Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTashkent – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi ke Uzbekistan bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pertanian dan agromakanan, khususnya dalam bidang penyelidikan, inovasi, teknologi pertanian dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Lawatan yang diadakan atas jemputan Menteri Pertanian Uzbekistan, TYT Ibrokhim Abdurakhmonov mencerminkan komitmen Malaysia dan Uzbekistan untuk memperluas hubungan dua hala dan meneroka peluang kerjasama baharu yang mampu memberikan manfaat kepada sektor agromakanan kedua-dua negara.
Dalam pertemuan dua hala yang berlangsung pada 13 Jun 2026, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai bidang kerjasama yang berpotensi seperti pembangunan akuakultur, teknologi pengairan mampan, adaptasi perubahan iklim, penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian, keterjaminan makanan, serta penggunaan teknologi pintar bagi meningkatkan produktiviti sektor agromakanan.
Dalam sektor akuakultur dan perikanan, Malaysia menyatakan kesediaan untuk berkongsi kepakaran dan amalan terbaik dengan Uzbekistan, termasuk pengalaman dalam penggunaan teknologi “bioflok” (biofloc) yang terbukti mampu meningkatkan produktiviti akuakultur di kawasan yang mempunyai sumber air terhad.
Kerjasama tersebut turut melibatkan aspek teknikal, pelaburan dan pemindahan teknologi bagi menyokong pembangunan industri perikanan Uzbekistan.
Uzbekistan turut menyatakan minat untuk mendapatkan kepakaran, teknologi dan pelaburan dari Malaysia dalam usaha memperkukuh sektor perikanannya, meningkatkan bekalan makanan domestik dan menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan serantau.
Kedua-dua negara juga bersetuju bahawa transformasi digital perlu menjadi antara pemacu utama pembangunan pertanian masa hadapan. Sehubungan dengan itu, kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pertanian digital, pertanian pintar dan pengurusan air secara mampan dikenal pasti sebagai antara bidang strategik yang berpotensi untuk diterokai.
Gabungan pengalaman Uzbekistan dalam mengurus pertanian di kawasan beriklim kering dengan kepakaran Malaysia dalam teknologi pertanian dan inovasi agromakanan dijangka mewujudkan sinergi yang memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.
Bagi memastikan manfaat kerjasama dapat diterjemahkan kepada hasil yang lebih konkrit, kedua-dua pihak turut menggalakkan pengukuhan kerjasama perniagaan kepada perniagaan (B2B) antara syarikat dan penggiat industri pertanian Malaysia dengan Uzbekistan sebagai pelengkap kepada hubungan kerajaan kepada kerajaan (G2G) yang sedia terjalin. Kedua-dua negara turut bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa khas bagi meneliti peluang pelaburan dan perdagangan dalam sektor pertanian.
YB Menteri turut menyambut baik perkembangan kerjasama antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan Centre of Knowledge and Innovation in Agriculture (AKIS), Uzbekistan yang kini dalam peringkat perbincangan untuk memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pertanian.
Kerjasama tersebut dijangka membuka ruang kepada pertukaran saintis, pelaksanaan penyelidikan bersama, pembangunan teknologi pertanian, serta inovasi yang dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor agromakanan kedua-dua negara.
Sebagai sebahagian daripada program lawatan, YB Menteri turut merasmikan pelancaran operasi Meraque Group di Uzbekistan. Syarikat teknologi pertanian Malaysia yang terkenal dalam bidang robotik, dron dan pertanian teliti turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pertanian Uzbekistan.
Pelancaran tersebut dilihat sebagai pencapaian penting dalam usaha syarikat Malaysia menembusi pasaran Asia Tengah dan membuktikan keupayaan teknologi pertanian tempatan untuk bersaing pada peringkat antarabangsa.
Hubungan perdagangan produk pertanian dan agromakanan antara Malaysia dengan Uzbekistan turut menunjukkan perkembangan positif apabila nilai perdagangan kedua-dua negara mencecah RM338.48 juta bagi tempoh Januari hingga Disember 2025. Eksport utama Malaysia ke Uzbekistan merangkumi kopi, koko, teh, rempah-ratus dan produk makanan diproses, manakala import utama dari negara itu terdiri daripada buah-buahan bernilai tinggi seperti anggur.
Pada akhir lawatan, YB Menteri turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Uzbekistan untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Penyertaan tersebut dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama perdagangan, pelaburan dan pertukaran teknologi dalam sektor pertanian antara kedua-dua negara.
Lawatan rasmi ini turut merangkumi penyertaan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam Tashkent International Investment Forum (TIIF) 2026 yang dirasmikan oleh Presiden Uzbekistan, TYT Shavkat Mirziyoyev.
Forum berprestij tersebut menjadi platform utama bagi pemimpin kerajaan, pelabur global dan penggiat industri antarabangsa untuk meneroka peluang pelaburan, serta memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan rentas sempadan.