Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangZakat merupakan satu daripada rukun Islam yang kelima dan mengandungi makna yang mendalam dalam kehidupan seorang Muslim. Dari sudut bahasa Arab, zakat bermaksud tumbuh, bersih, suci dan berkat. Dari segi syarak pula, zakat merujuk sebahagian harta tertentu yang diwajibkan oleh Allah SWT untuk disalurkan kepada golongan yang berhak menerimanya apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Tawbah ayat 103 menegaskan peranan zakat sebagai instrumen penyucian harta dan jiwa, sekali gus memperlihatkan bahawa zakat bukan sekadar kewajipan ritual, tetapi suatu manifestasi keimanan yang menghubungkan dimensi spiritual dengan tanggungjawab sosial. Dalam kerangka ini, zakat berfungsi sebagai mekanisme penting untuk membentuk masyarakat yang adil, sejahtera dan diberkati.
Dari sudut falsafah, zakat mencerminkan hubungan antara manusia dengan Pencipta, serta antara sesama manusia. Tokoh ilmuwan Islam, Imam al-Ghazali menegaskan bahawa zakat menjadi ukuran kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT. Menurut beliau, harta yang dimiliki manusia hanyalah amanah dan penggunaannya hendaklah berpaksikan usaha memperoleh keredaan Ilahi.
Dalam karya agungnya Ihya’ ‘Ulum al-Din, beliau menggariskan adab berzakat yang menekankan kefahaman terhadap tujuan zakat, ketepatan masa pembayaran, keutamaan memberikan secara rahsia, serta keperluan menjaga maruah penerima. Zakat juga perlu dikeluarkan daripada sumber yang terbaik, diiringi sifat rendah diri dan keikhlasan, serta disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.
Pemikiran ini memperlihatkan bahawa zakat bukan sekadar pemindahan harta, sebaliknya suatu proses penyucian jiwa daripada sifat tamak dan keterikatan berlebihan terhadap dunia. Pada masa yang sama, zakat berperanan sebagai instrumen pengagihan semula kekayaan yang mampu merapatkan jurang sosioekonomi.
Pelaksanaannya secara adil dan sistematik bukan sahaja memperkukuh jaringan sosial dalam masyarakat Islam, malah menggalakkan peredaran ekonomi melalui pengagihan sumber kepada golongan yang memerlukan. Dengan itu, zakat berfungsi sebagai mekanisme kebajikan yang terancang, serta menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Dalam konteks semasa, peranan zakat semakin signifikan sebagai pelengkap kepada dasar pembangunan ekonomi dan sosial negara. Pengurusan zakat yang cekap dan berintegriti mampu memberikan kesan langsung terhadap usaha pembasmian kemiskinan. Oleh itu, institusi yang diamanahkan mengurus zakat perlu beroperasi secara profesional, telus dan responsif terhadap perubahan persekitaran ekonomi. Keutamaan hendaklah diberikan kepada proses mengenal pasti golongan asnaf yang benar-benar memerlukan, di samping memastikan kaedah agihan yang dilaksanakan bersesuaian dengan realiti semasa.
Peranan institusi zakat, khususnya Majlis Agama Islam Negeri menjadi semakin kritikal dalam memastikan keberkesanan sistem ini. Institusi tersebut bukan sahaja perlu memastikan ketepatan agihan, malah perlu memahami keperluan sebenar penerima dalam konteks ekonomi dan sosial yang sentiasa berubah. Pendekatan yang terlalu bergantung pada bantuan jangka masa pendek tanpa strategi pembangunan jangka masa panjang berisiko mengekalkan kebergantungan asnaf terhadap bantuan, sekali gus menjejaskan matlamat asal zakat sebagai alat pemerkasaan.
