Diterbitkan pada 31 Mei 2026, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Padang Besar – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan merasmikan Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin – Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) di sini, hari ini.

Baginda bertitah, pembangunan zon perdagangan bebas itu merupakan langkah strategik bagi memperkukuh kedudukan Perlis dan Malaysia sebagai pintu masuk perdagangan serta hab logistik serantau.

Raja Perlis, DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mencemar duli ke Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP).

Pembangunan tersebut bukan sekadar simbol kemajuan fizikal, malah hal ini bakal memacu sektor logistik yang berpaksikan sistem pengangkutan darat intra-Asia, khususnya jajaran rel Pan Asia.

“Beta yakin zon perdagangan bebas ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu, membuka peluang pelaburan dan memperkukuh perdagangan rentas sempadan.

“PIP akan merancakkan sektor logistik dan perindustrian di utara Semenanjung Malaysia, seterusnya menyumbang terhadap peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” titah baginda bersempena dengan perasmian tersebut.

DYMM Raja Perlis berkenan merasmikan Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin.

Menyentuh mengenai kedudukan strategik Perlis yang bersempadan dengan Thailand serta berada di laluan penting perdagangan ASEAN, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin turut menyarankan agar kerajaan Persekutuan terus memberikan perhatian khusus terhadap negeri itu.

“Kerajaan Persekutuan disaran untuk terus melaksanakan pelaburan yang strategik bagi memangkin pertumbuhan ekonomi di negeri ini,” titah baginda lagi.

Turut berangkat ke majlis ini, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Hadir sama Menteri Besar Perlis, Yang Berhormat (YB) Abu Bakar Hamzah dan Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke.

Kredit Foto: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi