Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh agenda pembangunan usahawan bumiputera melalui penganjuran Fakulti Sains Kesihatan (FSK) E-FEST 2026 yang berlangsung di Tapak Parkir FSK 2, 3 dan 4 dari 22 hingga 24 Jun 2026.
Program anjuran FSK dengan kerjasama Malaysian Academy of SME and Entrepreneurship Development (MASMED), serta Sekretariat Mahasiswa Fakulti itu bertujuan memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa melalui pendedahan kepada operasi perniagaan sebenar.
FSK E-FEST 2026 melibatkan penyertaan 20 vendor luar dan 10 persatuan, serta kelab dalaman FSK sebagai rakan strategik program.
Penganjuran festival tersebut memberikan peluang kepada mahasiswa mengasah kemahiran kepimpinan, pengurusan kewangan, pemasaran dan pengendalian program berskala besar, di samping memperluas jaringan dengan usahawan, serta pemain industri.
Melalui program itu, mahasiswa turut didedahkan kepada aspek pengurusan pelanggan, penjenamaan produk, strategi pemasaran digital dan pengurusan aliran tunai selaras dengan keperluan ekonomi digital, serta Revolusi Perindustrian 4.0.
FSK E-FEST 2026 juga mencerminkan komitmen UiTM dalam melahirkan graduan yang berdaya tahan, inovatif dan berupaya mencipta peluang ekonomi, sekali gus menyokong usaha memperkasakan ekosistem keusahawanan bumiputera di negara ini.