Sehubungan dengan itu, pengurusan zakat perlu diperkukuh dengan pelibatan kepakaran pelbagai disiplin, termasuk bidang ekonomi, kewangan dan pengurusan. Sinergi antara golongan profesional dengan ilmuwan agama penting bagi memastikan tadbir urus zakat lebih berdaya saing, inovatif dan berimpak tinggi. Pendekatan ini dapat membantu merangka dasar agihan yang bukan sahaja mematuhi prinsip syariah, tetapi juga selari dengan keperluan pembangunan moden.
Dalam menghadapi cabaran semasa, kaedah pengagihan zakat perlu ditransformasikan agar lebih berkesan dan lestari. Pendekatan tradisional yang berfokus kepada agihan tunai semata-mata dilihat semakin kurang relevan dalam menangani isu kemiskinan secara menyeluruh.
Sebaliknya, pendekatan yang menekankan pembangunan kapasiti manusia perlu diberikan keutamaan, termasuk melalui penyediaan latihan kemahiran, pendidikan dan sokongan kewangan yang bersasar. Usaha ini penting bagi membolehkan golongan asnaf meningkatkan keupayaan diri dan seterusnya keluar daripada kitaran kemiskinan.
Dalam hal ini, literasi kewangan menjadi komponen penting yang tidak boleh diabaikan. Pendedahan kepada ilmu pengurusan kewangan asas dapat membantu asnaf mengurus sumber yang diterima secara lebih berhemah dan berkesan. Tanpa elemen ini, bantuan kewangan yang disalurkan berpotensi tidak memberikan impak jangka masa panjang. Oleh itu, integrasi antara bantuan material dengan pembangunan ilmu dan kemahiran merupakan prasyarat kepada keberhasilan sistem zakat.
Selain itu, penerokaan instrumen kewangan baharu seperti skim takaful berkelompok wajar dipertimbangkan sebagai mekanisme perlindungan sosial kepada golongan asnaf. Berbanding dengan pendekatan tradisional seperti khairat kematian yang bersifat terhad, sistem takaful yang diurus secara profesional mampu menyediakan perlindungan yang lebih menyeluruh terhadap risiko kehidupan, termasuk kesihatan, kematian dan kecederaan. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan sosial, malah mengurangkan kebergantungan berterusan pada bantuan tunai.
Di samping itu, usaha memupuk budaya menabung dalam kalangan asnaf juga perlu diberikan perhatian. Institusi zakat boleh memainkan peranan dengan mewujudkan skim simpanan atau pelaburan yang sesuai, sama ada melalui kerjasama dengan institusi kewangan sedia ada atau inisiatif dalaman. Pendekatan ini dapat membentuk sikap berdikari, serta meningkatkan daya tahan kewangan dalam kalangan penerima zakat. Dalam jangka masa panjang, langkah ini berpotensi mengubah kedudukan asnaf daripada penerima kepada penyumbang zakat.
Secara keseluruhannya, zakat merupakan instrumen yang bukan sahaja berperanan dalam memenuhi tuntutan agama, tetapi juga sebagai mekanisme pembangunan ekonomi dan sosial yang strategik. Keberkesanannya bergantung pada sejauh mana falsafahnya dihayati, serta kaedah pelaksanaannya disesuaikan dengan keperluan semasa. Pengurusan yang cekap, inovatif dan berteraskan nilai kemanusiaan akan memastikan zakat terus relevan sebagai pemangkin kesejahteraan ummah.
Ternyata, penghayatan terhadap falsafah zakat menuntut kepekaan berterusan terhadap nasib golongan yang memerlukan. Hubungan antara golongan berada dengan golongan kurang berkemampuan harus diperkukuh melalui semangat tanggungjawab dan keinsanan. Dalam masa yang sama, institusi zakat perlu terus memperbaharui pendekatan agar selari dengan perubahan zaman. Hanya dengan gabungan kesedaran individu dan kecekapan institusi, zakat dapat mencapai objektifnya sebagai instrumen yang bukan sahaja menyucikan harta dan jiwa, tetapi juga membina masyarakat yang adil, inklusif dan sejahtera.
Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman, mantan Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia.