranya termasuklah tempoh kepimpinan yang terlalu panjang sehingga mengehadkan proses penggantian kepimpinan, serta kemasukan idea baharu. Keadaan ini boleh menjejaskan budaya inovasi, memperlahankan proses transformasi dan menyebabkan sebahagian koperasi kurang bersedia menghadapi ekonomi digital.
Di samping itu, kelemahan dalam kawalan kewangan, pelantikan pengurusan yang tidak berasaskan merit, serta pengurusan risiko yang kurang mantap boleh menjejaskan prestasi koperasi. Sebahagian koperasi berskala kecil juga masih bergantung pada bantuan kerajaan dan pembiayaan mudah sehingga menghadkan keupayaan untuk berkembang secara lebih mampan. Oleh itu, pengukuhan tadbir urus, pematuhan kepada Kod Tadbir Urus Korporat Koperasi, peningkatan kompetensi pengurusan serta audit yang lebih berkesan perlu terus diperkasakan.
Dalam era ekonomi digital, koperasi perlu berani mengadaptasi model perniagaan baharu. Satu daripada pendekatan yang semakin mendapat perhatian pada peringkat global ialah koperasi platform yang membolehkan pekerja gig memiliki pegangan ekuiti, serta terlibat dalam proses membuat keputusan. Model ini berpotensi mewujudkan agihan pendapatan yang lebih adil, meningkatkan ketelusan operasi dan memperkukuh perlindungan kebajikan pekerja.
Selain itu, penyertaan generasi muda perlu dipertingkatkan bagi memastikan kelangsungan gerakan koperasi. Golongan generasi Z dan milenial lebih cenderung kepada organisasi yang telus, fleksibel dan memanfaatkan teknologi digital. Oleh itu, koperasi perlu memodenkan kaedah pengurusan melalui mesyuarat hibrid, pengundian dalam talian, aplikasi mudah alih, serta penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas dan mesra pengguna.
Transformasi digital turut membuka ruang kepada penggunaan kecerdasan buatan, analitik data raya, pengkomputeran awan dan teknologi rantaian blok bagi meningkatkan kecekapan operasi. Teknologi ini boleh dimanfaatkan untuk meramal permintaan pasaran, mengoptimumkan rantaian bekalan, memperkukuh proses audit, meningkatkan ketelusan tadbir urus, serta membangunkan produk kewangan dan perlindungan yang lebih memenuhi keperluan anggota.
Pada masa yang sama, koperasi perlu menyelaraskan strategi pembangunan dengan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Nilai yang menjadi asas gerakan koperasi seperti keadilan sosial, tadbir urus beretika dan kesejahteraan komuniti sememangnya selari dengan tuntutan pembangunan mampan. Oleh itu, ESG wajar dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh daya saing dan meningkatkan keyakinan pelabur, serta pengguna.
Bagi memperkukuh daya tahan sektor ini, koperasi juga perlu menggalakkan konsolidasi dalam kalangan koperasi berskala kecil melalui pakatan strategik atau penggabungan fungsi perniagaan. Pendekatan tersebut mampu mewujudkan ekonomi mengikut skala, meningkatkan daya saing, serta mengukuhkan kedudukan dalam rantaian bekalan. Pada masa yang sama, koperasi perlu meneroka sektor bernilai tinggi seperti keterjaminan makanan, pertanian pintar, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan industri halal.
Dari sudut pembiayaan, koperasi wajar mempelbagaikan sumber modal melalui instrumen pasaran modal patuh syariah, pendanaan awam ekuiti, serta kerjasama strategik dengan institusi kewangan. Langkah ini dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman tradisional dan bantuan kerajaan, di samping memperkukuh daya tahan kewangan jangka masa panjang.
Lebih satu abad selepas penubuhannya, gerakan koperasi kekal relevan sebagai instrumen pembangunan ekonomi yang berteraskan kesejahteraan rakyat. Dalam menghadapi perubahan ekonomi global, kekuatan koperasi tidak lagi bergantung pada saiz aset semata-mata, sebaliknya kepada keupayaan memperkukuh tadbir urus, memanfaatkan teknologi, melahirkan kepimpinan baharu dan meneroka model perniagaan yang inovatif.
Berpandukan Dasar Koperasi Malaysia 2030, serta aspirasi Ekonomi MADANI, sektor koperasi berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan, sekali gus terus memperkasakan kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.
Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob, Pensyarah di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.