Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan MADANI mengumumkan penurunan harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 4 Jun 2026 hingga 10 Jun 2026 selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), susulan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu terdahulu.
Walaupun harga runcit bahan api diturunkan, kerajaan menegaskan bahawa pasaran petroleum global masih berdepan dengan ketidaktentuan dan kekangan bekalan yang berterusan.
Berdasarkan penetapan baharu, harga RON97 diturunkan sebanyak 30 sen seliter daripada RM4.65 kepada RM4.35 seliter. Harga RON95 pula turun 20 sen seliter daripada RM3.92 kepada RM3.72 seliter, manakala harga diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan 20 sen seliter daripada RM4.87 kepada RM4.67 seliter.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), penurunan harga minggu ini tidak bermaksud pasaran petroleum global kembali stabil. Menjelang 100 hari konflik di Asia Barat, risiko gangguan bekalan minyak mentah dan produk petroleum masih tinggi, sekali gus berpotensi mengekalkan tekanan terhadap harga tenaga dalam tempoh sederhana.
Keadaan itu turut mendorong negara pengimport utama di Asia meningkatkan pembelian minyak mentah daripada sumber alternatif bagi menampung gangguan bekalan dari Asia Barat. Walaupun import minyak mentah dari Amerika Syarikat ke rantau Asia meningkat ke paras tertinggi, jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk menggantikan kehilangan bekalan melalui laluan perdagangan utama yang terjejas.
MoF menjelaskan bahawa pasaran petroleum global masih berdepan dengan kekangan bekalan fizikal meskipun harga purata pasaran pada minggu lalu menunjukkan penyusutan. Sekiranya konflik berterusan, risiko pengurangan inventori global dan kekurangan bekalan boleh memberikan tekanan baharu kepada harga minyak mentah dan produk petroleum pada masa hadapan.
Dalam masa yang sama, kerajaan mengekalkan harga petroleum bersubsidi bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dan memastikan kelangsungan operasi sektor tertentu. Di bawah inisiatif BUDI MADANI, harga RON95 bersubsidi dikekalkan pada RM1.99 seliter untuk lebih 14 juta penerima yang layak.
Kerajaan memaklumkan bahawa pada harga pasaran semasa RON95 tanpa subsidi sebanyak RM3.72 seliter, penggunaan maksimum 200 liter sebulan akan menelan kos RM744. Melalui skim BUDI95, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM346 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh, manakala penerima hanya perlu membayar RM398 sebulan.
Bagi diesel pula, harga tanpa subsidi dianggarkan RM4.67 seliter berbanding dengan harga bersubsidi RM2.15 seliter di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), serta di Sabah, Sarawak dan Labuan. Langkah itu bertujuan mengurangkan kesan kenaikan kos bahan api terhadap rakyat melalui kos pengangkutan awam dan logistik barangan.
Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan pendekatan berhemah dalam mengimbangi keperluan fiskal negara dengan kebajikan rakyat. Pada masa yang sama, rakyat diseru mengamalkan penggunaan bahan api secara lebih cekap melalui perancangan perjalanan yang baik dan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu menjamin bekalan bahan api negara.