Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSelayang – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis terus mempergiat usaha mempromosikan hasil pertanian negeri itu menerusi penganjuran Program Jualan Agro MADANI Edisi Perlis di FAMA Point, Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang, Selangor.
Program yang berlangsung dari jam 7.30 pagi hingga 1.00 tengah hari itu menjadi platform pemasaran strategik bagi memperluas capaian pasaran produk agro Perlis, di samping memperkenalkan keunikan hasil pertanian tempatan kepada pengguna di Lembah Klang dan Selangor.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), YBrs. Encik Abdul Rashid Bahri dan Pengarah FAMA Negeri Perlis, YBrs. Encik Mohd Anzara Azizan bersama-sama barisan pengurusan tertinggi agensi itu.
Program tersebut mengetengahkan pelbagai hasil pertanian dan produk agromakanan asli Perlis dengan tarikan utama jualan mangga harum manis premium, set kombo khas edisi Perlis, serta pelbagai barangan keperluan harian seperti sayur-sayuran segar, buah-buahan tempatan dan ayam segar yang dipasarkan terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah.
Penganjuran program itu turut membuka ruang pemasaran kepada usahawan bimbingan FAMA Perlis yang terdiri daripada pengusaha industri makanan, produk kerepek, pes masakan dan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan.
Selain memperluas akses pasaran kepada usahawan tani, program tersebut membantu meningkatkan nilai jualan hasil pertanian tempatan, khususnya mangga harum manis Perlis gred premium yang dibekalkan segar terus dari ladang kepada pengguna.

Bersempena dengan program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan pelancaran Program Jualan Agro MADANI Edisi Perlis menerusi gimik perasmian berasaskan produk mangga Harum Manis Perlis.
Baginda berdua turut mencemar duli melawat beberapa reruai jualan bagi meninjau pelbagai promosi istimewa yang ditawarkan, antaranya termasuklah “Happy Hour Kombo MADANI”, “Happy Hour Mangga Harum Manis Perlis”, serta simbolik “Kacau Pulut Kucai Harum Manis Perlis”.

Penganjuran Program Jualan Agro MADANI Edisi Perlis bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan keistimewaan hasil pertanian negeri Perlis kepada pengguna luar, malah berperanan memperkukuh jaringan pemasaran usahawan tani tempatan, serta membantu pengguna memperoleh produk segar dan berkualiti pada harga berpatutan.
Inisiatif tersebut turut menyokong agenda pemerkasaan sektor agromakanan negara menerusi peluasan akses pasaran kepada usahawan tempatan secara lebih mampan dan berdaya saing, sekali gus meningkatkan potensi pendapatan pengusaha agro, serta merancakkan ekonomi komuniti setempat.