Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKetibaan bulan Ramadan saban tahun membawa rahmat dan nikmat yang besar kepada umat Islam. Ramadan bukan sahaja menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda, bahkan membuka ruang ekonomi yang luas, khususnya kepada peniaga dan usahawan dalam sektor makanan dan minuman.
Bazar Ramadan tumbuh bak cendawan selepas hujan dengan ratusan khemah didirikan di kawasan perumahan dan tumpuan awam. Gerai di bahu jalan turut bertambah, manakala surau, masjid, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta individu perseorangan berlumba-lumba menyediakan juadah berbuka puasa dan pek makanan percuma demi meraih keberkatan bulan mulia ini.
Islam amat menggalakkan umatnya menceburi bidang keusahawanan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW apabila ditanya tentang pekerjaan yang paling baik, baginda menjawab, “Pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan setiap perniagaan yang baik.” (Hadis riwayat al-Baihaqi). Hadis ini jelas mengangkat martabat perniagaan yang berlandaskan nilai integriti dan kejujuran.
Tidak hairanlah terdapat dalam kalangan masyarakat yang menjadikan Ramadan sebagai titik mula berniaga kerana bulan ini sering dianggap sebagai “lubuk rezeki” bagi mereka yang bijak merebut peluang. Budaya berbuka puasa secara meriah dalam kalangan masyarakat Malaysia turut merancakkan permintaan, sekali gus menjadikan permit bazar Ramadan sebagai rebutan saban tahun.
Walau sesibuk mana pun umat Islam mencari rezeki sama ada berniaga di bazar Ramadan atau mengambil tempahan kuih dan busana Aidilfitri, mereka tidak seharusnya melupakan hakikat bahawa Ramadan ialah bulan ibadah. Selain melaksanakan solat tarawih, memperbanyak bacaan al-Quran dan amalan sunat yang lain, peniaga juga berpeluang meraih ganjaran ibadah melalui perniagaan yang dijalankan. Dalam kerangka Islam, usahawan ialah khalifah Allah SWT yang diamanahkan untuk mengurus sumber di bumi dengan sebaik-baiknya dan setiap tindakan akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Niat menjadi asas utama. Peniaga wajar berniat menjalankan perniagaan sebagai satu bentuk ibadah dengan mengamalkan sifat benar dan jujur. Matlamat mencari keuntungan tidak seharusnya mengatasi prinsip syariah.
Malangnya, terdapat segelintir peniaga yang memindahkan hak milik permit bazar kepada pihak ketiga demi keuntungan segera sehingga mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan peniaga lain. Amalan tidak beretika seperti ini mencemarkan semangat Ramadan yang sepatutnya mendidik jiwa agar lebih bertakwa.
Isu kualiti makanan juga sering menjadi perbualan masyarakat setiap kali Ramadan. Laporan mengenai makanan rosak, mentah atau tidak bersih yang tular di media sosial bukan sahaja menjejaskan imej peniaga, malah memberikan implikasi negatif terhadap keyakinan pengguna.
Lebih mendukacitakan, majoriti peniaga bazar Ramadan ialah Muslim yang sedar bahawa perniagaan merupakan satu ibadah. Sekiranya prinsip kebersihan, amanah dan ihsan benar-benar dihayati, permasalahan ini pasti dapat dielakkan.
Peniaga yang memahami konsep berniaga sebagai ibadah tidak akan tergamak menipu pelanggan. Bahkan, mereka akan melazimkan amalan bersedekah dalam perniagaan. Rasulullah SAW bersabda, “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.” (Hadis riwayat Muslim). Budaya bersedekah bukan sahaja menjadi asbab keberkatan, malah memperkukuh hubungan antara peniaga dengan pelanggan.
Antara bentuk sedekah yang boleh diamalkan termasuklah menyumbangkan juadah berbuka puasa atau moreh ke masjid berhampiran. Namun demikian, sedekah hendaklah daripada makanan yang baik dan digemari pelanggan, bukannya saki baki yang tidak habis dijual.
Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang memberikan makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangi sedikit pun pahala orang tersebut.” (Hadis riwayat al-Tirmizi). Hadis ini menjadi dorongan besar kepada peniaga untuk menjadikan sedekah sebagai strategi membina keberkatan dalam perniagaan.
Selain itu, peniaga boleh mempraktikkan sifat pemurah dengan memberikan lebihan kuantiti sebagai tanda ihsan atau mengurangkan sedikit jumlah bayaran pelanggan. Sebagai contoh, jumlah harga RM10.30 boleh digenapkan kepada RM10. Amalan kecil ini bukan sahaja menggembirakan pelanggan, malah berpotensi mengundang doa yang baik-baik, serta membina kesetiaan pengguna. Prinsip “rezeki tidak salah alamat” sewajarnya menjadi pegangan, khususnya dalam bulan yang penuh keberkatan ini.
Tuntasnya, peniaga Muslim yang meneladani sunah Rasulullah SAW akan menjadikan Ramadan sebagai medan memperkukuh integriti dan memperbanyak sedekah, bukan sekadar mengejar keuntungan maksimum. Diriwayatkan bahawa kemurahan hati Rasulullah SAW pada bulan Ramadan diibaratkan lebih deras daripada angin yang bertiup (Hadis riwayat al-Bukhari).
Teladan ini sewajarnya menjadi inspirasi kepada usahawan Muslim untuk mengimbangi tuntutan ekonomi dengan nilai spiritual. Dengan demikian, kegiatan ekonomi dalam bulan Ramadan bukan sahaja merancakkan pasaran, bahkan menyuburkan jiwa dan memakmurkan masyarakat secara menyeluruh.