Diterbitkan pada 12 September 2025, 11:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Zakat merupakan satu kewajipan penting dalam Islam yang bukan sahaja melibatkan individu, malah turut merangkumi bidang perniagaan. Di Malaysia, organisasi dan individu membayar zakat sebagai pematuhan terhadap prinsip syariah dan juga sebagai sebahagian daripada amalan perniagaan yang beretika. Peranan yang dimainkan oleh entiti perniagaan dalam membayar zakat sangat signifikan kerana menyumbang secara langsung kepada kekuatan institusi kutipan zakat serta memperkasakan sosioekonomi melalui agihan kepada golongan yang layak.

Kepentingan zakat dalam konteks korporat semakin menyerlah apabila dihubungkan dengan pelaksanaan inisiatif kelestarian yang kini menjadi keutamaan dalam landskap perniagaan global dan nasional. Instrumen wakalah sebagai contoh, membolehkan individu atau entiti perniagaan yang membayar zakat menerima semula sebahagian daripada wang zakat mereka mengikut kadar yang ditetapkan oleh institusi zakat. Dana ini kemudiannya boleh disalurkan semula kepada golongan yang memerlukan dan dalam konteks perniagaan, hal ini membuka ruang kepada pelaksanaan inisiatif sosial korporat yang strategik.

Zakat perniagaan dikenakan ke atas harta yang berkembang dan mencapai nisab. Perkara ini termasuklah keuntungan perniagaan, stok dagangan, serta aset yang digunakan dalam aktiviti ekonomi. Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud, “Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka… .”

Begitu juga dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan atas kalian zakat pada harta-harta kalian, yang diambil dari orang-orang kaya antara kalian dan diberikan kepada orang-orang fakir antara kalian.” Hal ini jelas menunjukkan bahawa zakat ialah instrumen pengagihan kekayaan yang bukan sahaja menyucikan harta, malah memperkukuh kesejahteraan sosial.

Seiring dengan pelancaran Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kebangsaan pada Disember 2024, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah proaktif untuk membantu entiti perniagaan beralih ke arah pematuhan dan pelaporan ESG. Inisiatif ini bukan sahaja untuk memenuhi keperluan peraturan, malah membuka peluang kepada perniagaan untuk memperoleh kelebihan daya saing, selain menyumbang kepada pembangunan mampan negara. Dalam usaha untuk kekal relevan dan berdaya saing, perniagaan perlu mengintegrasikan ESG dalam model operasi mereka, termasuk mengenal pasti dan melaksanakan inisiatif sosial yang sejajar dengan strategi perniagaan mereka.

Dalam konteks ini, dana wakalah yang diperoleh daripada pembayaran zakat boleh dimanfaatkan untuk membiayai program sosial korporat yang menyokong matlamat dan visi perniagaan. Sebagai contoh, sekiranya sesebuah entiti perniagaan seperti Entiti A yang menjalankan perniagaan makanan sedia makan mempunyai visi untuk menyediakan makanan berkhasiat kepada masyarakat, maka program sosial yang dibiayai oleh dana wakalah perlulah menyokong matlamat tersebut.

Risiko sosial yang dihadapi oleh entiti seperti Entiti A perlu dikenal pasti secara teliti. Sebagai contoh, Entiti A mungkin terdedah kepada risiko persepsi masyarakat yang meragui kualiti dan khasiat produknya atau mungkin berdepan dengan cabaran ketidakstabilan pendapatan dalam kalangan pembekal bahan mentah dalam rantaiannya.

Bagi mengurus risiko ini, Entiti A boleh melaksanakan program literasi kewangan kepada komuniti pembekalnya. Dengan meningkatkan keupayaan kewangan para pembekal, mereka menjadi lebih berdaya tahan menghadapi cabaran ekonomi seperti inflasi dan turun naik harga pasaran. Hal ini secara tidak langsung menyumbang kepada kelestarian rantaian bekalan dan peningkatan kecekapan operasi.

Sementara itu, bagi menangani persepsi negatif masyarakat terhadap produk, Entiti A boleh melaksanakan inisiatif bantuan makanan kepada mangsa bencana seperti banjir dengan menggunakan produk yang dihasilkan oleh syarikat itu sendiri. Pendekatan ini bukan sahaja membantu mangsa yang memerlukan, tetapi juga membina kepercayaan dan hubungan positif antara perniagaan dengan komuniti, sekali gus memperkukuh reputasi serta jenama syarikat di mata masyarakat.

Pelaksanaan inisiatif sosial korporat seperti ini membuktikan bahawa dana wakalah hasil daripada zakat perniagaan bukan sekadar satu bentuk pematuhan kepada prinsip syariah. Sebaliknya, perkara ini merupakan instrumen strategik yang mampu mencipta impak positif dan mampan terhadap komuniti, ekonomi dan juga daya saing perniagaan. Keupayaan untuk mengenal pasti dan melaksanakan inisiatif sosial yang relevan bukan sahaja meningkatkan imej dan reputasi entiti, malah memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap jenama perniagaan.

Di samping itu, pendekatan strategik ini juga mampu menggalakkan lebih banyak usahawan dan entiti perniagaan untuk menunaikan zakat memandangkan dana yang disalurkan secara wakalah dapat memberikan manfaat berganda kepada penerima zakat dan juga perniagaan itu sendiri. Sinergi antara zakat dengan wakalah dan pelaksanaan ESG yang bijaksana membuka peluang unik untuk memperkukuh ekosistem yang menyokong perniagaan beretika, serta pembangunan negara yang mampan.

Dari sudut perundangan, zakat perniagaan di Malaysia tertakluk kepada beberapa peruntukan penting. Pada peringkat Persekutuan, Perkara 3 dan Perkara 74 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan bahawa hal ehwal agama Islam, termasuk zakat berada di bawah bidang kuasa negeri. Maka, setiap negeri mempunyai peraturan dan enakmen tersendiri berkaitan dengan kutipan dan agihan zakat. Sebagai contoh, Lembaga Zakat Selangor (LZS) bertanggungjawab mengurus kutipan serta pengagihan zakat secara sistematik.

Selain itu, Akta Cukai Pendapatan 1967 di bawah Seksyen 44(11A) memperuntukkan zakat yang dibayar oleh syarikat Islam layak mendapat rebat cukai sehingga 2.5 peratus daripada pendapatan agregat. Hal ini memberikan insentif kewangan kepada perniagaan yang menunaikan tanggungjawab zakat mereka.

Majlis Agama Islam Negeri pula memainkan peranan penting dalam memastikan entiti perniagaan yang layak tidak terlepas daripada kewajipan zakat. Mereka juga bertanggungjawab dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan zakat, termasuk dalam konteks perniagaan dan pembangunan ekonomi.

Kesimpulannya, zakat perniagaan bukan sahaja satu kewajipan agama tetapi juga instrumen berimpak tinggi dalam pengurusan sosial, ekonomi dan kelestarian negara. Dengan pengurusan yang bijak dan pelaksanaan yang strategik melalui instrumen seperti wakalah, zakat mampu menjadi penggerak utama kepada pembangunan mampan, sekali gus memperkukuh peranan entiti perniagaan dalam membina masyarakat yang dan adil dan sejahtera.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi