Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa negara dilanda pandemik COVID-19 telah menyaksikan banyak dalam kalangan masyarakat mula berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan. Sekatan pergerakan serta penutupan pelbagai sektor pekerjaan menyebabkan banyak kehilangan sumber pendapatan, sekali gus mendorong mereka untuk berniaga demi menampung kos sara hidup.
Dalam Islam, perniagaan merupakan satu bidang kerjaya yang mulia dan amat digalakkan kerana melaluinya umat Islam boleh membina kekuatan ekonomi ummah. Namun begitu, menjadi seorang usahawan yang berjaya bukanlah suatu perkara yang mudah, sebaliknya menuntut kesungguhan, ketekunan, serta kecekalan dalam menghadapi pelbagai cabaran. Oleh itu, dalam usaha untuk mencapai kejayaan sebagai usahawan, umat Islam sewajarnya menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan terbaik kerana Baginda telah diutus oleh Allah SWT sebagai teladan sempurna dalam setiap aspek kehidupan, termasuk dalam bidang perniagaan.
Menurut Kamus Dewan, usahawan didefinisikan sebagai orang yang mengusahakan sesuatu perusahaan. Dalam konteks Islam, usahawan dianggap sebagai khalifah Allah SWT yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan memanfaatkan hasil bumi dengan cara yang baik, di samping menyedari bahawa setiap tindakan akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Islam sangat menggalakkan umatnya menjadi usahawan kerana kerjaya ini merupakan antara pekerjaan yang paling mulia. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Baihaqi daripada Said bin Amir al-Ansari bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya, “Pekerjaan apakah yang paling baik?” Baginda menjawab, “Pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan setiap perniagaan yang baik.”
Namun begitu, di Malaysia bilangan usahawan Muslim masih rendah dan banyak juga yang gagal untuk bertahan dalam perniagaan, apatah lagi dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar. Oleh itu, adalah penting bagi usahawan Muslim untuk meneladani sikap dan keperibadian Rasulullah SAW dalam menjalankan urus niaga.
Antara sifat utama yang wajar dicontohi termasuklah kejujuran dan amanah. Rasulullah SAW dikenali sebagai seorang yang jujur dan amanah dalam semua aspek kehidupan, termasuk dalam perniagaan. Sifat ini membuatkan Baginda mendapat kepercayaan penuh masyarakat Mekah, termasuk Sayidatina Khadijah yang akhirnya melantik Baginda sebagai pengurus perniagaannya. Hasil daripada kejujuran dan kebijaksanaan Rasulullah SAW, perniagaan Sayidatina Khadijah mencapai keuntungan yang besar.
Malangnya, dalam konteks hari ini, masih terdapat peniaga yang menipu pelanggan dari segi timbangan atau harga. Aduan yang diterima oleh pihak berkuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sering kali melibatkan ketidakjujuran peniaga dalam aspek ini, termasuk penggunaan alat penimbang yang tidak ditentu sahkan.
Islam menekankan keadilan dalam sukatan dan timbangan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 35 yang bermaksud, “Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok akibatnya.”
Penipuan dalam timbangan bukan sahaja satu kesalahan undang-undang, tetapi juga satu perbuatan yang dicela dalam Islam. Oleh itu, peniaga Muslim perlu meneladani integriti Rasulullah SAW agar menjadi usahawan yang bukan sahaja berjaya dari segi keuntungan, malah diberkati oleh Allah SWT.
Selain dari aspek timbangan, peniaga juga perlu menghindari sebarang bentuk tipu daya dalam urusan jual beli. Sebagai contoh, menjual makanan atau barangan yang sudah rosak, tidak segar atau tidak sesuai digunakan adalah satu bentuk penipuan. Laporan yang sering tular di media sosial, khususnya dalam bulan Ramadan, menunjukkan ada peniaga bazar yang menjual makanan yang tidak lagi elok kepada pelanggan. Perbuatan ini bukan sahaja menjejaskan reputasi perniagaan, malah menyalahi prinsip kejujuran dalam Islam. Peniaga seharusnya menjaga kualiti barangan atau makanan yang dijual agar pelanggan berasa dihargai dan tidak tertipu, sesuai dengan harga yang dibayar.
Kejujuran dan amanah dalam perniagaan bukan sahaja membawa kepada kejayaan duniawi, malah mendapat ganjaran besar di akhirat. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi menyebut, “Seorang peniaga yang benar, jujur dan dipercayai akan bersama-sama para nabi, siddiqin dan syuhada pada hari kiamat.” Hadis ini jelas menunjukkan kelebihan besar bagi mereka yang menjalankan perniagaan dengan jujur dan amanah.
Selain itu, amalan bersedekah turut menjadi satu daripada sifat utama yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dalam perniagaan. Konsep sedekah bukan hanya terhad kepada hubungan antara orang kaya dengan orang miskin, bahkan boleh diaplikasikan dalam hubungan antara peniaga dengan pelanggan.
Peniaga yang memahami sunnah akan sentiasa mencari peluang untuk bersedekah dalam bentuk memberikan nilai tambahan kepada pelanggan, seperti melebihkan kuantiti barang jualan. Walaupun dianggap kecil, namun amalan ini boleh memberikan kesan besar dalam membina hubungan baik dengan pelanggan serta membuka pintu rezeki yang lebih luas.
Amalan bersedekah boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk. Sebagai contoh, semasa bulan Ramadan, peniaga boleh menyumbangkan makanan kepada masjid atau surau berdekatan untuk majlis berbuka puasa atau moreh. Namun begitu, pemberian tersebut mestilah ikhlas dan barangan yang disumbangkan haruslah dalam keadaan baik, bukan yang rosak atau sudah tamat tempoh. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 92 yang bermaksud, “Kamu tidak akan mencapai hakikat kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu membelanjakan sebahagian daripada harta yang kamu cintai.” Oleh itu, peniaga Muslim yang ingin berjaya perlu mencontohi kemurahan hati Rasulullah SAW dalam urus niaga mereka.
Dalam pada itu, layanan mesra terhadap pelanggan juga merupakan satu lagi ciri penting yang perlu diamalkan oleh usahawan Muslim. Sikap ramah, mesra dan sopan dalam melayan pelanggan bukan sahaja memberikan imej positif kepada perniagaan, malah dapat membina kesetiaan pelanggan.
Namun begitu, terdapat segelintir peniaga atau pekerja premis yang memberikan layanan kurang mesra, malah ada yang membezakan layanan berdasarkan penampilan atau status pelanggan. Hal ini bertentangan dengan ajaran Islam yang menekankan prinsip keadilan dan persaudaraan.
Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang peniaga yang sentiasa memberikan layanan yang baik kepada semua pelanggan tanpa mengira latar belakang. Baginda sentiasa tersenyum dan berlaku adil dalam setiap urus niaga yang akhirnya membawa kejayaan besar dalam perniagaan Baginda. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua-dua saudara itu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” Ayat ini menjadi asas kepada perlunya layanan yang adil dan penuh kasih sayang dalam sebarang interaksi, termasuk perniagaan.
Akhir sekali, peniaga juga perlu mengelakkan penggunaan tipu daya dan sumpah palsu semata-mata untuk melariskan perniagaan. Dalam perniagaan dalam talian misalnya, banyak peniaga menggunakan testimoni palsu untuk meyakinkan pembeli. Hal ini termasuk menyatakan manfaat yang tidak benar tentang sesuatu produk atau bersumpah dengan nama Allah bagi meyakinkan pelanggan. Sedangkan Rasulullah SAW menegaskan bahawa sumpah dalam perniagaan walaupun melariskan jualan, namun akan menghapuskan keberkatannya. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari menyebut, “Sumpah itu melariskan barang dagangan tetapi menghapuskan keberkatannya.” Maka jelas, keberkatan dalam rezeki lebih penting daripada keuntungan yang diperoleh melalui penipuan.
Sebagai kesimpulannya, untuk menjadi usahawan yang berjaya sebagaimana Rasulullah SAW, para peniaga Muslim perlu mencontohi sifat dan prinsip yang diamalkan oleh Baginda dalam urusan perniagaan. Rasulullah SAW merupakan teladan terbaik yang diutus oleh Allah SWT bukan sahaja dalam aspek ibadah, bahkan dalam semua dimensi kehidupan termasuk dalam keusahawanan. Dengan meneladani akhlak dan keperibadian Baginda antaranya bersikap jujur, amanah, pemurah, adil serta menghindari tipu daya, para usahawan Muslim bukan sahaja dapat mencapai kejayaan dunia, tetapi turut meraih keredaan Allah SWT di akhirat kelak.