Diterbitkan pada 16 Jun 2026, 08:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Awal Muharam menandakan permulaan tahun baharu dalam kalendar Hijrah. Bagi umat Islam, kedatangannya bukan sekadar detik pertukaran tahun, tetapi peluang untuk menilai kembali perjalanan hidup, serta memperbaharui tekad ke arah masa hadapan yang lebih baik. Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah pula menjadi simbol perubahan yang tersusun dan berstrategi, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan umat Islam.

Dalam konteks semasa, penghayatan Awal Muharam tidak terbatas pada aspek kerohanian semata-mata. Semangat hijrah turut relevan dalam kehidupan sosial dan ekonomi, khususnya ketika masyarakat berdepan dengan peningkatan kos sara hidup, tekanan terhadap kuasa beli, persaingan perniagaan yang semakin sengit, perubahan teknologi yang pesat, serta ketidaktentuan ekonomi global. Keadaan ini menuntut pengusaha dan pengguna untuk lebih berdaya tahan, berintegriti dan bersedia menghadapi perubahan.

Peristiwa hijrah memperlihatkan bahawa perubahan yang berjaya memerlukan perancangan, keberanian dan disiplin. Rasulullah SAW tidak berhijrah secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui persiapan yang rapi, pembahagian peranan yang jelas dan pengurusan risiko yang teratur. Nilai ini kekal relevan dalam dunia ekonomi moden yang menuntut organisasi dan perniagaan menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran secara berterusan.

Bagi pengusaha, Awal Muharam menjadi medan muhasabah untuk menilai tujuan dan hala tuju perniagaan. Dalam ekonomi Islam, keuntungan merupakan elemen penting bagi memastikan kelangsungan operasi, mewujudkan peluang pekerjaan, serta menjana nilai ekonomi. Namun begitu, keuntungan perlu diperoleh melalui amalan yang sah, adil dan beretika. Perniagaan yang berasaskan penipuan, manipulasi maklumat atau eksploitasi pengguna bukan sahaja bercanggah dengan prinsip Islam, malah boleh menjejaskan kelestarian perniagaan dalam jangka masa panjang.

Sehubungan dengan itu, hijrah ekonomi bagi usahawan bermula dengan pengukuhan nilai amanah. Amanah merangkumi tanggungjawab terhadap pelanggan, pekerja, pembekal dan masyarakat. Pengguna tidak seharusnya dilihat sebagai sumber keuntungan semata-mata, tetapi sebagai pihak yang berhak menerima produk dan perkhidmatan yang berkualiti, serta layanan yang adil. Kepercayaan yang dibina melalui amalan perniagaan beretika lazimnya menjadi asas kepada pertumbuhan yang lebih mampan.

Dalam era ekonomi digital, integriti pula menjadi faktor yang semakin penting. Urus niaga dalam talian banyak bergantung pada maklumat yang disediakan oleh peniaga tanpa interaksi fizikal antara penjual dan pembeli. Oleh itu, ketelusan dalam penyampaian maklumat, ketepatan gambaran produk, kejujuran ulasan pelanggan dan kejelasan terma pembelian merupakan elemen asas yang menentukan tahap kepercayaan pengguna. Integriti bukan sahaja memperkukuh reputasi perniagaan, malah menyumbang kepada pembangunan ekosistem digital yang lebih selamat dan diyakini.

Selain amanah dan integriti, semangat hijrah turut menekankan kepentingan daya tahan. Hijrah berlaku dalam suasana yang mencabar, namun cabaran tersebut akhirnya menjadi titik permulaan kepada pembinaan masyarakat yang lebih tersusun dan maju. Dalam dunia perniagaan, ketidaktentuan ekonomi wajar dilihat sebagai dorongan untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan pembaziran, memanfaatkan teknologi dan mempelbagaikan sumber pendapatan. Organisasi yang berupaya menyesuaikan strategi mengikut perubahan persekitaran lazimnya lebih bersedia menghadapi risiko pada masa hadapan.

Dari sudut kepenggunaan, Awal Muharam turut mengingatkan masyarakat tentang pentingnya pengurusan kewangan yang berhemah. Pengguna perlu membezakan antara keperluan dan kehendak, serta membuat keputusan perbelanjaan secara lebih rasional. Disiplin dalam mengurus hutang, membina simpanan kecemasan dan merancang kewangan keluarga merupakan asas kepada kesejahteraan ekonomi isi rumah.

Walau bagaimanapun, tanggungjawab membina ekonomi yang sihat tidak boleh diletakkan kepada satu pihak sahaja. Pengusaha perlu menawarkan produk dan perkhidmatan secara jujur dan bertanggungjawab, manakala pengguna pula perlu bersikap adil dalam membuat penilaian serta tuntutan. Keseimbangan tanggungjawab antara kedua-dua pihak penting bagi mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih mampan dan saling menguntungkan.

Peristiwa hijrah juga memberikan pengajaran tentang pentingnya pembinaan komuniti dan ekosistem yang kukuh. Kejayaan sesebuah perniagaan tidak bergantung kepada usahawan semata-mata, tetapi turut dipengaruhi oleh kewujudan pembekal yang berintegriti, pekerja yang kompeten, pelanggan yang setia, institusi yang menyokong, serta dasar awam yang kondusif. Oleh itu, pembangunan ekonomi perlu dilihat sebagai usaha kolektif yang melibatkan pelbagai pihak.

Dalam era ketidaktentuan global, keupayaan untuk menjadi kalis masa hadapan semakin penting. Bagi pengusaha, hal ini melibatkan kesediaan untuk terus belajar, menyesuaikan model perniagaan, mengurus aliran tunai dengan berkesan dan membangunkan modal insan. Bagi pengguna pula, hal ini merangkumi penguasaan literasi kewangan, kemahiran digital dan keupayaan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat.

Kesimpulannya, Awal Muharam membawa mesej yang melangkaui dimensi keagamaan dengan menawarkan panduan yang relevan kepada kehidupan ekonomi moden. Semangat hijrah mengajak masyarakat meninggalkan kelemahan dan membina kekuatan baharu berasaskan amanah, integriti dan daya tahan. Jika nilai ini diterapkan dalam amalan perniagaan dan kepenggunaan, perkara ini berpotensi menyumbang kepada pembentukan ekonomi yang lebih adil, mampan dan berorientasikan kesejahteraan bersama.

Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob, Pensyarah di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Kredit Foto: Magnific
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi