Diterbitkan pada 19 Jun 2026, 10:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Sebanyak 750 orang graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian diraikan dalam Majlis Konvokesyen Pertanian ke-14 Tahun 2026 yang berlanhsung di Bangi Avenue Convention Centre, sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan negara menerusi penghasilan tenaga kerja mahir dalam sektor agromakanan.

Majlis konvokesyen yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Datuk Chan Foong Hin itu menghimpunkan pelatih kohort tahun 2025 yang telah menamatkan pengajian di Institut Latihan TVET Pertanian (ILTP) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Daripada jumlah keseluruhan graduan, seramai 49 orang menerima Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), 312 orang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), 350 orang Sijil Pertanian, 28 orang Sijil Veterinar Malaysia (SVM) dan 11 orang Sijil Perikanan.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian tujuh Anugerah Khas kepada graduan cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik serta penguasaan kemahiran yang ditunjukkan sepanjang tempoh pengajian.

Kesemua graduan mengikuti 10 bidang persijilan kemahiran yang meliputi tanaman, ternakan ruminan dan poltri, teknologi perikanan tangkapan, akuakultur marin dan air tawar, pengeluaran padi, pemasaran, pemprosesan makanan, serta penyenggaraan jentera pertanian. Program tersebut ditawarkan di 16 Institut Latihan TVET Pertanian di seluruh negara.

Para graduan hadir menerima pengiktirafan sijil Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian ketika Majlis Konvokesyen Pertanian Kali ke-14 Tahun 2026 yang diadakan di Bangi Avenue Convention Centre.

Menurut YB Datuk Chan Foong Hin, sektor agromakanan kini menjadi agenda strategik negara berikutan cabaran global seperti perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik dan krisis tenaga yang memberikan kesan kepada rantaian bekalan makanan.

Sehubungan dengan itu, kerajaan terus memperkukuh sektor ini melalui pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0), Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030), program Jualan Agro MADANI, serta inisiatif Geran Agropreneur NextGen (eGan).

“Sehingga kini, KPKM telah melahirkan seramai 25,601 orang tenaga mahir dalam bidang pertanian, sekali gus menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan TVET pertanian yang meningkat kepada 81.23 peratus pada tahun 2024 berbanding dengan 78.1 peratus pada tahun sebelumnya,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, KPKM akan menganjurkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September sebagai platform untuk memperkenalkan inovasi dan teknologi terkini dalam sektor agromakanan kepada masyarakat.

Menurut beliau, dalam mendepani Revolusi Industri 4.0, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT), mekanisasi, serta automasi menjadi pemacu utama transformasi sektor pertanian.

Pemerkasaan TVET Pertanian amat penting bagi melahirkan graduan berdaya saing, bersifat global dan memiliki kemahiran yang pelbagai bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan.

KPKM turut merakamkan penghargaan kepada para graduan, keluarga, tenaga pengajar dan pihak pengurusan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian sektor pertanian, serta keterjaminan makanan negara terus terpelihara.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi