Diterbitkan pada 1 Jun 2026, 13:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memperkenalkan kemudahan e-Rayuan Taksiran menerusi portal MyTax bagi membolehkan pembayar cukai mengemukakan rayuan taksiran atau permohonan lanjutan masa untuk membuat rayuan secara dalam talian.

Kemudahan tersebut melibatkan taksiran yang dibangkitkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, namun tidak merangkumi kes berkaitan dengan Cukai Keuntungan Modal, Cukai Pegangan dan taksiran yang terhasil daripada aktiviti siasatan.

Melalui inisiatif itu, proses rayuan yang sebelum ini memerlukan dokumen fizikal dan urusan di pejabat HASiL kini boleh dilaksanakan secara digital, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan percukaian.

Pembayar cukai juga boleh mengemukakan rayuan atau permohonan lanjutan masa secara masa nyata, menyemak status permohonan sepanjang proses pengendalian, serta menerima notifikasi dan dokumen berkaitan dengannya secara dalam talian.

Pembayar cukai individu boleh menggunakan peranan individu dalam portal MyTax, manakala syarikat dan organisasi lain boleh mengemukakan rayuan melalui peranan Pengarah Syarikat atau Pentadbir Organisasi yang dilantik.

Menurut HASiL, pelaksanaan e-Rayuan Taksiran selaras dengan agenda transformasi digital institusi itu untuk memperkukuh sistem percukaian negara melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan mesra pelanggan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi